webnovel

Sebaliknya, Tabib Diraja Li yang ditugaskan oleh Maharaja untuk berada di sisi Qu Ling Yue itu pula yang berada dalam situasi yang sukar pada ketika itu.

Sebaik orang-orang dari Bandar Seribu Binatang memulakan soal siasat, tulang-tulang tua Tabib Diraja Li itu pasti tidak akan mampu bertahan!

Tidak lama lagi dia akan mendedahkan hakikat bahawa Maharaja yang diam-diam telah mengarahkan dia untuk melakukannya.

"Anakanda tak perlu panik. Ayahanda akan selesaikan hal ini," kata Maharaja sambil menepuk-nepuk bahu Lei Fan dan memintanya bertenang. Maharaja kemudiannya memberikan sedikit arahan berkenaan apa yang Lei Fan perlu lakukan sebelum menyuruh anakandanya itu pergi berehat.

Selepas menunggu sehingga Lei Fan beredar, Maharaja tidak terus duduk.

Seorang lelaki berjubah hitam tiba-tiba muncul di dalam Bilik Bacaan Diraja.

"Apa halnya dengan Jun Wu Xie tu? Orang-orang bawahan kamu tu semuanya tak bergunakah? Orang penting dari Kerajaan Qi datang ke Ibu Negara Diraja Negara Yan dan kamu semua langsung tak tahu apa-apa!? Kata Maharaja sambil merenung marah pada lelaki berjubah hitam itu.

Lelaki itu menjadi kaku dan dia menelan air liur dalam diam, "Patik gagal mengesan kejadian ini. Tapi dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini, patik tak ada terima berita tentang orang dari Kerajaan Qi datang ke Ibu Negeri Diraja. patik rasa Cik Muda dari Istana Lin Kerajaan Qi itu pasti sengaja menyembunyikan identitinya sewaktu dia ke sini. Sebab itulah tak ada siapa pun tahu tentangnya."

"Bedebah tak guna! Kamu ni sekarang makin teruk buat kerja! Sampai hari ni kamu belum jumpa Zhao Xun lagi. Sekarang ni kamu biarkan pula orang-orang dari Istana Lin terang-terangan keluar masuk sesuka hati di Ibu Negeri Diraja Negara Yan!" Maharaja menggigil menahan marah.

Walaupun Kerajaan Qi adalah negara yang kecil, mereka memilik pasukan tentera paling ganas, Tentera Rui Lin, yang dipimpin oleh Istana Lin. Kini Cik Muda Istana Lin menyebelahi Lei Chen. Ini membuatkan Maharaja berasa sakit hati.

"Bukankah kamu sepatutnya dah pergi siasat apa hubungan Putera Mahkota dan Jun Wu Xie!? Pergi tengok kalau-kalau mereka ada buat perjanjian sulit sesama sendiri!"

"Ya! Patik akan lakukan sekarang!"

Maharaja kemudiannya berkata, "Tunggu!"

"Apa lagi yang patik boleh lakukan untuk Tuanku?"

Mata Maharaja itu mengecil dan bersinar dengan kilauan kejam.

"Bantu Beta hapuskan seseorang."

"Siapa?"

"Tabib Diraja Li."

Lelaki berjubah hitam itu terkejut. Tabib Diraja Li adalah tabib yang berkhidmat di sisi Maharaja. Di seluruh Negara Yan, kemahiran perubatannya dianggap terbaik. Tabib Diraja Li juga mendapat kepercayaan Maharaja.

Tapi kini Maharaja mahu membunuh Tabib Diraja Li!

"Orang-orang dari Bandar Seribu Binatang sudah pun curiga dengan situasi berkaitan kecederaan Qu Ling Yue. Beta tak boleh benarkan mereka dengar apa-apa pengakuan dari Tabib Diraja Li. Dia mungkin setia, tapi dalam dunia ni, hanya orang yang dah mati saja yang boleh menyimpan rahsia," kata Maharaja itu dengan perlahan.

"Laksanakan perintah Beta dan jangan tinggalkan apa-apa jejak lagi."

"Patik faham!" Lelaki berjubah hitam itu mengangguk dan terus keluar dari Bilik Bacaan Diraja.

Maharaja yang bersendirian di dalam Bilik Bacaan Diraja itu mula mengeluh. Entah mengapa setelah Kejohanan Pertempuran Roh itu separa selesai, suasana di Ibu Negeri Diraja Negara Yan dirasakan serba tak kena. Seolah-olah ada sesuatu yang tersembunyi sedang mengganggu semua rancangan rapinya.

…..

Di Lof Dewa, Jun Wu Xie yang akhirnya telah dibebaskan itu telah dipaksa oleh Qiao Chu dan yang lain untuk bersuka ria. Ketika dia kembali ke biliknya, hari sudah pun lewat malam. Baru sahaja dia mahu berehat, Jun Wu Xie tiba-tiba menerima berita yang Ye Sha telah dapatkan dari dalam Istana.

"Oh? Maharaja Negara Yan kata begitu?" tanya Jun Wu Xie. Kakinya disilangkan dan dia menongkat dagu. Memandangkan dia agak mengantuk pada ketika itu, matanya kelihatan kurang dingin. Sebaliknya matanya berbaur kemalasan dan keletihan.

"Ya! Cik Muda mahu saya pergi selamatkan Tabib Diraja Li?" tanya Ye Sha.