webnovel

"Ke Cang Ju yang keji itu memag patut mati," kata Qiao Chu sambil menahan marahnya.

Mereka bertiga memasuki bilik dan Hua Yao mencari-cari pakaian bersih di dalam almari. Ke Cang Ju hanya mempunyai pakaian berwarna gelap dan tidak ada satu pun yang menepati citarasa Hua Yao.

Terdapat banyak buku perbuatan di dalam bilik bacaan Ke Cang Ju. Melihatkan keadaan buku-buku itu yang hampir hancur, nampaknya buku-buku itu sering dibelek-belek. Buku-buku yang paling usang ialah buku-buku tentang racun. Jun Wu Xie menyelak-nyelak buku itu dengan cepat dan kemudian mencampakkan semuanya ke satu sudut.

"Jadi Abang Hua boleh mengubah suara juga? Saya tak pernah tahu pula." Qiao Chu yang sedang duduk di sebuah kerusi di bahagian tepi, tiba-tiba teringat yang apabila Hua Yao bercakap tadi, suaranya sama seperti suara Ke Cang Ju.

Hua Yao tidak membalas kata-kata itu dan berpusing menghadap Jun Wu Xie, "Apa yang kamu mahu lakukan selepas ini?"

Matlamat Jun Wu Xie tidak bercanggahan dengan matlamat mereka, tetapi tetap berbeza.

"Apa kata kamu beritahu saya apa sebenarnya tujuan kamu?" Jun Wu Xie berjalan ke bahagian tepi bilik itu dan duduk perlahan-lahan. Dia merasakan kerjasama mereka berjalan lancar setakat ini.

Hua Yao dan Qiao Chu saling bertukar pandangan seketika sebelum Hua Yao akhirnya berkata, "Kami perlu mencari sebuah peta."

Jun Wu Xie mengangkat keningnya.

"Saya pada mulanya mengesyaki yang peta itu berada pada tangan Ke Cang Ju. Sebab itulah saya membuatkan diri saya diterima masuk ke Puncak Awan Tersembunyi. Tetapi saya sudah mencari di seluruh kawasan ini dan langsung tidak menemuinya. Kalau tak salah, pada ketika ini, Qin Yue yang memiliki peta itu." Hua Yao terus memberikan penjelasan.

"Saya bunuh dia dan kamu cari peta itu."

"...….." Qiao Chu tak terkata apa-apa mendengarkan nada Jun Wu Xie yang bersahaja sewaktu bercakap tentang melakukan rompakan dan pembunuhan kejam.

Jun Xie ini terlalu tenang!

"Bila kamu mahu memulakan langkah?" tanya Hua Yao.

"Bukan sekarang. Lagipun, saya menyasarkan seluruh Kumpulan Qing Yun," kata Jun Wu Xie sambil menundukkan matanya. Dia tidak tergesa-gesa mahu bertindak kerana Kumpulan Qing Yun ini besar, bukan mudah untuk menghapuskan mereka sepenuhnya. Membunuh Qin Yue atau barisan Tuan Tua itu tidaklah terlalu sukar. Apa yang susah untuk dicapai ialah menghancurkan seluruh Kumpulan Qing Yun ini pada masa yang sama.

Rumah Dalaman Kumpulan Qing Yun mempunyai pengikut berjumlah hampir seribu orang dan semuanya tersebar di seluruh Puncak Berawan. Setiap satu daripada dua belas puncak itu juga menempatkan pengikut-pengikut mereka di dalamnya. Kalau mereka menjolok sarang tebuan dan membunuh Qin Yue, ini akan membuatkan Tuan Tua lain mengambil tindakan dan Jun Wu Xie mungkin tidak dapat menyelamatkan dirinya.

Lagipun, dia masih tidak berniat untuk membiarkan sesiapa sekalipun terlepas.

Orang mungkin menganggap dia kejam atau ganas. Tidak mengapa.

Di matanya, pengikut Kumpulan Qing Yun bukannya tidak bersalah.

Qin Yu Yan bertekad mahu menghapuskan seluruh Kerajaan Qi hanya demi Jed Penenang Roh dan langsung tidak peduli dengan rakyat biasa yang tidak bersalah.

Pada pandangan Jun Wu Xie, sesiapa yang mencederakan datuk dan pak ciknya akan membayarnya dengan nyawa mereka. Pembalasan dendam mereka ini bukan hanya melibatkan dalangnya, tetapi sesiapa sahaja yang terlibat dan mempunyai kaitan dengan hal itu!

Dia mahu Kumpulan Qing Yun lenyap dari muka bumi ini, dan dia memerlukan sedikit masa untuk membuat persiapan.

"Ke Cang Ju dan Qin Yue mempunyai hubungan yang istimewa. Dengan penampilan ini, saya mungkin dapat mengumpulkan maklumat penting." Hua Yao amat senang hati dengan apa yang telah berlaku. Kalaulah bukan kerana Jun Wu Xie, dia tak akan dapat menyamar sebagai Ke Cang Ju dengan begitu sempurna. Membunuh Ke Cang Ju mudah sahaja, tetapi dia tidak akan dapat membuatkan dirinya menyerupai Ke Cang Ju. Jun Wu Xie telah membantu mereka menyelesaikan masalah yang rumit ini.

"Kalau ada apa-apa yang kamu perlukan daripada kami, beritahu saja. Selagi kami mampu lakukannya, kami akan cuba sehabis baik," kata Hua Yao.