webnovel

Ditundukkan (6)

Editor: EndlessFantasy Translation

Hua Yao dan Qiao Chu memandang Jun Wu Xie dengan perasaan terkejut. Anak muda bertubuh kecil ini lebih tegas dan kuat berbanding orang lain!

"Saya tak perlukan kamu berdua untuk melindungi saya. Hubungan di antara kita hanyalah sebagai rakan sekutu dalam kerjasama ini. Kamu tak perlu bergadai nyawa dalam hal ini. Saya tak akan mampu membalas budi kamu." Jun Wu Xie sudah pun berasa terhutang budi dengan si dungu itu dan dia tak mahu lagi menambah hutang budi dengan orang lain pula.

Hua Yao dan Qiao Chu terdiam dan memandang Jun Wu Xie dengan bingung.

Kata-kata Jun Wu Xie itu kedengaran dingin dan seolah-olah tidak berhati-perut. Tetapi mereka berdua tahu, jauh di sudut hati mereka, Jun Wu Xie hanya berkata demikian kerana mahu mereka mengalah dan tidak terlibat dengan bahaya di hadapan mereka ini.

"Kami tak perlu dibayar balik pun. Memang kami suka berbudi," kata Qiao Chu sambil ketawa.

Jun Wu Xie tetap berdiri tegak di tempatnya. Dia enggan berpaling.

Lelaki berjubah putih itu memandang ketiga-tiga pemuda itu dengan tidak sabar, "Budak tak guna, aku cuma mahukan roh berkontrak kau. Kalau kau tak mahu rakan-rakan kau mati, jangan bergerak dan biarkan saja aku ambil roh berkontrak kau."

Dia hanya perlukan satu jari saja untuk menentang ketiga-tiga pemuda ini.

"Sudah-sudahlah merepek! Kalau kamu nak sentuh Xie Kecil, langkah mayat kami dulu!" Qiao Chu melangkah ke depan tanpa teragak-agak dan melepaskan kuasa rohaninya. Tanpa disangka-sangka, kuasa rohani yang menyelubunginya itu berwarna ungu!

Hua Yao mengikut jejak langkah Qiao Chu dan melepaskan kuasa rohaninya juga. Kilauan ungu terpancar dari badannya!

Mereka berdua sudah mencapai kuasa rohani tahap ungu!

Jun Wu Xie memandang Hua Yao dan Qiao Chu dengan perasaan terkejut. Mereka berdua hanya beberapa tahun lebih tua daripadanya dan kedua-duanya sudah mencapai puncak tahap ungu!

Baru beberapa berlalu sejak kemunculan roh tahap ungu dan mereka berdua masih muda lagi, Bagaimana mereka dapat mencapainya?

Lelaki berjubah putih itu turut terkejut melihat cahaya ungu menyelubungi Hua Yao dan Qiao Chu. Tetapi seketika kemudian, dia mula tersenyum.

"Meningkatkan kuasa rohani kamu secara paksa….Kamu berdua tak akan dapat bertahan lama, bukan? Roh ungu...Ha! Aku rasa itulah saja tahap tertinggi kamu boleh capai secara paksa buat masa sekarang ni. Sayangnya….dua roh ungu pun masih bukan tandingan aku!" Mata lelaki berjubah putih itu mengecil dan dia meluru menyerang Hua Yao dan Qiao Chu!

Qiao Chu dan Hua Yao menggunakan seluruh kekuatan kuasa rohani mereka untuk menyerang lelaki berjubah putih itu bersama-sama. Ular tulang berkepala dua dan beruang Ying Yang turut menyertai pertempuran itu. Jun Wu Xie tidak dapat menahan dirinya lagi dan terus menyertai pertempuran berkenaan bersama-sama binatang hitamnya!

Satu lawan enam, sepatutnya sudah jelas pihak mana yang ada kelebihan. Tetapi sewaktu pertempuran itu semakin sengit, hasilnya sukar dipercayai!

Lelaki berjubah putih itu berhadapan dengan serangan enam kuasa yang bersatu itu dengan mudah!

Walaupun disertai dua orang pakar tahap ungu yang bersatu menentangnya, mereka tetap bukan saingan lelaki berjubah putih tersebut.

Jun Wu Xie, yang baru sahaja mencapai tahap jingga, tidak dapat banyak menyumbang ke arah kekuatan mereka.

Lelaki berjubah putih itu menguruskan pihak lawannya dengan senyuman dingin terukir di bibirnya. Salah satu serangan tapak tangannya mematahkan ekor ular tulang berkepala dua dan satu tendangannya membuatkan beruang Ying Yang itu terpelantinf jauh. Sewaktu lelaki berjubah putih itu masih terapung di udara, dia menghulurkan tangannya ke hadapan dan mencengkam bahu Hua Yao. Cengkamannya menjadi semakin kuat dan kedengaran bunyi tulang patah. Dia kemudiannya mencampakkan Hua Yao keluar dari medan pertempuran. Sebelah lagi tangan lelaki itu digenggam menjadi penumbuk dan dia menghayunkannya ke muka Qiao Chu!

Sekelip mata!

Darah terpercik!

Tulang pelipis Qiao Chu retak dan darah mengalir keluar dari luka yang terbuka itu. Separuh mukanya lebam-lebam.

Binatang hitam itu menerkam lelaki berjubah putih tersebut dari belakang, tetapi lelaki itu menggenggam leher binatang berkenaan dan mengangkatnya.

"Budak, kalau pertempuran ini berterusan, rakan-rakan seperjuangan kau benar-benar akan mati." Lelaki berjubah putih itu berkata sambil ketawa kejam. Dia masih memegang leher binatang hitam itu.

Jun Wu Xie sudah pun luka-luka dan lebam-lebam. Tangan kirinya patah akibat pertempuran tadi. Dia menggigit bibirnya dan merenung dingin pada lelaki berjubah putih yang amat kuat itu.