webnovel

Mengundang Masalah (3)

Penerjemah: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

"Maksud kamu, kalau kamu jadi Guru Besar, masalah ini akan selesai?" Gu Ying bertanya, keningnya terangkat tinggi. Dia menjilat setitis darah pada pisau belati itu, matanya tiba-tiba membara dengan nafsu membunuh.

Ning Rui sangat gembira mendengarkan kata-kata ini tetapi pada luarannya dia kelihatan merendah diri.

"Jika itu yang Tuan fikirkan."

"Mana Guru Besar Akademi Zephyr tu? Saya akan pergi bunuhnya untuk kamu." Gu Ying berkata selamba.

"Tapi... membunuh Guru Besar itu saja tak cukup. Akademi Zephyr ini ada peraturannya. Jika seseorang Guru Besar itu mati, maka kedudukannya akan diwarisi oleh anak lelakinya. Guru Besar yang sekarang ini mempunyai dua orang anak lelaki, jadi walaupun dia meninggal dunia, kedudukannya akan diserahkan kepada kedua-dua orang anaknya dan saya tak akan dapat jawatan tersebut." Ning Rui menjelaskan.

Gu Ying berkerut dengan perasaan kurang sabar.

"Kenapa tak beritahu awal-awal? Saya akan bunuh mereka semua. Senang saja."

"Ya… ya..." Ning Rui mengangguk dengan patuh, tetapi matanya menyembunyikan kedinginan yang menggerunkan dan kejam.

Pada mulanya dia ingin merampas jawatan Guru Besar dengan caranya sendiri. Namun kematian Ning Xin telah menyebabkan timbulnya kebencian meluap-luap terhadap Fan Qi dan Istana Lin.

Jika dia telah mengambil alih Akademi Zephyr dengan cara tersendiri, mungkin dia masih dapat memiliki akademi itu secara keseluruhan. Tetapi kini, dia tidak peduli lagi. Dia hanya mahu membalas dendam untuk Ning Xin. Jadi dia akan tetap melakukannya walaupun terpaksa menolak seluruh Akademi Zephyr ke dalam jurang!

Walaupun Akademi Zephyr sudah tiada nanti, dia masih boleh bergantung kepada Gu Ying dan rakan-rakannya untuk membantu dia mendapatkan kembali kedudukan di dunia ini.

Walaupun dia tidak tahu dari mana asal usul Gu Ying dan yang lain, apa yang pasti ialah mereka mempunyai kuasa yang lebih hebat berbanding daripada sesiapa pun yang pernah dilihatnya. Dia telah lama menginginkan kedudukan Guru Besar Akademi Zephyr. Tetapi sekarang, memandangkan dia sudah memutuskan untuk mengorbankan seluruh akademi, maka… Dia perlu ada tawaran yang lebih bagus dan menunjukkan kepada Gu Ying dan yang lain kemampuan apa lagi yang dia miliki..

"Membunuh Keluarga Fan saja pastinya tidak ada masalah bagi Tuan. Ada satu lagi perkara yang perlu saya laporkan kepada Tuan Gu Ying."

"Apa?"

"Tak berapa lama dulu, Tuan-tuan telah bertanya kepada saya mengenai Teknik Pemulihan Roh. Saya baru sahaja mempunyai beberapa petunjuk mengenai teknik ini. Baru-baru ini, sesuatu telah berlaku. Sebelum ini, Teknik Pemulihan Roh hanya dikuasai sepenuhnya oleh Gu Li Sheng. Tetapi kini dia tiba-tiba menerima seorang pelajar dan dia mengisytiharkan kepada semua orang bahawa pencapaian pelajar tersebut dalam Teknik Pemulihan Roh adalah lebih hebat berbanding dirinya. Saya ada dengar khabar angin yang mengatakan pelajar itu telah membuat penambahbaikan pada Teknik Pemulihan Roh Gu Li Sheng. Penambahbaikan ini terbukti berhasil." Dalam usaha memberikan tawaran yang lebih lumayan, Ning Rui sengaja mengkhianati Gu Li Sheng dan Jun Xie kepada Gu Ying.

Setelah mendengarnya, Gu Ying tersenyum jahat.

"Menarik. Barisan Tuan Tua sangat tertarik dengan Teknik Pemulihan Roh. Kalau dua orang yang kamu sebutkan itu benar-benar berguna, tentulah kami akan berikan kamu ganjaran yang lumayan. Membunuh Guru Besar dan anak-anaknya mudah, tetapi tentang cara mengatur semua pelajar Akademi Zephyr turun ke Cenuram Penghujung Syurga, saya perlu membincangkannya terlebih dahulu dengan barisan Tuan Tua. Sementara itu, saya akan pergi bersama dengan kamu untuk bertemu dengan Gu Li Sheng dan pelajarnya."

Selepas membuat keputusan, Gu Ying berpaling ke arah Ning Rui dan berkata, "Aturkan supaya saya dapat masuk ke Akademi Zephyr. Saya percaya kamu tak ada masalah untuk menguruskan hal sekecil ini, bukan?"

Ning Rui pantas mengangguk.

Gu Ying melambaikan tangannya dengan selamba dan berkata, "Pergi uruskan apa yang perlu. Saya akan ke sana dalam masa beberapa hari."

"Ya, saya akan uruskan dengan segera." Setelah menerima janji daripada Gu Ying, Ning Rui tergesa-gesa meminta diri.

Ketika dia berpaling untuk pergi, kebencian meluap-luap di dalam hatinya sudah pun kelihatan jelas pada matanya.

[Fan Qi, saya akan ambil nyawa kamu dan anak-anak kamu dahulu sebagai bayaran untuk nyawa anak perempuan saya.]

Tentera Rui Lin… Jun Wu Xie… Tiada yang akan selamat. Kamu semua tunggulah!