webnovel

Maut Menjelma (3)

Penerjemah: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

"Budak degil." Jun Xian berjalan ke arah Jun Wu Xie. Hatinya resah melihatkan kesan darah di baju Jun Wu Xie, tetapi turut berasa lega kerana cucunya selamat. Jun Xian mengangkat tangannya dan mengusap-usap kepala cucunya dengan penuh kasih sayang.

"Datuk tak apa-apa."

Mata Jun Wu Xie berkelip-kelip dan dia merasakan air matanya akan mengalir. Dia menundukkan kepala dan menahan tangisannya.

Jun Xian menepuk-nepuk bahu Jun Wu Xie dan mendongak memandang Maharaja, yang masih berdiri sambil menggigil. "Jangan risau Tuanku, pembunuh-pembunuh upahan itu sudah dihapuskan. Istana Diraja kini selamat."

Kemunculan Jun Xian mengejutkan Jun Wu Xie dan membuatkan Maharaja tergamam.

Dia masih hidup?

"Uh…..Erm…. Rakyat Beta yang setia, kamu sudah berusaha keras. Istana Lin telah mendapat kemegahan lagi dan Beta tak akan lupakannya! Laksanakan titah Beta! Kurniakan seratus gulung kain broked dan sepuluh ribu keping duit emas kepada Istana Lin. Tentera Rui Lin menerima pujian kerana melindungi Beta." Apa sekalipun yang berlaku, Jun Xian masih hidup!

Syukurlah, nyawa Maharaja masih selamat!

Kalau tidak kerana kemunculan Jun Xian, kepala baginda sudah berguling.

Baginda sangat gembira hari ini kerana Jun Xian masih hidup!

Sebelum Jun Xian sempat membalas, Jun Wu Xie sudah kembali tenang dan memandang Maharaja, "Tuanku, pujian bagi kejadian hari ini tidak seharusnya diberikan kepada Istana Lin."

"..." Maharaja hilang semangat sebaik Jun Wu Xie bersuara. Baginda mendiamkan diri.

"Kejayaan menghukum pegawai yang bersalah ini disebabkan persiapan rapi yang dilakukan oleh Putera Mahkota. Kebijaksanaan Baginda disembunyikan selama ini supaya kelihatan kurang pandai dan tidak bercita-cita tinggi. Ini dilakukan demi mengumpulkan segala bukti dan memastikan pegawai-pegawai ini tidak menyedari rancangan Baginda! Penangkapan pegawai-pegawai ini hanya dapat dilakukan kerana kebijaksanaan Baginda yang tiada tandingan. Baginda sanggup mengorbankan imej serta reputasi Baginda, sehingga disalah anggap oleh semua orang, demi mengembalikan kegemilangan dan kekuatan Kerajaan Qi!"

Jun Wu Xie meningkatkan imej Mo Qian Yuan melalui kata-katanya. Ini bukan sahaja mengejutkan Maharaja, malah Mo Qian Yuan juga. Mereka berdua hanya berdiri merenung Jun Wu Xie, tak tahu apa yang gadis itu rancangkan.

Dia menyerahkan segala kegemilangan dan pujian daripada hukuman terhadap pegawai-pegawai itu kepada Mo Qian Yuan!

"Patik merayu agar Tuanku memberikan kurniaan ke atas Putera Mahkota kerana Istana Lin tidak layak menerimanya." Jun Wu Xie meneruskan kata-katanya tanpa mempedulikan pandangan penuh kekeliruan daripada orang-orang di sekelilingnya.

Maharaja tak tahu apa maksud di sebalik tindakan Jun Wu Xie tetapi demi melepaskan diri daripada gadis yang menakutkan ini, baginda mengangguk dengan teragak-agak. Baginda cuba sedaya-upaya untuk kelihatan bermurah hati sewaktu memandang Mo Qian Yuan.

"Qian Yuan, Anakanda sudah bersusah-payah selama ini."

Mo Qian Yuan kembali sedar, cuba memahamkan situasi yang berlaku. Dia menjawab dengan serius, "Ini tugas Anakanda sebagai Putera Mahkota. Anakanda hanya melakukan apa yang perlu."

"Bagus. Anakanda akan diberikan ganjaran yang sewajarnya." Maharaja berkata sambil mulut baginda menggerenyet.

Melihatkan perbualan penuh hormat di antara Maharaja dan Mo Qian Yuan, Mo Xuan Fei menjadi sangat menyampah.

Jelas sekali Jun Wu Xie sedang membina semula reputasi Mo Qian Yuan di kalangan rakyat. Apabila berita mengenai kejadian malam ini tersebar, kelakuan lampau Mo Qian Yuan akan dilupakan dan dia sebaliknya akan diingati sebagai Putera Mahkota yang mengorbankan segala-galanya demi negara! Tiada siapa akan menyalahkan Mo Qian Yuan atas sikapnya yang sombong dan menjengkelkan dahulu.

Tindakan Jun Wu Xie amat licik, kejam dan tepat!

Segalanya berlaku di luar jangkaan!

Reputasi Mo Qian Yuan di mata rakyat, yang terjejas selama ini, dikembalikan dengan satu langkah sahaja!