webnovel

Pengekor Kecil di Sebalik Bayang (1)

Penerjemah: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

"Pelajar-pelajar ini…." Nangong Xu mula bersuara sambil merenung Lu Wei Jie dan yang lain.

"Kamu boleh bawa mereka pulang," kata Long Qi dengan ringkas dan kasar.

"Terima kasih." Nangong Xu berasa amat malu dan dia cepat-cepat menarik pelajar-pelajar itu. Dia berterusan meminta maaf daripada Rong Heng dan Long Qi dan meyakinkan mereka yang dia akan menguruskan hal ini dengan serius. Kemudian dia bergegas pergi dari situ.

Selepas menanti sehingga Nangong Xu dan yang lain berlalu, Fan Jin akhirnya mengeluh lega. Dia masih berasa kekok, tetapi memberanikan diri untuk berkata, "Nangong Xu itu orang yang jujur dan sering berterus-terang. Dia pasti akan laporkan hal ini kepada ayah saya dan insiden ini akan diuruskan sewajarnya."

Fan Jin berasa amat malang pada ketika itu. Kenapa pelajar-pelajar dungu itu memilih untuk masuk ke Akademi Zephyr? Mereka hanya menjatuhkan nama akademi.

Long Qi tidak membincangkan hal ini lagi, tetapi berpusing untuk memandang Jun Wu Xie.

"Cik Muda ada arahan lain untuk saya?"

Jun Wu Xie mengangguk kecil lalu berkata, "Sedikit masa lagi, bawa orang-orang kita ke Akademi Zephyr."

"Baik!" Long Qi teragak-agak seketika sebelum berkata, "Cik Muda ada fikir untuk pindah ke akademi lain? Akademi Zephyr ini nampaknya bukan pilihan terbaik."

Fan Jin yang sedang berdiri di sisi mereka terasa mahu membenamkan kepalanya ke dalam tanah akibat teramat malu.

"Tak perlu." Jun Wu Xie menjawab ringkas. Lagipun tujuan sebenar dia ke Akademi Zephyr bukannya untuk menuntut ilmu.

Hal ini dibiarkan dahulu buat masa ini. Kecederaan askar-askar Tentera Rui Lin itu tidak terlalu serius dan jika dirawat, mereka mampu bergerak bebas. Mereka sudah mendapatkan Rumput Roh Akuamarin yang diperlukan. Memandangkan herba-herba itu belum diproses, semuanya tidak akan dapat bertahan lama. Long Qi dan kumpulannya tidak boleh berlengah-lengah di Hutan Roh Pertempuran dan bergegas untuk pulang.

Selepas dengan berat hatinya mengucapkan selamat tinggal pada Jun Wu Xie, Long Qi mengetuai kumpulannya untuk kembali ke Kerajaan Qi. Sebelum dia pergi, dia berjanji untuk datang bertemu Jun Wu Xie lagi apabila orang-orang dari Tentera Rui Lin datang ke Akademi Zephyr.

Selepas Long Qi dan kumpulannya lenyap dari pandangan, setelah sekian lama akhirnya Jun Wu Xie berpaling semula. Pertemuan dengan Long Qi mengingatkan Jun Wu Xie pada Pak Cik Jun Qing, membuatkan dia terasa seperti masih berada di Istana Lin. Seolah-olah dia tidak pernah meninggalkannya.

"Apa kita nak buat sekarang? Teruskan?" tanya Qiao Chu. Tangannya disilangkan di belakang kepalanya.

"Ya." Jun Wu Xie memaksa dirinya kembali tenang. Perjalanannya masih panjang. Laluan ke arah kekuatan dan kuasa yang akhirnya akan membawa dia pulang.

Jun Wu Xie dan kumpulannya meneruskan Perburuan Roh.

Dengan adanya orang-orang seperti ini, Binatang-binatang Roh di Hutan Roh Pertempuran bakal dibelasah teruk.

Perburuan Roh hampir tamat dan mereka tidak mempunyai banyak masa lagi untuk mencari Binatang-binatang Roh yang boleh diburu.

Hari sudah senja sewaktu anak-anak muda ini pulang dari perburuan mereka dengan hasil yang lumayan, lalu duduk dalam bulatan di sebelah Tasik Bulan Roh.

Jun Wu Xie mengunyah sedikit daging kering dengan perlahan-lahan sambil memerhatikan matahari terbenam. Tidak ada siapa tahu apa yang sedang difikirkannya.

Tiba-tiba dia berasa seperti diperhatikan. Jun Wu Xie memalingkan kepala untuk memandang arah di mana dia perasan ada sesuatu merenungnya. Dia terlihat satu susuk tubuh kecil pantas berlari di celah-celah pokok, tidak jauh dari mereka.

Bayang yang melintas sekilas itu terlalu pantas. Cahaya senja yang malap juga tidak membolehkan Jun Wu Xie melihatnya dengan jelas.

"Ada apa?" Qiao Chu memanjangkan lehernya lalu bertanya.

Jun Wu Xie mengecilkan matanya tetapi tidak mengesan apa-apa bahaya. "Ada sesuatu yang berdekatan."

Susuk tubuh itu kecil sahaja dan tidak nampak seperti manusia.

"Binatang Roh? Tasik Bulan Roh ini tempat Binatang Roh datang untuk minum. Kita duduk di pinggir tasik ini, pasti banyak Binatang Roh yang mahu menyerang kita," kata Qiao Chu sambil ketawa kejam.

"Kamu patut tidur di tepi tasik malam ni. Esok bila kita bangun, Abang Hua boleh kutip tulang-tulang kamu untuk buat alatan. Tulang-tulang kamu kan kuat, berguna juga alatan itu nanti," kata Fei Yan sambil tersenyum jahat pada Qiao Chu.

Qiao Chu mencebik dan mengengsot lebih rapat pada Hua Yao.

"Tulang kecil saya ni belum cukup matang. Bila dah cecah usia lebih seratus tahun nanti, saya sendiri sanggup berikan tulang-tulang saya pada Abang Hua."