"Kamu patut datang ke fakulti Pemulih Roh mulai hari ini. Jika kamu ada hal lain untuk diuruskan, pastilah kamu boleh terus melakukannya tanpa perlu memberitahu saya." Gu Li Sheng bercakap dengan amat sopan. Kedua-dua tangannya menggenggam erat skrol yang Jun Xie berikan padanya sebelum ini. Dia telah berulang-kali membaca skrol itu dengan teliti sepanjang satu hari satu malam, tetapi masih tidak dapat memahami sepenuhnya apa yang tertulis di dalamnya. Dia mahukan bimbingan Jun Xie.
Gu Li Sheng memberikan Jun Xie autonomi penuh, sesuatu yang tidak pernah diberikannya kepada mana-mana pelajar sebelum ini.
Tetapi Jun Wu Xie memang layak menerima segala-gala yang diberikan.
Dia mempunyai kemahiran yang tinggi. Malah kalau Gu Li Sheng memberikan dia keistimewaan yang tidak pernah dikurniakan sebelum ini, tiada siapa yang akan berani membantah.
Kebolehannya telah berjaya memperkembangkan lagi Teknik Pemulihan Roh sehingga berada di satu tahap di atas teknik yang dicipta oleh Gu Li Sheng!
"Saya perlu pergi dari sini selama beberapa hari," kata Jun Wu Xie dengan perlahan. Dia terus menyatakan yang dia mempunyai urusan lain untuk diselesaikan….
Gu Li Sheng berasa panik dan cuba membuka mulutnya. Dia tidak menyangka yang Jun Xie mempunyai urusan lain…..
Tiba-tiba dia berasa kecewa. Namun begitu, dia tidak boleh menarik kembali kata-katanya.
Semakin dia memikirkannya, semakin hatinya berasa pedih.
"Uhuk….. Jadi, berapa hari kamu akan pergi?" Gu Li Sheng kelihatan agak kekok. Dia benar-benar mahu Jun Xie menjelaskan dengan lebih lanjut tentang apa yang ditulisnya di dalam skrol tersebut.
"Tak lama," balas Jun Wu Xie.
[Persembahan ini masih belum tamat dan dia perlu melengkapkannya. Kalau tidak, semua orang akan terlepas kemuncak yang dia telah rancangkan untuk mereka.]
"Baiklah, selesaikan urusan kamu. Sebaik selesai nanti, boleh tak kamu kembali ke sini dan cari saya? Sebenarnya….berkenaan….skrol yang kamu serahkan pada saya….ada satu bahagian yang merekodkan….sesuatu yang saya tak begitu faham." Wajah Gu Li Sheng menjadi kemerahan kerana malu. Dia merasakan tidak patut bagi seorang lelaki dewasa separuh usia meminta bimbingan daripada anak muda seperti ini. Situasi ini membuatkan dia berasa agak….kekok dan malu.
Tetapi sikap obsesi terhadap Teknik Pemulihan Roh telah memaksa dia meluahkan kata-kata itu dari mulutnya.
Jun Wu Xie merenung Gu Li Sheng. Mata yang tajam itu seolah-olah mengatakan, "Semudah ini pun kamu tak faham?"
Wajah Gu Li Sheng semakin merah setelah ditenung begitu.
"Baiklah." Ketika wajah Gu Li Sheng semakin merah, Jun Wu Xie akhirnya menyatakan persetujuannya.
Gu Li Sheng mengangguk sambil tersenyum.
"Ini lambang jed untuk fakulti Pemulih Roh. Simpan baik-baik." Gu Li Sheng menunjukkan lambang jed tersebut kepada Jun Xie.
Namun Jun Wu Xie menggelengkan kepalanya.
Gu Li Sheng berasa keliru.
"Selepas kejadian hari ini, tak ada siapa yang masih tak tahu tentang identiti saya," balas Jun Wu Xie dengan perlahan. Lambang jed itu bertujuan menunjukkan pada pelajar lain tentang fakulti pemegangnya. Tetapi setelah Gu Li Sheng menggemparkan seluruh akademi itu sewaktu dia memberikan tamparan hebat pada mereka tadi, Jun Wu Xie benar-benar percaya yang wajahnya sahaja sudah cukup untuk menjadi lambang kedudukannya di akademi itu, lebih baik daripada sebarang lambang yang Gu Li Sheng boleh berikan padanya.
"Betul juga tu." Gu Li Sheng memasukkan kembali lambang jed itu ke dalam lengan bajunya.
Gu Li Sheng tidak dapat menahan dirinya daripada bertanya beberapa soalan pada Jun Xie tentang bahagian skrol itu yang tidak begitu jelas padanya. Lama kemudian barulah dia membenarkan Jun Xie berlalu pergi.
Jun Wu Xie melangkah keluar dari pejabat Gu Li Sheng. Setelah dia sedang menuruni tangga dan menuju ke halaman fakulti itu, dia terlihat beberapa orang pelajar fakulti Pemulih Roh berdiri berhimpit-himpit. Mereka sedang bersembunyi di satu sudut sambil mengintai-intai penuh gelisah pada Jun Xie.
"Jun….. Jun Xie….." Salah seorang daripada pemuda tersebut tiba-tiba ditolak keluar daripada kumpulan tersebut. Dia tergagap-gagap sambil memandang Jun Xie dengan perasaan bersalah.
Memikirkan kembali saat ketika mereka berkali-kali bergosip tentang Jun Xie di belakangnya mereka berasa amat malu. Mereka agak kekok untuk berhadapan dengan Jun Xie lagi. Tetapi….
Gu Li Sheng amat menghormati Jun Xie. Kalau Jun Xie ada menyimpan dendam, mereka tidak dapat terus bertahan di fakulti Pemulih Roh.
Semua pelajar fakulti Pemulih Roh tidak ragu-ragu yang jika Jun Xie menyuruh Gu Li Sheng menyingkirkan mereka semua dari fakulti Pemulih Roh, Gu Li Sheng sedikit pun tidak akan teragak-agak.