webnovel

Menjadi Anak Murid (2)

Penerjemah: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Wain di dalam mulut Yan Bu Gui tersembur keluar ke muka Qiao Chu sewaktu dia terbatuk-batuk kerana tercekik.

Qiao Chu tergamam.

"Uhuk, uhuk, uhuk….. Apa kamu kata tadi?" Yan Bu Gui bertanya, matanya terbeliak kerana takut, memandang Jun Wu Xie dengan tidak percaya.

Apa yang budak ni panggil dia?

Tuan Guru!?

Yan Bu Gui menggeletar dan bulu romanya meremang. Dia memandang-mandang keadaan sekeliling dengan cemas, memerhatikan kehadiran Tuan Kegelapan yang tidak ada belas kasihan itu.

"Tuan Guru." Jun Wu Xie mengulanginya dengan tenang sambil merenung Yan Bu Gui yang sedang menggelabah.

Yan Bu Gui hanya duduk sambil menggigil dengan tidak terkawal. Mukanya merah padam dan lidahnya kelu.

Qiao Chu menyapu-nyapu mukanya dengan kuat untuk menghilangkan wain yang tersembur ke arahnya tadi. Dia memandang Tuan Gurunya itu dengan sayu.

"Tuan Guru, Xie Kecil ini mungkin masih amat muda, tetapi dia memang hebat. Janganlah tolak dia begini," kata Qiao Chu. Yan Bu Gui hanya ada empat orang anak murid dan keadaan yang menyebabkan mereka menjadi anak muridnya itu agak luar biasa. Mereka tak tahu sama ada Yan Bu Gui akan menerima Jun Xie atau tidak.

Kalau orang lain, Qiao Chu tak akan ambil peduli pun. Tapi dia sudah pun menganggap Jun Xie seperti saudaranya dan dia berharap Jun Xie dapat belajar di bawah Tuan Guru yang sama seperti mereka.

Walaupun keadaan di situ tidak sejuk, Yan Bu Gui menggigil-gigil.

Menerima Jun Xie sebagai anak murid? Dia masih lagi menghargai hakikat yang kepalanya belum terpisah dari badannya dan dia masih lagi hidup.

Tapi kalau dia menolak Jun Xie, akibatnya buruk juga.

Kalau Maharaja Kegelapan itu tahu yang Yan Bu Gui berani menolak permintaan Jun Xie yang mahu menjadi anak muridnya, nasibnya akan jadi malang.

Kalau dia menerima Jun Xie sebagai anak murid pula….. ARGHHH!!

Apa sekalipun pilihannya, Yan Bu Gui akan menerima takdir yang menyeksakan.

Selepas lama teragak-agak, Yan Bu Gui tiba-tiba berdiri. Fei Yan dan Rong Ruo berhenti bertempur dan berpaling untuk memerhatikan Tuan Guru mereka.

"Biar saya fikir dulu." Yan Bu Gui cepat-cepat melarikan diri dari taman itu, tak sanggup berada di situ lebih lama lagi.

Perasaan gerun di dalam hatinya tidak membenarkan dia membuat keputusan. Kalau dia tersalah langkah, dia perlu membayar dengan darahnya sendiri.

Dia tidak menerima mahupun menolak. Situasi ini membuatkan Qiao Chu sakit hati kerana dia tahu Jun Xie akan menjadi anak murid yang hebat untuk Tuan Gurunya. Selain personaliti Jun Xie yang agak pelik, Qiao Chu tak rasa ada apa-apa lagi yang tak kena.

"Xie Kecil, jangan risau. Biar Tuan Guru fikir dulu. Dia memang berhati-hati dalam hal menerima anak murid." Qiao Chu risau kalau-kalau ego Jun Xie tercalar, lalu cuba menenangkannya.

Wajah Jun Wu Xie kelihatan tenang sahaja dan langsung tidak terganggu. Dia bukanlah orang yang mudah dipengaruhi sebaik sudah memutuskan sesuatu. Pada pendapatnya, siapa saja yang dapat menghasilkan anak murid seperti Qiao Chu dan Hua Yao pasti mempunyai tahap kemahiran tertentu. Jadi biasalah kalau orang seperti itu sedikit berangin.

Rong Ruo memandang Jun Wu Xie. Dia hampir mahu membuka mulutnya untuk mengatakan sesuatu tetapi akhirnya membuat keputusan untuk tak berkata apa-apa. Mereka yang lain tak tahu sebab di sebalik tindakan Tuan Guru, tapi Rong Ruo faham apa yang telah berlaku.

Lelaki yang membawa Jun Xie pulang ke akademi itu tempoh hari ialah seseorang yang Yan Bu Gui takuti. Dilema Yan Bu Gui pada ketika ini pasti ada kaitannya dengan lelaki itu.

Kesunyian menyelubungi taman itu. Tiba-tiba kedengaran beberapa jeritan. Wajah Qiao Chu dan tiga orang lagi rakan segurunya kelihatan jemu.

"Mereka datang lagi! Bilalah hal ini akan berakhir?" kata Qiao Chu dengan tidak bermaya.

Sebaik dia selesai berkata-kata, sekumpulan pemuda berpakaian seragam merempuh masuk dan menjerit-jerit ke arah kumpulan itu.

"Qiao Chu! Dah berapa hari ni? Budak tak guna yang kamu semua bawa masuk hari tu masih tinggal di sini!?" Ketua kumpulan pemuda itu tidak terlalu tinggi dan wajahnya menunjukkan perasaan tidak puas hati. Dia merenung hina ke arah Jun Wu Xie yang sedang berdiri di sebelah Qiao Chu.

Jun Wu Xie memandang dingin ke arah pemuda sombong itu. Pemuda-pemuda kain di dalam kumpulan itu turut memandang Jun Wu Xie dengan hina.

"Uhuk, baru beberapa hari saja. Perlu ke kamu semua mendesak begini?" Qiao Chu bertanya dengan kecewa.

Ketua kumpulan pemuda itu membeliakkan matanya dengan marah dan menuding jari ke hidung Qiao Chu sambil menjerit. "Baru beberapa hari!? Tahu tak tambahan seorang saja lagi ni menambahkan lagi kos saraan kita setiap hari!? Makanan, pakaian, penggunaan barang, penginapan. Semua tu perlukan duit! Dalam masa setahun ni Sayap Timur dah banyak berhutang! Sekarang kamu ambil pula satu lagi biawak hidup! Nampaknya dia ni pun tak akan bayar apa-apa juga!"