webnovel

Kekuasaan Roh Ungu (1)

Editor: EndlessFantasy Translation

Gongcheng Lei terdiam seketika untuk memandang sekilas pada Jun Wu Xie sekali lagi. Dia menoleh kembali pada Gu Ying, seolah-olah keberatan untuk bercakap.

"Cakap sajalah," kata Gu Ying dengan kurang sabar.

Gongcheng Lei menelan air liurnya sebelum berkata, "Wen Xin Han nak bawa Fan Jin pergi dari sini!"

Kening Gu Ying terangkat kerana terkejut. Dia berkata, "Apa kamu kata?"

Gongcheng Lei membalas, "Dia kini ada di tempat Fan Jin dikurung dan Guru Besar sudah pun pergi untuk menghalangnya. Tapi kuasa Wen Xin Han… Saya bimbang Guru Besar tak akan mampu menghalang dia jadi saya datang untuk beritahu kamu."

Mata Gu Ying mengecil dan dia cepat-cepat berdiri. Sebaik sahaja dia mahu melangkah pergi, Gu Ying tiba-tiba berhenti.

"Senior nak pergi tengok sekali?" tanya Gu Ying sambil memandang Jun Wu Xie. Mulutnya menguntum senyuman.

Jun Wu Xie meletakkan mangkuk serta kayu penyepitnya dengan perlahan-lahan. Dia memandang Gu Ying yang sedang tersenyum berseri-seri itu. Kemudian Jun Wu Xie bangun dan membalas, "Baiklah."

Gongcheng Lei bergegas membawa Gu Ying dan Jun Wu Xie pergi dari situ. Selepas mereka bertiga beredar, Hitam Kecil yang telah bersembunyi di satu sudut tiba-tiba melompat dan cepat-cepat berlari ke luar Akademi Zephyr!

Bahagian hadapan bangunan tempat Fan Jin dikurung telah dipenuhi para pelajar Akademi Zephyr. Semuanya tertinjau-tinjau dan memasang telinga, berasa ingin tahu tentang apa yang sedang berlaku.

Wen Xin Han telah membawa Fan Jin yang sudah hilang akal itu bersamanya dan turun ke tingkat bawah. Ning Rui, Nangong Xu dan beberapa orang guru-guru Akademi Zephyr yang lain sedang menghalang jalannya.

Aura kehadiran Wen Xin Han yang begitu menekan itu membuatkan hati para pelajar itu berasa amat kagum.

Mereka sedar yang mereka kini sedang memandang satu-satunya orang yang telah mencapai roh ungu dalam tempoh seratus tahun!

Sebahagian besar daripada mereka amat berharap untuk bertemu dengan Wen Xin Han tetapi tidak berjaya kerana sejak sampai di Akademi Zephyr, dia jarang memunculkan diri. Para pemuda ini tidak mahu mengganggu Wen Xin Han dan hanya mampu berharap akan mendapat peluang. Akhirnya peluang itu tiba setelah sekian lama mereka menanti. Sebaik berita tersebar tentang kemunculan Wen Xin Han, setiap pelajar di Akademi Zephyr berkumpul di situ.

Perjalanan mereka ke situ berbaloi kerana dapat menyaksikan sesuatu yang amat menarik!

Wen Xin Han sedang memapah Fan Jin yang kelihatan bingung itu dengan tangan kirinya. Semua orang di Akademi Zephyr mengenali Fan Jin. Walaupun reputasinya hampir musnah selepas dia memilih untuk melindungi Jun Wu Xie sebelum namanya dibersihkan. Setelah Gu Li Sheng memberi penjelasan, Fan Jin mendapatkan kembali kedudukannya sebagai pelajar senior yang popular dan dihormati. 

Tapi...

Kemudian Fan Qi tiba-tiba dibunuh dan Fan Jin dituduh melakukannya!

Kejadian yang berlaku mengelirukan dan mengejutkan para pelajar tersebut. Ada yang mengutuk Fan Jin kerana bersikap licik demi mendapatkan jawatan Guru Besar. Ada juga yang meragui kebenaran di sebalik hal ini.

Wen Xin Han membawa Fan Jin keluar ke khalayak ramai dan sebaik terlihat keadaannya, semua orang tersentak kerana terkejut.

Pemuda yang dahulunya tinggi lampai dan ceria itu kini nampaknya tidak menyedari keadaan di sekelilingnya. Tubuhnya yang sasa kini kurus kering. Dia begitu lemah sehinggakan tidak mampu berjalan tanpa pertolongan Wen Xin Han. Pipinya cengkung dan pandangan matanya kosong. Fan Jin seolah-olah tidak sedar dengan kekecohan yang berlaku di sekelilingnya.

Para pelajar yang mempercayai Fan Jin serta mereka yang tidak percaya padanya menjadi begitu terkejut setelah melihat keadaan Fan Jin yang menyedihkan!

[Itu Fan Jin?]

[Bagaimana dia boleh jadi begini?]

Kalau dulu Fan Jin dipuja dan dicemburui, kini dia mengundang simpati...

Wen Xin Han berkeras mahu membawa Fan Jin pergi. Ning Rui pula tidak mampu melakukan apa-apa selain seboleh mungkin cuba memujuk Wen Xin Han agar tidak berbuat begitu.