webnovel

Jangan Cari Maut dan Kamu akan Hidup (8)

Editor: EndlessFantasy Translation

Jun Wu Xie senyap sahaja dan tidak bertindak sebelum ini kerana hal itu tidak berkaitan dengannya. Tetapi kedudukan itu telah berubah. Pendirian serta tindakan Jun Wu Xie mengenai perkara itu kini juga telah berubah.

"Uhuk, apa kita nak buat dengan mayat ni?" tanya Qiao Chu. Dia berdehem sambil menyalakan sepasang lilin untuk Maharaja Negara Yan di dalam mindanya. Mungkin tak banyak perkara yang dia tahu,tapi dia ada mendengar daripada Fei Yan bahawa Jun Wu Xie secara sembunyi telah terlibat dengan perubahan rejim Kerajaan Qi.

Satu Kerajaan Qi, satu Kumpulan Qing Yun dan ditambah pula dengan Akademi Zephyr. "Pencapaian cemerlang" Jun Wu Xie sememangnya amat gemilang. Maharaja Negara Yan mungkin juga akan menjadi salah satu tambahan di dalam "portfolio pencapaian" Jun Wu Xie.

Jun Wu Xie mengeluarkan satu botol porselin putih dan melemparkannya pada Qiao Chu.

"Taburkan ke seluruh mayat."

Qiao Chu mengangguk dan dia menabur serbuk yang tidak dapat dikenal pasti itu ke seluruh badan Zhao Xun. Dalam sekelip mata, mayat itu mereput dengan cepat di bawah taburan serbuk putih itu, lenyap sedikit demi sedikit. Malah tulang-temulangnya juga tidak terkecuali. Dengan pantas, keseluruhan mayat yang tergelimpang di atas lantai itu telah bertukar menjadi lopak berdarah dan berair. Jun Wu Xie mengambil sebesen air bersih di dalam bilik itu dan mencurahkannya ke lantai. Kesan darah yang tertinggal terus dibilas dan hilang sepenuhnya.

Setelah hal itu diselesaikan dan hampir tamat, Hua Yao mengambil sepasang pakaian seragam Akademi Hua Wan di dalam bilik Zhao Xun. Kemudian mereka semua meninggalkan tempat itu secara senyap-senyap, sama seperti ketika mereka datang tadi.

Pada awal pagi keesokan harinya, pusingan seterusnya Kejohanan Pertempuran Roh pun dimulakan. Pelajar-pelajar dari pelbagai akademi memulakan perjalanan dengan awal untuk menuju arena masing-masing. Akademi Hua Wan masih ada tiga orang pelajar lain yang berjaya ke pusingan ini. Pada mulanya mereka mahu menunggu Zhao Xun sebelum keluar tetapi mereka langsung tidak melihat kelibatnya walaupun selepas lama menunggu. Mereka pergi ke bilik Zhao Xun dan mengetuk pintu bilik tetapi tidak ada jawapan. Mulanya mereka merasakan hal ini agak pelik, kemudian mereka tiba-tiba teringat bahawa Zhao Xun pulang lewat malam tadi. Dia juga jelas menunjukkan bahawa dia tidak akan mengambil bahagian dalam pertandingan hari ini. Apabila mereka teringat lawan Zhao Xun hari ini, para pemuda itu terus berputus asa dan berlalu pergi.

Mereka memikirkan bahawa Zhao Xun pasti telah menerima tawaran Putera Mahkota dan menarik diri daripada kejohanan itu.

Situasi seperti itu tidak lagi dianggap pelik.

Bilangan orang ramai di daerah pertempuran pertama telah berkurangan. Berbanding keadaan sebelum ini yang sesak dan sibuk, suasana di arena kini lebih tenang. Pemuda-pemuda yang telah awal ke sana mula memanaskan badan dan bersiap sedia untuk perlawanan seterusnya. Mereka saling bertukar pandangan dan idea berdasarkan pengalaman yang mereka perolehi selepas melalui beberapa pusingan. Masing-masing sudah mesra dengan peserta lain dan sedang berbual-bual sesama sendiri.

Kawasan pentas pertempuran masih riuh dan kecoh tetapi apabila satu susuk tubuh kecil muncul di hadapan pintu daerah pertempuran pertama, seluruh arena tiba-tiba menjadi senyap. Tanpa disedari, semua mata berpaling melihat ke arah tubuh kecil molek yang memasuki arena. 

"Buat apa dia datang ke sini?" Beberapa orang pemuda berkata dengan jijik sambil memandang Jun Xie yang berjalan masuk ke arena. Dalam beberapa pusingan sejak awal kejohanan itu, Jun Xie langsung tidak bertempur walau sekali kerana semua lawannya pada setiap pusingan telah menarik diri. Perkara ini menyebabkan peserta-peserta yang telah berjuang bermati-matian untuk melepasi setiap pusingan dan sampai ke situ berasa sangat tidak puas hati. 

"Dia datang setakat nak tunjuk muka sajakah? Dia tahu dia tak perlu berlawan pun."

"Bukankah Zhao Xun itu lawannya hari ini?"

"Betul. Malam tadi saya minum dengan Zhao Xun dan dia dah pun beritahu kami yang dia tak akan muncul hari ini. Kalau fikir dengan jari kaki pun, semua orang tahu ada seseorang tu telah pergi menangis di hadapan Yang Mulia Putera Mahkota dan meminta Putera Mahkota membantu menguruskan lawannya. Untung betul! Orang seperti kita tak dapatlah merasa tuah seperti itu," kata beberapa orang pemuda dengan nyaring dan bernada cemuhan. Ada orang yang mencemburui Jun Xie dan ada juga yang menghinanya.

Di dalam kerumunan orang ramai di situ, wajah Qu Ling Yue kelihatan berkerut. Dia memandang bimbang pada Jun Xie yang sedang perlahan-lahan berjalan masuk ke arena.