Kucing hitam kecil itu ternganga kerana terkejut. Nampaknya… rasanya… adakah… dia telah mengkhianati Teratai Kecil?
Tanpa berkata apa-apa lagi, Jun Wu Xie terus menyeru Teratai Kecil.
Teratai Kecil berdiri di atas lantai itu dengan berkaki ayam. Wajahnya yang kecil itu memandang Jun Wu Xie dengan naif. Dia tiba-tiba terpandang Tuan Embek Embek yang sedang nyenyak tidur di atas katil itu lalu badannya yang gempal itu terus menggigil!
"Cik… ada apa-apa yang Cik perlukan?" Teratai Kecil bertanya dengan patuh. Dalam diam-diam dia menggerakkan kaki kecilnya, menjarakkan diri sejauh mungkin dari katil itu.
Teratai Kecil masih dihantui memori menggerunkan ketika dia dikejar dan digigit oleh Tuan Embek Embek sebelum ini.
Ketika itu, kalau Cik tak menarik Tuan Embek Embek jauh darinya, mungkin dia sudah bertukar menjadi putik bunga yang kecil sekarang ini.
"Saya ada tugasan untuk diserahkan pada kamu dan Hitam Kecil," kata Jun Wu Xie kepada Teratai Kecil.
Teratai Kecil mengangguk, terus bersetuju. Wajahnya yang tembam itu menguntum senyuman berseri-seri.
"Saya akan selesaikan apa-apa tugasan yang Cik berikan dengan sebaik-baiknya!"
Kucing hitam kecil itu tidak mampu memandang mata Teratai Kecil lalu mengangkat kaki hadapannya untuk menutup mukanya, menyembunyikan rasa bersalah di dalam hatinya.
Beberapa ketika lagi, Teratai Kecil tidak akan mampu terus tersenyum lebar lagi...
Hitam Kecil masih terlalu naif. Walaupun Jun Wu Xie telah menyeru Teratai Kecil, ini tidak bermakna kucing itu telah terlepas daripada malapetaka.
Jun Wu Xie memegang secawan air di tangannya dan menulis satu siri simbol Pengukuhan Roh di atas lantai kemudian menyuruh Hitam Kecil dan Teratai Kecil menguji kesannya secara serentak. Kedua-dua makhluk kecil yang kelihatan menyedihkan itu begitu trauma sehingga merasakan kematian itu lebih mudah. Tak lam kemudian Teratai Kecil mula menangis tetapi dia tidak ada pilihan selain terus menguji pelbagai kesan simbol Pengukuhan Roh. Air mata dan hingusnya berterusan mengalir.
Sewaktu Jun Wu Xie menulis lebih banyak simbol Pengukuhan Roh, Jun Wu Xie tiba-tiba merasakan kuasa rohaninya perlahan-lahan menyusut. Selepas menulis kira-kira dua puluh simbol lagi, dia mendapati kuasa rohaninya telah habis digunakan.
Jun Wu Xie tercungap-cungap sedikit sambil bersandar di kerusi. Dia berpaling untuk memandang Hitam Kecil dan Teratai Kecil yang begitu keletihan sehinggakan tidak mampu berdiri pun. Kening Jun Wu Xie berkerut ketat.
Pada mulanya, dia tidak merasakan pengurangan pada kuasa rohaninya. Tetapi ketika jumlah simbol yang dilukisnya itu semakin meningkat, dia tiba-tiba merasakan kuasa rohaninya berkurangan dengan begitu pantas. Tetapi fenomena ini tidak berlaku sewaktu dia menulis simbol-simbol tersebut di atas kertas.
"Nampaknya menulis simbol Pengukuhan Roh akan menyusutkan kuasa rohani seseorang." Jun Wu Xie berfikir sambil menggosok-gosok dagunya. Dia telah menulis satu muka surat penuh simbol Pengukuhan Roh di atas sekeping kertas tadi dan mencubanya pada Hitam Kecil dan Teratai Kecil sebelum ini. Namun begitu, langsung tidak ada kesan yang berlaku.
Sangat jelas sekali yang simbol Pengukuhan Roh akan menyusutkan tenaga rohani seseorang itu hanya apabila simbol tersebut digunakan ke atas makhluk roh.
Kalau simbol-simbol itu tidak boleh diletakkan pada makhluk roh, kuasa rohani tak akan berkurangan. Sewaktu dia menggunakan air untuk menulis simbol-simbol itu dan mengalihkannya ke tubuh Hitam Kecil dan Teratai Kecil, kuasa rohaninya telah digunakan.
Sebaik mencapai kesimpulan ini, banyak perkara yang menjadi jelas pada Jun Wu Xie.
Patutlah ketika Fan Zhuo sedang menempa cincin roh, dia perlu mengekalkan bekalan tenaga rohani yang stabil dan tidak berhenti-henti. Nampaknya Pengukuhan Roh yang memberikan kesan pada jangka masa yang panjang akan memerlukan jumlah tenaga rohani yang lebih besar.
Jun Wu Xie mengeluarkan Kelalang Syurga yang mengandungi air Mata Air Syurga. Di bawah pengaruh berkhasiat air Mata Air Syurga itu, tenaga rohani pada Teratai Salji sangat melimpah-limpah. Kali ini ketika Jun Wu Xie menyerap tenaga rohani ini ke dalam badannya, proses itu membuatkan dia agak terkejut.
Kepantasan penyerapan kuasa rohani itu kali ini adalah dua kali ganda daripada biasa!
Tenaga rohani di dalam badannya hampir habis sepenuhnya. Tetapi dalam keadaan begini sekalipun, penambahan tahap tenaga rohaninya berlaku pada kadar kepantasan yang tidak pernah dialaminya sebelum ini!
Mata Jun Wu Xie menunjukkan dia sedang berfikir secara mendalam. "Saya tak pernah terfikir yang penyusutan pantas tenaga rohani saya ini akan membawa hasil yang tidak dijangka."