webnovel

Pembunuh yang Lazat (2)

Editor: EndlessFantasy Translation

"Apa maksud kamu?" Raut wajah Fan Zhuo turut menjadi serius.

"Badan kamu amat lemah dan disebabkan itulah kamu tak boleh terdedah pada stimulasi yang terlalu kasar. Tapi sudah berulang-kali kejanggalan ini berlaku pada tubuh badan kamu. Maksudnya, ada orang yang menggunakan cara yang tak dapat dikesan untuk menyebabkan penyakit kamu berbalik," Jun Wu Xie menerangkan sambil berfikir dan menggosok-gosok dagunya dengan lembut. Akhirnya dia faham kenapa dia tidak dapat mengesan sebarang racun dalam badan Fan Zhuo.

Penjahat itu tidak menggunakan racun. Sebaliknya, dia dengan bijaknya telah menggunakan satu kaedah lain.

"Fan Zhuo sudah sakit sejak kecil lagi dan organ dalamannya lebih lemah berbanding orang lain. Dalam kes Fan Zhuo ini, kalau kamu mahu memberikan dia tonik untuk menyihatkan dan menguatkan badannya, kamu hanya boleh gunakan tonik yang mempunyai kesan sederhana. Kalau Fan Zhuo diberikan apa-apa yang mempunyai kesan yang kuat, badannya yang lemah itu tak akan dapat menahan reaksi yang terjadi dan ini akan menyebabkan penyakitnya berbalik. Jadi, orang yang mahu mengapa-apakan dia tak perlu melakukan usaha lain." Mata Jun Wu Xie menjadi dingin setelah memahami betapa liciknya penjahat ini berdasarkan kaedah yang digunakannya.

Sebarang racun biasa, kalau digunakan secara berhati-hati sekalipun, akan mudah dikesan. Tetapi jika tonik yang menyihatkan digunakan dengan cara yang salah, ini tidak akan menimbulkan sebarang syak.

Jun Wu Xie pada mulanya menyangkakan Fan Zhuo sudah diracun, tetapi dia tidak melihat sebarang tanda keracunan pada Fan Zhuo. Sehingga kali terakhir penyakit Fan Zhuo berbalik barulah Jun Wu Xie tahu yang kesangsiannya tidak salah.

Dalam keadaan Fan Zhuo kini, tonik juga sama bahaya seperti racun.

"Tonik ditambahkan pada semua hidangan ini?" Fan Jin mula merasakan kemarahannya memuncak.

"Ya. Tetapi penjahat ini amat licik. Dia tak menambahkannya pada makanan yang kita makan setiap hari. Dia cuma meletakkan sedikit saja bila dia mahukan penyakit Fan Zhuo berbalik. Dengan cara ini, dia dapat memastikan makanan ini dapat dihantar kepada Fan Zhuo dan perbuatannya tak akan terdedah dengan mudah. Memandangkan jumlah tonik dan eliksir yang Fan Zhuo makan setiap hari agak banyak, kalau tabib-tabib dipanggil untuk memeriksanya sekalipun, mereka tak akan mengesyaki yang keadaan Fan Zhuo itu disebabkan oleh penggunaan tonik yang tidak beracun. Penjahat itu tak perlu gunakan racun pun. Dia hanya perlu gunakan tonik yang menyihatkan, menantikan badan Fan Zhuo rosak dengan sendirinya akibat tidak dapat menanggung seksaan 'khasiat' yang diberikan."

Cara ini amat berbelit-belit. Jun Wu Xie mengangkat keningnya sambil berfikir panjang.

Kalaulah dia tidak memberi perhatian teliti ke atas makanan dan minuman yang Fan Zhuo ambil setiap hari, mungkin dia tidak dapat mengesannya dengan begitu pantas.

Sebaik mendengar kata-kata Jun Xie, wajah Fan Zhuo menjadi amat pucat. Fan Jin menggenggam penumbuknya dengan marah.

"Siapa? Siapa yang begitu inginkan kematian Fan Zhuo?" Dengan satu tamparan, Fan Jin memecahkan meja itu. Bunyi yang kuat kedengaran dan pinggan mangkuk semuanya berselerakan di atas lantai.

Fan Zhuo sudah pun lemah dan tidak berdaya. Siapa yang begitu kejam sehingga mahu menolaknya dari tebing yang curam, terus jatuh ke dalam gaung yang dalam!?

Jun Wu Xie menjeling kedua-dua adik-beradik ini, "Tak susah untuk tahu identiti dalang ini. Kita hanya perlu tunggu."

Selama ini, hanya Fan Zhuo dan Ah Jing yang tinggal di dalam hutan buluh yang tenang ini. Walaupun Ah Jing berdendam terhadap Jun Wu Xie sepanjang tempoh dia tinggal di situ, Jun Wu Xie tidak fikir Ah Jing akan menambahkan apa-apa ke dalam makanan mereka. Semua bahan-bahan mentah, buah-buahan serta sayur-sayuran yang mereka makan dihantar sendiri ke hutan buluh itu oleh anak murid Fan Qi pada setiap hari dan dia merupakan seseorang yang boleh dipercayai. Kalau masalah itu bukan berpunca daripada orang yang menerima barang makanan tersebut, satu-satunya kemungkinan yang ada ialah masalah itu berpunca dari makanan yang dihantar.

Demi mengetahui siapakah di sebalik semua ini, mereka hanya perlu menunggu tanpa berbuat apa-apa, menantikan saja penjahat itu menghantar lebih banyak petunjuk ke tangan mereka.

"Tunggu?" Fan Jin agak bingung.

Jun Wu Xie berpaling ke arah Fan Zhuo dan berkata, "Kamu tak menemui apa-apa yang tak kena dengan hidangan hari ini dan kamu makan seperti biasa. Hari ini penyakit kamu akan berbalik."

Fan Zhuo terkejut, tetapi dia mengangkat kepalanya dan tanpa ragu-ragu memandang Jun Xie lalu berkata, "Saya akan buat seperti yang kamu suruh."

"Jun Xie, kamu mahu Fan Zhuo berpura-pura sakit? Tapi….. Fan Zhuo tak pandai….." Fan Jin kenal sangat adiknya ini. Menyuruh Fan Zhuo menunjukkan lakonan yang meyakinkan memang mustahil.

Jun Wu Xie memandang kedua-dua adik beradik ini dan berkata dengan perlahan, "Dengan adanya saya, dia tak perlu berlakon."