webnovel

Negara Yan (2)

Editor: EndlessFantasy Translation

Sudah agak ramai para pelajar dari akademi lain yang berada di Ibu Negara Diraja Negara Yan. Memandangkan Kejohanan Pertempuran Roh belum bermula, ramai di antara mereka yang berjalan-jalan di sekeliling Ibu Negara Diraja itu untuk melihat sendiri kemakmuran negara terkuat.

Lima buah kereta kuda bergerak melalui jalan utama. Ramai pelajar dari akademi lain yang mengenali panji Akademi Zephyr. Mereka semuanya terus berhenti, memanjangkan leher untuk meninjau konvoi salah satu daripada tiga akademi terhebat. Pada ketika itu mata mereka bukan dipenuhi perasaan cemburu tetapi sebaliknya penuh dengan cemuhan.

"Kenapa Akademi Zephyr hantar sikit sangat orang tahun ni?" tanya seorang pemuda. Wajahnya kelihatan bingung sewaktu merenung kereta-kereta kuda yang bergerak semakin jauh dari mereka.

Pemuda itu datang dari sebuah akademi sederhana, tetapi bagi perjalanan ke Kejohanan Pertempuran Roh ini, akademinya tetap menghantar sepuluh buah kereta kuda. Selain sepuluh orang peserta yang menyertai kejohanan tersebut, ada juga beberapa orang guru. Secara kasarnya, mereka semua berjumlah seramai lebih tiga puluh orang.

"Peliknya. Apa rancangan Akademi Zephyr tahun ni? Akademi Pembunuh Naga dan Akademi Panji Perang sudah pun menghantar sekurang-kurangnya dua puluh buah kereta kuda bagi setiap akademi. Macam mana orang-orang dari Akademi Zephyr boleh muat dalam sejumlah kecil kereta kuda?" tanya pemuda itu sambil menggaru-garu kepalanya. Mindanya penuh dengan persoalan.

Kejohanan Pertempuran Roh dijangka akan berlangsung selama hampir sebulan. Selain para pelajar yang mengambil bahagian di dalam pertandingan ini, para pelajar yang membimbing mereka serta kakitangan yang menguruskan logistik juga merupakan komponen penting di dalam rombongan mereka dan tidak boleh ditinggalkan. Jadi walaupun hanya sepuluh orang yang menyertai kejohanan, bilangan orang yang dihantar oleh setiap akademi akan berjumlah beberapa kali ganda.

Lebih masyhur sesebuah akademi itu, lebih lengkap persiapan mereka. Ini bermaksud mereka akan mempunyai kakitangan yang lebih ramai. Contohnya seperti Akademi Panji Perang. Konvoi mereka bukan hanya terdiri daripada orang-orang di dalam akademi. Para peserta dari akademi ini juga turut membawa pembantu peribadi masing-masing untuk menguruskan mereka selama sebulan ini untuk membolehkan mereka menerima penjagaan terbaik sewaktu bersedia menghadapi pertempuran yang akan datang.

Tambahan pula, tahap layanan Negara Yan terhadap akademi-akademi ini berbeza mengikut kekuatan setiap satu. Bagi Akademi Zephyr yang memegang kedudukan sebagai salah satu daripada tiga akademi terbaik, Negara Yan akan mengalu-alukan kedatangan mereka sekali pun mereka membawa seramai tujuh puluh atau lapan puluh orang kakitangan.

Tetapi tahun ini Akademi Zephyr hanya memiliki sejumlah lima buah kereta kuda. Paling ramai pun setiap kereta kuda akan dapat memuatkan empat orang. Jika dijumlahkan, semuanya hanya lebih kurang dua puluh orang. Jumlah ini amat kurang berbanding yang dijangka berdasarkan status dan kedudukan mereka.

Pemuda yang berdiri di sebelahnya kemudiannya berkata, "Kamu tak tahu apa yang berlaku di Akademi Zephyr?"

"Apa yang dah jadi?" tanya pemuda itu. Wajahnya menunjukkan kekeliruan.

Rakannya itu kemudian berkata dengan bangga, "Nampaknya kamu memang tak tahu! Hujung tahun lepas Akademi Zephyr dilanda ribut yang dahsyat. Kamu langsung tak dengar tentang hal yang menggemparkan tu!?"

Pemuda pertama tadi menggelengkan kepala dan wajahnya penuh perasaan tanda tanya. Dia menerkam rakannya lalu bertanya, "Apa yang terjadi pada mereka?"

"Ada kejadian mengejutkan yang menggemparkan Akademi Zephyr lewat tahun lepas. Naib Guru Besar membunuh Guru Besar mereka, Fan Qi. Kini jawatan Guru Besar itu dipegang oleh anak Fan Qi, Fan Jin."

"Apa?! Fan Jin? Saya ingat lagi yang dia juga ada ambil bahagian dalam Kejohanan Pertempuran Roh tahun lepas. Walaupun dia tidak mendapat kedudukan sepuluh teratas, kedudukannya masih agak baik. Tapi… berapa umurnya? Bukankah mereka ambil mudah saja dengan membiarkan Fan Jin menjadi Guru Besar Akademi Zephyr?!" tanya pemuda itu. Matanya terbeliak, tidak percaya dengan apa yang baru didengarnya.

Walaupun Fan Jin agak berbakat dan merupakan seorang pemuda yang cemerlang, umurnya hampir sebaya dengan kebanyakan pelajar. Semua Guru Besar dari akademi lain adalah lelaki matang yang amat dihormati dan disanjung tinggi. Walau usianya digandakan pun sudah tentulah Fan Jin yang masih belasan tahun itu bukan calon yang layak untuk menjadi Guru Besar!

"Kalau bukan dia siapa lagi? Naib Guru Besar bunuh Guru Besar, kedua-duanya sudah tidak ada. Akademi Zephyr kini tidak lagi sekuat dulu. Pelajar-pelajar dan guru-gurunya meninggalkan akademi untuk bercuti hujung tahun lepas. Awal tahun ni, cuma sejumlah kecil saja yang kembali."