Ketika Jun Wu Xie dicampakkan ke dalam penjara, Lei Chen bergegas ke sana-sini, tetapi telah dikecewakan. Maharaja menyuruh Lei Chen beredar selepas bercakap sepatah dua, malah juga tidak membenarkannya pergi ke penjara. Di Kediaman Putera Mahkota, Lei Chen begitu risau sehingga hampir gila.
"Tuanku, para pelajar Akademi Zephyr mahu berjumpa."
Lei Chen terkejut seketika sebelum cepat-cepat berkata, "Bawa mereka masuk, cpeat." Dia merapikan pakaiannya supaya tidak kelihatan terlalu menyedihkan.
Qiao Chu masuk ke bilik bacaan Lei Chen bersama-sama seseorang yang diselubungi jubah berwarna hitam. Lei Chen memandang orang di sebelah Qiao Chu itu dengan penuh tanda tanya. Kemudian dia berpaling dan berkata pada Qiao Chu, "Tuan Muda Qiao datang ke sini disebabkan hal Jun Xie?"
Qiao Chu menggaru-garu kepalanya sambil membalas dengan kekok, "Ada kaitan jugalah."
Lei Chen tersenyum kelat. "Beta benar-benar tidak berdaya. Beta mahu berbincang dengan Ayahanda tentang hal ini, tapi Ayahanda langsung tak beri peluang pada Beta untuk menyebutkan hal ini. Ayahanda cuma beri amaran supaya Beta tak masuk campur. Berita tentang Qu Ling Yue cedera parah itu sudah pun tersebar ke Bandar Seribu Binatang dan orang-orang mereka akan tiba di sini tak lama lagi."
Lei Chen berasa agak tertekan. Qu Ling Yu juga merupakan seseorang yang dia mahu rekrut juga. Kebelakangan ini dia telah banyak berusaha untuk membina hubungan yang lebih rapat dengan Qu Ling Yue. Siapa sangka insiden yang berlaku itu membuatkan Qu Ling Yue cedera parah sehingga koma dan Jun Xie juga turut terlibat. Ini membuatkan dia berasa sangat gelisah. Maharaja pula telah melarangnya daripada masuk campur. Jadi dia tidak boleh berbuat apa-apa selain terus berasa risau.
"Macam mana dengan keadaan Qu Ling Yue?" Qiao Chu bertanya sambil senyap-senyap menjeling orang di sebelahnya tanpa disedari.
Lei Chen mengeluh panjang. "Tak bagus. Tabib Diraja telah merawatnya sepanjang malam, tetapi kesannya tidak begitu ketara. Beta pergi melawatnya semalam dan dia kelihatan amat lemah. Tabib-tabib itu hanya mampu menggunakan pelbagai jenis eliksir penyambung nyawa untuk menstabilkan jantung dan titik meridiannya tetapi itu hanyalah langkah sementara. Kalau keadaan ini berterusan… dia mungkin tak akan selamat. Kalau apa-apa terjadi padanya, prang-orang dari Bandar Seribu Binatang tak akan lepaskan Adik Jun! Ketua Puak Bandar Seribu Bintang adalah orang yang ganas. Putera Mahkota seperti Beta pun tidak dipedulikannya. Beta tak dapat selamatkan Adik Jun daripada dipenjara."
Qiao Chu mengangguk dan sekali lagi menjeling pada orang di sebelahnya. Kemudian dia berkata, "Kalau tentang hal merawat kecederaan, ada doktor genius yang saya boleh cadangkan pada Tuanku."
"Oh? Benarkah?" Mata Lei Chen terus bersinar-sinar.
Qiao Chu mengangguk dan cepat-cepat menuding pada orang di sebelahnya lalu berkata, "Sebenarnya, saya ke sini hari ini untuk membawa orang ini."
Lei Chen terus mengalihkan pandanganny ke orang tersebut. Sebaik orang itu membuka jubah yang menyelubungi seluruh tubuhnya, satu wajah yang cantik tiada tandingan serta mampu meruntuhkan kota tiba-tiba muncul di hadapan Lei Chen. Sekilas pandang sahaja sudah membuatkan Lei Chen lupa untuk bernafas. Dia menarik nafas dengan kuat dan matanya tidak dapat berganjak dari muka orang itu.
Sebagai Putera Mahkota Negara Yan, dia telah bertemu dengan ramai jelitawan. Namun tidak ada seorang pun yang begitu menawan dan menawan jiwa seperti gadis di hadapannya ini. Mata gadis itu ibarat ciptaan Syurga yang paling hebat. Langsung tidak ada celanya.
Selama ini Lei Chen menganggap Fu Xuan sebagai cantik, mempesonakan dan menggoda. Qu Ling Yue juga sama, ibarat bunga orkid tunggal di dalam gaung yang tandus. Tetapi kecantikan mereka berdua langsung tidak dapat dibandingkan dengan gadis yang berdiri di hadapannya ini. Semua jelitawan yang ada di dalam ingatan Lei Chen tiba-tiba kehilangan seri.
"Ini ialah….." Setelah begitu lama masa berlalu, akhirnya Lei Chen mampu bersuara kembali. Kata-kata yang diucapkannya itu mendedahkan perasaan gugup yang dia sendiri tidak sedari.
Jun Wu Xie diam-diam memerhatikan riak wajah terkejut Lei Chen. Sinar matanya jernih tetapi dingin.
"Ini ialah Cik Muda Jun Wu Xie dari Istana Lin Kerajaan Qi." Qiao Chu berdehem kemudian memperkenalkan Jun Wu Xie. Sudah lama dia tidak melihat rupa paras sebenar Jun Wu Xie sehingga dia tidak dapat menahan dirinya daripada terus-terusan mencuri pandang pada gadis itu.