webnovel

Kambing Biri-biri Bertukar Menjadi Pemangsa (2)

Editor: EndlessFantasy Translation

Susah betul Qiao Chu mahu menahan diri daripada ketawa terbahak-bahak. Sampaikan dia rasa akan mati kerana terpaksa menahan ketawanya ini.

Mu Chen benar-benar memikirkan yang Jun Xie ini seperti kambing biri-biri yang mudah dipengaruhi dan mengikut saja "Ke Cang Ju" yang kejam itu? Ya tuhan! Sedarlah dan bukalah mata kamu tu! Kambing biri-biri ni mampu menelan musuh!

Jun Wu Xie tidak mempedulikan pujukan Mu Chen yang berniat baik itu dan merenung dingin ke arah Qiao Chu yang sedang terseksa kerana menahan ketawanya. Qiao Chu cepat-cepat mengeluarkan sebilah pisau belati dan menekannya pada leher pengikut Mu Chen yang tidak sedarkan diri itu.

"Sekarang ni, pergi tutup pintu." Jun Wu Xie mengecilkan mata sambil memberikan arahan pada Mu Chen.

Mu Chen mengeluh sedih dan memandang Jun Wu Xie dengan perasaan tidak percaya. Setelah beberapa ketika, dia menutup pintu bilik itu.

"Duduk," kata Jun Wu Xie dengan ringkas dan kasar.

Muka Mu Chen menjadi semakin marah. Dia mengalihkan pandangan matanya ke arah Hua Yao yang masih lagi diam. Di mata Mu Chen, tindakan Jun Wu Xie itu semuanya di atas arahan "Ke Cang Ju".

"Ke Cang Ju, lepaskan pengikut saya sekarang. Halakan kemarahan kamu pada saya."

"...…." Hua Yao mengangkat bahunya. Seolah-olah mengatakan dia tidak bersalah kerana dia langsung tidak berkata apa-apa sebelum ini.

"Mu Chen, kamu bencikan Qin Yue?" Jun Wu Xie tiba-tiba bertanya.

Mata Mu Chen bertukar menjadi dingin. Dia menggigit bibirnya dan tidak berkata apa-apa.

"Kalau kamu diberikan peluang untuk membalas dendam ke atas ayah kamu yang dibunuh dengan kejam itu, apa yang akan kamu lakukan?" Jun Wu Xie menyambung lagi.

Mata Mu Chen menunjukkan kekeliruannya. Dia tak tahu ke mana hala tujunya kata-kata Jun Xie ini. Adakah ini rancangan Ke Cang Ju? Apa yang Ke Cang Ju mahukan sebenarnya?

"Ke Cang Ju! Luahkan saja kalau kamu ada apa-apa yang nak dicakapkan! Jangan nak main-main dengan saya!" kata Mu Chen dengan marah.

"...…." Hua Yao memalingkan mukanya. Dia enggan memberi sebarang perhatian kepada Mu Chen.

Kenapa dia pula yang dipersalahkan sedangkan Jun Xie yang bercakap?

"Ke Cang Ju!" Mu Chen berdiri dengan marah. "Saya tahu Qin Yue memang mahu singkirkan saya. Kamu yang bantu dia bunuh ayah saya ketika itu. Kalau kamu berniat mahu membunuh saya di sini bagi pihak Qin Yue, silakan! Saya tak akan lari. Tapi hal ini tak ada kena mengena dengan pengikut saya! Lepaskan dia!"

Hua Yao menarik nafas dalam-dalam dan memandang Mu Chen yang sedang meradang itu. Tanpa menukar suaranya, Hua Yao berkata, "Bodohnya. Tak faham-faham lagi ke?"

"??? Apa?" Mu Chen terkejut. Suara Ke Cang Ju amat berbeza daripada kebiasaannya. Suara itu jelas dan kuat, langsung tidak kedengaran seperti suara lelaki separuh usia. Sebaliknya, suara itu kedengaran seperti milik seorang anak muda yang bertenaga.

"Bukannya idea saya untuk menyuruh kamu datang ke sini hari ini. Bukan juga idea Qin Yue. Tapi ini idea budak di hadapan kamu itu!" Hua Yao mengangkat tangannya dan menuding tepat pada Jun Xie.

Jun Wu Xie berdiri tanpa bergerak dan mengangguk secara acuh tak acuh.

Mu Chen semakin terkejut dan merenung Jun Xie dengan keliru. Dia tak dapat mengaitkan kejadian yang berlaku ini dengan anak muda yang tak sampai sebulan menyertai Kumpulan Qing Yun.

Anak muda ini yang bertanggungjawab di sebalik penculikan pengikutnya?

Anak muda ini yang memaksa dia datang ke Puncak Awan Tersembunyi?

Tapi kenapa?

Mu Chen tak dapat memikirkannya langsung. Kenapa Jun Xie lakukan semua ini? Dia hanya pernah bertemu budak ini sekali saja sebelum ini. Kenapa Jun Xie bertindak seperti ini?

Apa yang lebih mengelirukan dia ialah… Sejak bila pula "Ke Cang Ju" ini begitu tenang sehinggakan dia membenarkan pengikutnya melakukan kekecohan di hadapannya?

"Apa yang sedang berlaku ni?" Mu Chen langsung tak faham.

"Saya mahu Kumpulan Qing Yun lenyap sepenuhnya dari muka bumi ini," kata Jun Wu Xie dengan ringkas.

Mata Mu Chen terbeliak. Dia tak terkata apa-apa kerana terkejut. Mu Chen tertanya-tanya jika dia tidak tersalah dengar tadi.

Pemuda kecil molek ini mahu memusnahkan Kumpulan Qing Yun?