Kata-kata Lei Fan menarik perhatian semua orang di jamuan itu. Mereka berpaling memandang Jun Xie. Walaupun Lei Fan mempamerkan senyuman pada wajahnya, senyuman tersebut tidak terpancar pada matanya.
Jun Wu Xie tidak terus memberikan jawapan. Dia hanya merenung wajah Lei Fan yang sedang tersenyum itu. Selepas agak lama diam, Jun Wu Xie perlahan-lahan mengangkat cawannya dan menghirup sedikit, sekadar berbahasa.
Ketika itu, Maharaja berkata sambil tersenyum, "Ini pastinya peserta termuda dari Akademi Zephyr, bukan? Nama kamu Jun Xie?"
Jun Wu Xie berdiri dan menjawab, "Patik, Tuanku."
"Bagus, bagus, bagus! Wira sememangnya boleh ditemui dalam kalangan anak muda. Beta tak sangka orang yang begitu muda ini dapat meraih pencapaian yang tinggi. Masa depan kamu tak terbatas! Kamu sebaya dengan Putera Keempat. Kamu berdua patut bergaul lebih mesra nanti," kata Maharaja sambil ketawa. Matanya meneliti Jun Xie dari kepala hingga ke kaki. Namun apabila matanya terlihat cincin yang Jun Xie pakai di jarinya, senyuman di wajah Maharaja kaku seketika!
"Jun Xie, kamu adalah peserta termuda yang menyertai Kejohanan Pertempuran Roh. Paling muda dalam sejarah kejohanan ini. Mara ke depan dan biar Beta lihat kamu betul-betul, prodigi kecil," sambung Maharaja tanpa menunjukkan sebarang perubahan dalam perlakuan baginda.
Jun Wu Xie tidak mahu memalukan Maharaja di hadapan semua orang yang hadir di situ. Dia mengambil beberapa langkah dari tempat duduknya lalu berdiri di hadapan Maharaja.
Wajah Maharaja masih tersenyum, tetapi ada sedikit perasaan terkejut yang bersinar, jauh di dalam matanya.
[Cincin di jari Jun Xie! Tak mungkin Beta akan melupakannya!]
"Jun Xie, cincin di jari kamu itu cincin roh kamukah? Inilah kali pertama Beta lihat ada orang memakai cincin roh di jari itu." Cincin roh biasanya dipakai di jari tengah tangan kanan. Bukannya pemilik cincin yang memutuskan begitu. Sebaik cincin roh seseorang itu dibangkitkan, cincin roh itu akan muncul di jari tengah. Kebanyakan orang tidak akan mengubah posisi cincin roh itu dengan sengaja.
Tetapi cincin perak di tangan Jun Xie itu dipakai pada jari manis.
Jun Wu Xie menundukkan kepala dan memandang cincin di jari manisnya. Cincin itu diambilnya dari rumah batu di dasar Cenuram Penghujung Syurga. Selepas meninggalkan tempat itu, dia sering memakai cincin ini di jarinya dan tidak pernah menanggalkannya.
Salah satu sebabnya ialah inilah sahaja barang peninggalan "Tuan Guru" Jun Wu Xie, Satu lagi sebab ialah cincin rohnya sendiri tidak dapat dilihat oleh orang lain. Memakai cincin perak ini di jarinya dapat mengelirukan musuh-musuhnya.
"Ya, Tuanku," Jun Wu Xie menjawab ringkas. Walaupun Maharaja bersusah-payah mahu menyembunyikannya, Jun Wu Xie tetap menyedari perubahan kecil yang tidak begitu ketara pada reaksi dan perlakuan Maharaja. Jelas sekali baginda amat mengambil berat tentang cincin ini.
"Oh, begitu," kata Maharaja. Hati baginda sedikit lega. Namun kerisauan pada mata baginda masih belum lenyap.
"Beta cuma ingin tahu sahaja. Jun Wu Xie, kamu boleh kembali ke tempat kamu. Hari ini adalah untuk mengucapkan tahniah dan meraikan para pemenang Kejohanan Pertempuran Roh. Jadi, tolong jangan segan-segan."
Jun Wu Xie kembali ke tempat duduknya tetapi di dalam hati, dia memutuskan untuk memerhatikan perlakuan pelik Maharaja itu dengan teliti.
Jamuan itu dengan rasminya bermula. Para penari meliuk dengan lemah gemalai sementara alunan muzik berkumandang. Lilitan kain yang melambai serta haruman wain berkualiti yang manis membuatkan suasana menjadi sangat mengasyikkan bagi para tetamu jamuan itu.
Selepas tiga pusingan wain dihabiskan, jamuan itu menjadi semakin hiruk-pikuk. Keempat-empat putera raja itu kadangkala berbual-bual dengan para tetamu. Para pelajar dari Akademi Panji Perang dan Akademi Pembunuh Naga tidak putus-putus menawarkan minuman ucap selamat pada Maharaja. Wajah Maharaja dihiasi senyuman, tetapi mata baginda menunjukkan fikiran baginda sedang menerawang. Baginda sekadar bercakap sepatah dua sahaja sebagai jawapan.
Lei Fan mengambil peluang ketika semua orang sedang sibuk berbual untuk berdiri dan berjalan menuju ke arah Jun Xie.