webnovel

Ketakutan Tersebar (1)

Editor: EndlessFantasy Translation

Qin Yue meradang hingga hampir tidak terkawal sewaktu mendapat berita kematian Qin Yu Yan. Dia tidak sabar mahu membalas dendam menggilanya ke atas Keluarga Jun dan Keluarga Diraja Kerajaan Qi. Perasaan dendamnya begitu kuat sehinggakan dia termimpi-mimpi dapat menyeksa pembunuh-pembunuh anak tunggalnya itu.

Malangnya, dalam mimpi sekalipun dia tidak membayangkan yang Jun Wu Xie, orang yang bertanggungjawab menyebabkan kematian anak kesayangannya itu, berada di dalam Kumpulan Qing Yun. Dia tidak sedar yang gadis itu mendengar segala rancangan pembalasan dendamnya.

Qin Yue mahu menghapuskan Keluarga Jun dan Jun Wu Xie berniat mahu menguburkan seluruh Kumpulan Qing Yun.

Satu bertindak secara sembunyi manakala satu lagi mendedahkan segala-galanya kepada pihak musuh. Permainan ini bermula jauh di dalam ceruk Puncak Berawan.

Kekuatan Kumpulan Qing Yun tidak membenarkan Jun Wu Xie melakukan sebarang kesilapan. Kalau dia gagal menghapuskan Kumpulan Qing Yun sepenuhnya, Keluarga Jun akan ditimpa bahaya.

Kucing hitam kecil itu kembali ke ruang tempat tinggal para pengikut dan masuk ke biliknya sambil diperhatikan oleh Qiao Chu. Kucing hitam itu kemudiannya bertukar roh, kembali ke tubuh asalnya.

Jun Wu Xie yang sudah berada di dalam badannya sendiri, duduk perlahan-lahan. Matanya tidak menunjukkan sebarang perasaan. Kucing hitam kecil itu baring di atas ribanya dengan keletihan kerana rohnya yang kecil itu telah menggunakan tenaga yang banyak untuk berada dalam badan Jun Wu Xie yang lebih besar.

Jun Wu Xie memandang ke luar, melihat cahaya matahari yang sedang terbit, masuk melalui tingkap. Sama seperti misinya, hari baru sahaja bermula.

Hua Yao telah mendapatkan persetujuan awal Qin Yue dan Kumpulan Qin Yun bakal menghadapai gelombang kekecohan. Di dalam keadaan huru-hara itu, Jun Wu Xie hanya perlu mencucuk Kumpulan Qing Yun sedikit, menolak mereka ke arah kemusnahan.

Lewat hari yang sama, Hua Yao muncul sebagai Ke Cang Ju yang menakutkan. Dia membawa Jun Wu Xie dan Qiao Chu, dua orang "pengikut" kesayangannya untuk pergi melawat jiran terdekat mereka, Punca Awan Abu.

Puncak Awan Abu sebelum ini berada di bawah Jiang Chen Qing. Setelah kematian Tuan Tua mereka, pengurusan Puncak Awan Abu jatuh ke tangan pengikutnya yang paling senior, Gao Xiong. Sewaktu berita kematian Qin Yu Yan tiba, berita kematian Jiang Chen Qing juga disampaikan kepada Puncak Awan Abu. Semua pengikut di dalam puncak ini masih berkabung. Tiga orang pengikut langsung Jiang Chen Qing amat kesal kerana mereka tidak dapat melakukan upacara pengebumian guru yang amat mereka hormati itu.

Sewaktu Hua Yao dan dua orang "pengikutnya" muncul di Puncak Awan Abu, Gao Xiong sedang bercakap dengan para pengikut lain. Matanya kelihatan merah. Sebaik terlihat "Ke Cang Ju", dia mengelap matanya dengan tangan dan bergegas datang untuk bertegur-sapa.

"Tuan Tua Ke."

Hua Yao menjeling Gao Xiong secara acuh tak acuh dan berkata, "Atas arahan Pemerintah, aku ke Puncak Awan Abu untuk memilih beberapa orang pengikut. Aku perlu mereka bantu aku di Puncak Awan Tersembunyi."

Gao Xiong kaku. Dia tahu apa sebenarnya yang berlaku di Puncak Awan Tersembunyi.

Itulah tempat yang dielakkan oleh pengikut dari puncak lain. Bukan saja pengikut biasa Puncak Awan Tersembunyi, malah pengikut langsung Ke Cang Ju kerap hilang secara misteri. Walaupun hal ini tidak diperkatakan, mereka semua tahu ke mana hilangnya pengikut-pengikut tersebut.

Kini, Tuan Tua Ke sendiri sudah datang ke Puncak Awan Abu untuk "memilih" pengikut mereka. Permintaan mengejut ini membuatkan Gao Xiong berasa seram sejuk.

Maksud "bantu" pada Ke Cang Ju ialah pengikut-pengikut yang dipilih ini akan kehilangan nyawa tak lama lagi!

"Tuan Tua Ke, Guru kamu baru saja meninggal dunia, Tuan Tua…." Suara Gao Xiong serak dan dia berpeluh-peluh. Sewaktu Jiang Chen Qing masih ada, dia tidak takut kalaupun perlu berhadapan dengan Ke Cang Ju kerana gurunya itu akan mempertahankan mereka. Namun setelah kematian Jiang Chen Qing, Ke Cang Ju langsung tidak membazirkan masa dan datang terus ke Puncak Awan Abu untuk mendesak mereka menyerahkan pengikut kepadanya. Jelas sekali ini perbuatan membuli puncak yang tidak ada perlindungan Tuan Tua!

Gao Xiong tidak berani menunjukkan kemarahannya dan hanya memandang Ke Cang Ju dengan tidak berdaya.

"Sebab Guru kamu sudah tak adalah, aku sebagai Tuan Tua Kumpulan Qing Yun amat sedih. Aku mahu menjaga pengikut-pengikut ini bagi pihak Guru kamu. Gao Xiong, kau perlu sedar diri dan aku pun hanya nak pilih beberapa orang pengikut saja. Jangan bimbang, kau dan dua orang lagi pengikut senior itu tak akan terpilih. Aku bermurah hati untuk membiarkan pengikut langsung Tuan Tua Jiang yang amat disukainya ini sekurang-kurangnya dapat meneruskan legasinya," kata Hua Yao dengan sombong.