Ekspresi wajah Yan Bu Gui menjadi semakin tidak berdaya sewaktu guru besar itu meneruskan bebelannya. He Qiu Sheng berdiri di satu sudut dan kelihatan gembira.
"Izinkan saya menambah, Tuan. Saya rasa Sayap Timur perlu dipimpin oleh orang lain. Tengok apa yang Yan Bu Gui dah lakukan sekarang? Dia hanya dapat menarik beberapa orang anak murid itu saja dalam masa beberapa tahun kebelakangan ini. Selain pengemis-pengemis tu, siapa lagi yang akan menerima dia sebagai Tuan Guru? Sekarang ni situasi di Sayap Timur hanya menjadi semakin buruk. Mereka tiba-tiba membuat keputusan untuk mengutip seorang lagi pengemis entah dari mana. Pengemis yang juga tak akan membayar apa-apa dan terus mengharapkan dana akademi. Budak pengemis ini juga berani mencederakan anak murid saya dari Sayap Selatan! Kalau Tuan biarkan keadaan ini berterusan, pasti musnah akademi ini nanti!" He Qiu Sheng menghasut dengan kejam, kata-katanya begitu berbisa.
"Ini…." Guru besar itu berkerut, berasa jengkel.
Jun Wu Xie memerhatikan apa yang berlaku di dalam bilik bacaan ini dengan dingin. Pandangan matanya semakin menggerunkan.
"Tuan Guru Besar tak boleh teragak-agak lagi. Tuan mahu tunggu sehingga lintah-lintah Sayap Timur ini akhirnya menghalau semua anak murid Sayap Selatan keluar dari akademi ini baru Tuan akan bertindak? Anak murid itu semuanya…." He Qiu Sheng belum sempat habis bercakap apabila...
Jun Wu Xie menampar tangannya ke meja guru besar. Suaranya jelas kedengaran dan membuatkan mata semua orang yang berada di bilik itu, tertumpu padanya. Mereka memandang tangan kecil di atas meja tersebut dan terlihat ada nota bank di bawahnya.
"Cukup tak?" Jun Wu Xie bertanya dengan dingin.
Pada ketika itu, bilik bacaan tersebut sunyi-sepi.
Mata guru besar itu memandang tepat nota bank berkenaan. Dia tidak bergerak, tetapi matanya berkilau dengan terang apabila terlihat nota bank tersebut….
Nota bank….
Bila kali terakhir dia melihat nota bank?
He Qiu Sheng yang sebelum ini bersungguh-sungguh mendesak guru besar untuk menyingkirkan Yan Bu Gui dan menghalau anak-anak muridnya yang tak membayar apa-apa itu, menjadi pucat sebaik terpandang nota bank berkenaan.
Mukanya menggerenyet dan dia cuba menenangkan diri sebelum meneruskan, "Sayap Timur sudah bertahun-tahun tak bayar yuran. Kau jangan fikir hal ini boleh selesai dengan hanya beberapa ratus tahil. Anak murid aku tu datang dari keluarga kaya dan keluarganya tak akan mempedulikan jumlah beberapa ratus tahil itu.Ini bukannya sesuatu yang pengemis…."
Suara He Qiu Sheng semakin perlahan dan tersekat di kerongkongnya.
Sewaktu He Qiu Sheng sedang bercakap, guru besar itu menghulurkan tangannya untuk mengambil nota bank berkenaan. Sebaik terlihat jumlah yang tertulis di nota itu, dia terkejut!
He Qiu Sheng mengintai-intai sambil cuba kelihatan bersahaja. Apabila matanya terpandang jumlah yang dinyatakan dalam nota bank tersebut, dia terbeliak dan merenung dengan perasaan tidak percaya. Dia hampir-hampir lembik lutut dan rebah.
Satu jumlah yang ditulis dengan jelas dan pekat tertera di atas bank nota yang seputih salji itu…
Satu ratus ribu tahil!
Tangan guru besar itu menggigil-gigil sewaktu memegang nota bank itu. Janggutnya meremang.
Jumlah pendapatan tahunan Akademi Phoenix setelah ditolak perbelanjaan hanyalah sekitar tiga puluh hingga empat puluh ribu tahil. Jun Wu Xie ini pula mencampakkan saja seratus ribu tahil tanpa teragak-agak!
Jumlah di dalam tangan guru besar itu sama seperti keuntungan Akademi Phoenix selama tiga tahun!
Tak hairanlah guru besar ini menggigil seperti pokok yang ditiup angin.
He Qiu Sheng nampak seperti tertelan benda yang kelat. Dia benar-benar tidak mampu berkata apa-apa.
Anak muridnya mungkin mampu memberikan beberapa ratus tahil. Tetapi budak tak guna ini pula dengan mudahnya mengeluarkan seratus ribu tahil!
He Qiu Sheng mengesyaki matanya sudah tersilap pandang.
"Nota….nota bank itu mesti palsu!" He Qiu Sheng menjerit dengan nada tidak percaya. Tak mungkin budak tak guna yang nampak miskin ni ada begitu banyak duit!
Jun Wu Xie mengangkat sebelah keningnya dan merenung He Qiu Sheng yang sedang meradang itu. Dia langsung tidak mahu bercakap dengan lelaki itu sekalipun.
Guru besar tua terdengar kata-kata He Qiu Sheng. Dia lalu mengecilkan mata dan memeriksa nota bank itu dengan teliti.
Setelah beberapa ketika berlalu, guru besar itu tersenyum lebar. "Ini nota bank yang asli. Ini lambang Bank Bulan Roh! Memang betul-betul asli!"
Kali ini He Qiu Sheng benar-benar tergamam. Bank Bulan Roh ialah bank paling besar dan mempunyai cawangan di seluruh dunia. Lambang bank ini ditandakan dengan kuasa rohani dan tak boleh ditiru oleh pihak lain.