webnovel

Pengukuhan Roh (5)

Penerjemah: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Setelah bersusah-payah, Hitam Kecil akhirnya berjaya memulihkan kebingungannya. Tetapi kucing itu terus terlihat Tuannya memandangnya dengan mata yang penuh keanehan.

Mata itu terus meningkatkan naluri semula jadi Hitam Kecil dan memberi amaran bahawa dirinya berada dalam bahaya!

"Apa yang Cik fikirkan tu!?" Kucing hitam kecil itu menjadi takut dan berundur ke sudut bilik paling jauh. Matanya yang merenung Jun Wu Xie itu kelihatan gerun.

Jun Wu Xie menghulurkan tangan dan memegang salah satu kaki kucing hitam itu sebelum menariknya lebih dekat secara paksa.

"Saya dah menempuh pelbagai dugaan bersama-sama Cik selama bertahun-tahun! Sekurang-kurangnya hargailah saya ni! Cik tak boleh buat saya macam ni!" Hitam Kecil masih lagi membebel tanpa henti ketika dia tiba-tiba mendapati mulutnya ditutup oleh tangan Jun Wu Xie.

"Kamu ni makin banyak bercakap," kata Jun Wu Xie sambil merenung mata kucing hitam kecil itu.

Sebelum dilahirkan, Hitam Kecil lebih pendiam.

Kucing hitam kecil itu memandang Jun Wu Xie dengan sayu.

Dia benar-benar mahu memberitahu tuannya. Bukannya Hitam Kecil ini tidak suka bercakap pada masa dahulu, cumanya kehidupan Jun Wu Xie pada ketika itu amat membosankan. Mengulangi hari demi hari tanpa ada penghujungnya, melakukan tugas yang sama setiap hari. Apa yang Hitam Kecil nak bualkan ketika itu?

"Apa yang kamu pijak tadi adalah simbol yang saya tulis. Simbol ini sama dengan apa yang Fan Zhuo gunakan pada cincin roh tapi saya tak pasti apa maksud di sebaliknya. Namun setelah melihat apa yang berlaku pada kamu tadi, nampaknya simbol-simbol ini boleh digunakan dengan baik. Apabila dikenakan pada makhluk roh, akan terhasilnya pelbagai jenis kesan." Sambil bercakap, Jun Wu Xie melepaskan mulut kucing hitam kecil itu. Dia kemudiannya mencelupkan jari ke dalam teh dan cepat-cepat melukis satu simbol pelik di atas meja.

"Ini yang kamu pijak pada kali pertama tadi."

Selepas selesai bercakap, dia terus melukis simbol kedua di atas meja.

"Ini yang kamu pijak pada kali kedua."

"Kali pertama, kamu dijilat api, tapi tak mengalami sebarang kesakitan. Maksudnya, kuasa itu menyelubungi tubuh kamu, tapi tak akan mengapa-apakan diri kamu sendiri. Saya mengujinya pada Tuan Embek Embek sebentar tadi, kaedah yang sama tak berkesan ke atasnya. Hanya makhluk rohani yang dapat menggunakan kuasa simbol-simbol ini." Jun Wu Xie menggosok-gosok dagunya sambil mindanya ligat berfikir dan memproses segala pemerhatiannya.

"Tapi dalam kedua-dua kejadian tadi, masa kuasa-kuasa itu bertahan adalah amat singkat. Mungkin disebabkan simbol itu dilukis dengan jari saya yang dicelupkan di dalam teh dan teh itu pula tersejat dengan cepat dari tubuh kamu. Sebab itulah kuasanya tidak bertahan lama."

Kalau apa yang ditekanya itu benar, mereka tak perlu pun mengukir simbol-simbol ini ke atas cincin roh. Sebaliknya, mereka boleh mencari kaedah sesuai untuk meletakkan simbol-simbol itu pada cincin roh. Kemudian dia boleh mendapatkan hasilnya dengan lebih cepat dan tidak akan mengapa-apakan roh berkontrak itu jika Jun Wu Xie tersalah menggunakan simbol.

Apa yang membuatkan Jun Wu Xie lebih gembira dengan penemuan ini ialah satu lagi masalah besar yang difikirkannya kini dapat diselesaikan!

Jun Wu Xie akhirnya akan dapat mengetahui maksud di sebalik simbol yang berbeza!

Dia boleh mengingati simbol-simbol yang berbeza itu, tetapi tidak dapat mentafsirkan maksud di sebalik semuanya. Kini dia hanya perlu menuliskan simbol itu dengan air, meletakkannya pada kucing hitam kecil itu. Hasil yang berlaku akan memberitahunya maksud di sebalik simbol tersebut. Proses ini cepat dan tidak memerlukan banyak tenaga untuk dilakukan.

"Cik... Cik tak bermaksud nak uji semuanya pada saya, bukan?" Misai Hitam Kecil bergetar sewaktu merenung Jun Wu Xie.

Jun Wu Xie hanya mengangguk dengan jujur.

Kucing hitam kecil itu menggelengkan kepala dengan bersungguh-sungguh sambil merayu.

"Tak boleh! Cik tak boleh buat begini! Teratai Kecil kan ada!? Seru dia sekarang! Kenapa asyik saya saja!?"

Hitam Kecil harus membantah!

Jun Wu Xie menepuk-nepuk kepala kucing hitam kecil itu lalu berkata dengan lembut, "Kamu baru saja mengingatkan saya."