Kata-kata lelaki itu didengari oleh kerumunan para pemuda itu dan satu keriuhan yang kuat bergema!
Para pemuda ini begitu berharap dan kini mereka semua merenung lelaki itu dengan perasaan tidak percaya, tak mampu untuk terus duduk di kerusi mereka.
Gu Li Sheng tak datang!?
Kenapa pula!?
Adakah mereka sudah menukar format dan kaedah pemilihan pelajar untuk masuk ke fakulti Pemulih Roh!? Keadaan huru-hara tercetus dan para pemuda itu semuanya memerhatikan lelaki itu. Mereka meminta penjelasan lanjut.
Lelaki itu memandang kerumunan pelajar ini dengan tidak berdaya lalu menjawab, "Tuan Guru Gu sudah pun menghantar mesej yang pelajar fakulti Pemulih Roh pada tahun ini telah dipilih."
Dipilih!?
Mereka semuanya terkejut.
Bila masanya pemilihan itu dijalankan?
Kenapa mereka tak diberitahu!?
Para pemuda itu mula berbincang sesama sendiri dan ramai yang meneka-neka bahawa Gu Li Sheng sudah mengubah kaedah pemilihan pelajarnya. Mungkin dia telah memerhatikan setiap gerak-geri mereka secara sembunyi, sebaik mereka masuk ke dewan kuliah itu.
Tak ada siapa dalam kalangan mereka yang tahu apa kriteria sebenar yang Gu Li Sheng telah tetapkan dalam pemilihan pelajarnya. Kini setelah diumumkan yang pemilihan itu telah selesai, mereka hanya boleh meneka yang Gu Li Sheng berada di dalam dewan itu selama ini dan telah memerhatikan mereka semua dalam diam.
Kesimpulan ini membuatkan kebanyakan pemuda ini berasa sangat cemas, teringat-ingat segala tindak-tanduk mereka sepanjang kuliah itu berlangsung. Mereka cuba memikirkan kembali sama ada mereka telah mendengar kuliah itu dengan teliti atau tidak memberi perhatian serta tidak fokus. Mereka semua bimbang, takut-takut telah membuatkan Gu Li Sheng mempunyai anggapan yang buruk terhadap mereka.
Memandangkan semua pemuda ini sedang amat bingung, lelaki itu tidak dapat menahan dirinya daripada mengeluh panjang lagi. Kemudian dia berdeham dan berkata, "Tuan Guru Gu sudah pun memaklumkannya pada pelajar yang telah dia pilih untuk masuk ke fakulti Pemulih Roh. Kalau kamu belum menerima apa-apa berita sehingga kini, maksudnya kamu tidak dipilih dan tak perlulah membuang masa meneka-neka lagi."
Para pemuda ini memandang kosong pada lelaki di hadapan mereka ini. Satu kesedaran tiba-tiba muncul di minda mereka semua.
Lelaki itu mengatakan "Tuan Guru Gu sudah pun memaklumkan pelajar itu." Dia kata "pelajar" bukannya "pelajar-pelajar".....
"Tuan, tahun ini Tuan Guru Gu….terima berapa orang pelajar?" Seorang pemuda yang lebih pantas berfikir berbanding yang lain, bertanya dengan berhati-hati. Satu realiti yang buruk muncul di mindanya.
Lelaki itu membalas, "Cuma seorang." Para pemuda di dalam dewan kuliah ini ibarat disimbah air sejuk dan hati mereka hancur luluh. Satu sinar harapan kecil yang mereka semua pegang mula berkelip-kelip dan akhirnya padam!
Seorang!?
Fakulti Pemulih Roh menerima hanya seorang pelajar tahun ini!?
Macam mana ini boleh berlaku?
Semua pemuda ini berasa amat kecewa!
"Siapa? Siapa orang yang bertuah sangat tu!?" Kelebihan istimewa yang diberikan kepada seorang pelajar saja dalam kalangan mereka membuatkan para pemuda ini menggila. Mereka berpusing dan memandang setiap sudut untuk cuba mencari siapakah orang yang paling bertuah dalam kalangan mereka itu.
Sewaktu mereka memandang-mandang di sekeliling mereka, mata mereka terlihat satu susuk tubuh yang duduk bersendirian di satu sudut. Tiba-tiba hati mereka membeku dan mereka berdiri terpaku.
Siapa?
Siapa lagi!
Jahanam! Sebelum budak tak guna ini diterima masuk ke dalam Akademi Zephyr sekalipun dia telah dijemput oleh Gu Li Sheng untuk bertemu dengannya di fakulti Pemulih Roh! Siapa lagi yang akan dipilih kalau bukan budak tak guna tu!
Sebelum ini mereka hanya cemburu dan iri hati dengan Jun Wu Xie. Tetapi selepas mengetahui budak ini telah mencuri satu-satunya tempat di dalam fakulti Pemulih Roh, kemarahan mereka membara dan memuncak sehingga menjadi kebencian yang mendalam!
Mereka semua cukup berbakat sehingga dapat diterima masuk ke kampus utama. Mereka juga merupakan anak-anak muda yang mempunyai bakat yang hebat serta dianggap sebagai genius di tempat asal mereka. Tetapi walaupun mereka begitu hebat, mereka dipandang rendah berbanding budak muda bertubuh kecil ini. Budak yang begitu dingin dan suka mengasingkan diri. Mereka kehilangan satu-satunya peluang untuk menjadi Pemulih Roh disebabkan dia! Sakit hati betul!
Walaupun fakulti lain memiliki kuasa dan kekuatan yang lebih besar, mereka tetap berasa tersinggung kerana walaupun jumlah mereka agak ramai, mereka diketepikan oleh orang sebegini!!!
Berpuluh-puluh pemuda itu semuanya merenung Jun Xie yang duduk di sudut itu dengan pandangan yang membara. Mereka berharap dengan sepenuh hati agar budak tak guna itu hangus dijilat api!