Yin Yan tidak berjaya mencapai matlamatnya dan dia agak kecewa. Dia berpaling dan menjeling Li Zi Mu dengan tajam setelah terdengar suara Li Zi Mu yang menunjukkan perasaan kagum.
Kata-kata penuh keadilan?
Dia langsung tak ada niat untuk mempertahankan sampah seperti ini!
Sewaktu Yin Yan baru sahaja mahu memarahi Li Zi Mu, tiba-tiba datang satu susuk tubuh yang berjalan dengan lemah gemalai menuju ke arahnya.
"Memandangkan kamu dan Yin Yanini sama-sama dari fakulti Pemulih Roh, tentulah dia akan mempertahankan kamu dan tak benarkan kamu dianiaya." Seorang gadis muda yang cantik menghampiri mereka berdua. Apabila Li Zi Mu terlihat senyuman menawan itu, dia terpegun.
Li Zi Mu tak dapat mengalihkan pandangan dari gadis rupawan di hadapannya ini.
"Senior Ning?" Yin Yan cepat-cepat menahan kemarahannya apabila Senior Ning mendekatinya.
Senior Ning memberikan Yin Yan satu senyuman lembut dan memandang Li Zi Mu lalu berkata, "Kebolehan kamu sendiri yang membuatkan kamu mendapat tempat di fakulti Pemulih Roh. Berbaik-baiklah dengan Yin Yan di sana nanti."
"Ya….. ya, sudah tentu….. Se….. Senior Ning." Li Zi Mu yang terpukau dengan kecantikan itu dan dalam keadaan separa sedar, hanya memanggil gadis cantik itu dengan panggilan yang sama Yin Yan gunakan.
Senior Ning memberikan satu lagi senyuman lembut dan memandang Yin Yan penuh makna sebelum mereka berdua meninggalkan dewan makan itu.
Selepas mereka beredar sekalipun, Li Zi Mu masih dilamun perasaan gembira.
Di luar dewan makan tersebut, wajah Yin Yan menunjukkan perasaan tidak puas hatinya.
"Senior Ning tak sepatutnya membazirkan masa untuk sampah seperti itu. Mungkin Tuan Guru saya telah menerima dia, tetapi dia belum lagi diberi tunjuk ajar dalam apa-apa teknik." Sewaktu Yin Yan terlihat Senior Ning melayang Li Zi Mu dengan baik tadi, hatinya berasa perit.
Li Zi Mu itu penakut macam tikus dan Yin Yan benar-benar bencikan dia.
Senior Ning memandang Yin Yan dan senyuman menawan itu perlahan-lahan lenyap dari wajahnya. "Yin Yan, kamu benar-benar fikir yang Tuan Guru Gu akan menerima sesiapa saja menjadi muridnya untuk tahun ini? Li Zi Mu mungkin nampak dungu tapi memandangkan dia dapat menawan hati Tuan Guru Gu, pasti ada sebab di sebalik semuanya. Ingat, berpura-pura berhubungan baik saja dengan dia. Kalau dia membuktikan dirinya berguna nanti, lebih baik kita yang menggunakan dia."
Yin Yan terdiam seketika dan memadamkan sebarang kesan tidak puas hati daripada wajahnya sebelum menundukkan kepala tanda akur, "Seperti biasa, memang betul cakap Senior Ning tu. Saya ni yang jahil."
"Tak ramai Pemulih Roh yang ada di sini dan tambahan seorang lagi akan meningkatkan kekuatan kita. Mungkin Li Zi Mu itu bodoh, tetapi dia juga mudah dimanipulasi. Kita boleh ambil lebih banyak kesempatan dalam konflik di antara dia dan Jun Xie. Selepas melihat cara Fan Jin mempertahankan Jun Xie hari ini, kamu tak nampak ke yang Fan Jin amat mengambil berat tentang budak tak guna tu? Kalau kamu nak balas dendam terhadap Fan Jin, bertindaklah ke atas Jun Xie. Fan Jin itu amat berhati-hati dan tak mudah untuk mencari kesalahannya. Tapi dalam bagi Jun Xie pula, mudah saja." Senior Ning ketawa kecil. Orang yang mempunyai kelemahan ialah orang yang paling senang dijatuhkan.
Mata Yin Yan bersinar-sinar. Dia segera dapat menangkap maksud di sebalik kata-kata Senior Ning.
"Jangan bimbang Senior Ning. Saya akan pastikan saya dapat berbaik-baik dengan Li Zi Mu dan tidak akan benarkan Fan Jin serta Jun Xie hidup tenang."
Senior Ning mengangguk puas hati.
"Kalau Jun Xie itu tak lagi berada di Akademi Zephyr selepas segala hal yang berlaku, semua ini tak perlu kita ambil peduli. Tapi kalau dia terus berada di sini, gunakan Li Zi Mu sebaiknya. Kekecohan dalam hidup Jun Xie pada hari-hari yang mendatang baru saja bermula. Ingat, jangan tinggalkan sebarang jejak yang boleh mengaitkan semua ini dengan kita. Kalau kita boleh melibatkan Jun Xie dalam masalah besar, mentor kesayangannya, Fan Jin, akan terpalit sama. Setidak-tidaknya pun dia akan dimarahi oleh Guru Besar."
"Ya!"
Pada saat ini, Senior Ning dan Yin Yan sedang berkomplot untuk menggunakan Jun Xie bagi mengenakan Fan Jian. Sementara itu...
Fan Jin sudah pun membuang segala kerisauannya dan sedang membawa Jun Xie merentasi kampus Akademi Zephyr yang besar. Mereka kemudiannya tiba dan di satu kawasan yang kelihatan seperti tempat tinggal seseorang, tersembunyi di satu sudut di dalam kampus Akademi Zephyr.