Melihatkan ekspresi kebingungan pada wajah Jun Wu Xie, Jun Wu Yao tidak dapat menahan dirinya, dan memeluk gadis itu daripada belakang. Dada Jun Wu Yao disandarkan pada belakang badan Jun Wu Xie. Dagunya direhatkan di atas kepala gadis itu. Jun Wu Yao memegang tangan Jun Wu Xie dan meletakkan sebiji bola kristal bersaiz tapak tangan.
"Abang sudah sediakan roh cincin berkontrak untuk kamu dan meletakkannya di dalam bola ini," kata Jun Wu Yao sambil tersenyum.
Jun Wu Xie merenung bola kristal dalam tangannya. Bola kristal itu berkilau terang dan agak lutsinar. Setelah diteliti dengan lebih dekat, Jun Wu Xie perasan yang ada sesuatu di dalam bola kristal itu. Sejalur cahaya berpusar-pusar di dalamnya dan cahaya itu kelihatan hidup.
"Dalam ini ada roh berkontrak?" Permukaan bola itu dingin dan keras, sama seperti kristal yang cantik, tetapi terdapat juga perbezaannya. Jun Wu Xie tidak dapat mengenalpasti apakah bahan pembuatan bola itu.
"Ini dipanggil Penjara Roh, digunakan untuk mengurung badan rohani. Dua jam selepas kematian tuannya, roh berkontrak akan kembali ke Dunia Roh. Penangkapan roh cincin berkontrak perlu dilakukan dalam tempoh masa berkenaan. Perangkap mereka di dalam Penjara Roh ini dan mereka tidak akan dapat lari." Minda Jun Wu Yao tidak memikirkan tentang Penjara Roh. Dia telah menyediakan penjara Roh ini sewaktu kali pertama dia bertemu dengan Teratai Kecil. Dia percaya satu hari nanti gadis kesayangannya ini akan memerlukan Penjara Roh.
"Roh cincin berkontrak apa yang ada di dalam ini?" tanya Jun Wu Xie sambil dia menilik Penjara Roh. Jalur cahaya yang berpusar-pusar itu ialah bentuk lain bagi badan rohani itu sewaktu diperangkap. Bentuk asalnya tidak kelihatan sekarang.
"Ular Melayang," balas Jun Wu Yao sambil mengecilkan matanya. Roh ini ialah binatang rohani purba yang wujud sejak permulaan penciptaan syurga dan dunia baru ini.
"Walaupun penyerapan Ular Melayang secara sepenuhnya sukar dalam keadaan kuasa kamu ketika ini, roh cincin berkontrak pertama yang kamu serap amat penting sekali. Jangan risau, Abang akan bantu kamu mencapai kemajuan. Ingat, tak kira betapa sakitnya nanti, kamu perlu bertahan dan meneruskannya. Sebaik penyerapan itu bermula, kamu tidak boleh berputus asa. Kalau tidak, kamu akan ditelan oleh roh yang kamu mahu baham." Membuatkan roh tahap merah menyerap roh cincin berkontrak yang sangat kuat seperti Ular Melayang, ialah satu langkah yang berisiko. Namun Jun Wu Yao tidak mahu mencari jalan lain.
Bagi orang yang mempunyai roh berkontrak bentuk tumbuhan, kali pertama mereka mencapai kemajuan tahap rohani, roh cincin berkontrak yang mereka serap itu akan bergabung dengan tenaga rohani mereka. Ini ialah roh cincin berkontrak paling lengkap yang boleh diserap oleh Jun Wu Xie dan Jun Wu Yao tidak mahu gadis ini terlepas peluang seperti ini.
Ular Melayang mungkin amat kuat, namun kekuatannya ini akan membuatkan perkembangan masa depan Jun Wu Xie berada di tahap lebih tinggi.
Berbaloi mengambil risiko ini.
Dengan adanya Jun Wu Yao di situ, gadis kesayangannya ini tak akan apa-apa.
"Kamu percayakan Abang?" tanya Jun Wu Yao.
Jun Wu Xie mengangguk sedikit. Kemudian dia sedar yang dia tidak dapat melihat Jun Wu Yao yang berada di belakangnya, jadi dia menjawab pula.
"Ya."
Jun Wu Yao amat gembira. Jun Wu Xie bersikap lebih terbuka dengan Jun Wu Yao sehingga membuatkan lelaki itu hanya mahu memeluknya dengan erat.
"Buka Penjara Roh."
Jun Wu Xie mengikut arahan Jun Wu Yao dan meletakkan tangannya di bahagian bawah dan atas Penjara Roh dan memusingkan tangannya ke arah bertentangan dengan serentak. Sfera kristal yang kelihatan sempurna itu berpusing dalam tangannya dan Ular Melayang yang sedang bergelut di dalam bola kristal itu menemui jalan keluar dan menolak rohnya keluar melalui rekahan kecil itu.
"Lakukannya sekarang! Buat seperti apa yang kamu lakukan setiap hari dengan tenaga rohani Teratai Salji. Tarik roh Ular Melayang masuk ke dalam badan kamu, tetapi jangan bertindak terburu-buru. Secara perlahan-lahan, biarkan roh itu masuk ke dalam arteri dan urat darah kamu dan perhaluskannya sedikit demi sedikit." Sebaik Ular Melayang dilepaskan, Jun Wu Yao cepat-cepat membina sekatan roh yang kuat di sekelilingnya, untuk memerangkap roh berkontrak di dalamnya.
Jun Wu Xie menutup matanya dan mula menarik masuk roh Ular Melayang itu ke dalam badannya.
Sewaktu proses itu bermuka, Jun Wu Xie merasai satu roh yang sangat ganas mengamuk di dalam badannya!