Sebaik Qiao Chu dan Hua Yao kembali, mereka melihat Qin Yue menghembuskan nafasnya yang terakhir. Mereka langsung tidak ambil peduli walaupun lelaki itu ialah Pemerintah Kumpulan Qing Yun yang kuat.
"Dah dapat." Hua Yao mengangguk ke arah Jun Wu Xie.
"Sudah tiba masanya untuk yang lain-lain pula menerima nasib mereka. Mu Chen, suruh pengikut kamu tinggalkan gunung ini." Jun Wu Xie berpusing dengan tegas dan berlalu pergi sambil yang lain-lain mengikutnya dari belakang.
Di dalam dewan utama itu, para pengikut Kumpulan Qing Yun masih terlalu takut untuk bergerak. Sewaktu mereka melihat Jun Wu Xie beredar, mereka mahu mengeluh lega. Namun kata-kata Jun Wu Xie selepas itu hanya membuatkan mereka menggeletar.
Tiga ekor binatang yang besar itu meneruskan pembunuhan beramai-ramai di dalam dewan utama tersebut dan tempat itu bermadikan darah merah pekat. Pertumpahan darah ini seolah-olah digunakan untuk membersihkan kumpulan yang kuat ini daripada dosa dan kekotorannya.
Sedang mereka berjalan turun dari Puncak Awan Biru, mereka dapat melihat susuk tubuh pengikut-pengikut Kumpulan Qing Yun bergelimpangan di merata tempat, terbaring kaku. Sehingga ke saat akhir hidup mereka sekalipun, mereka tak tahu apa yang telah meragut nyawa mereka.
Puncak Berawan yang dahulunya riuh kini diselubungi kesunyian. Sepanjang perjalanan dari Puncak Awan Biru ke Puncak Menjejak Awan, Mu Chen tidak melihat ada sesiapa pun yang masih hidup.
Jun Wu Xie telah menepati janjinya untuk menghapuskan seluruh Kumpulan Qing Yun!
"Apa rancangan kamu selepas ini?" tanya Hua Yao sambil berpusing ke arah Jun Wu Xie. Hal berkaitan Kumpulan Qing Yun ini sudah selesai dan mulai saat ini, kumpulan ini tak akan wujud lagi.
Jun Wu Xie berfikir-fikir seketika sambil merenung puncak gunung menawan yang sebelum ini menempatkan kumpulan Qing Yun yang hebat. Kemudian dia menjawab dengan perlahan, "Saya nak balik rumah dulu."
Sudah lama dia berjauhan dari rumah. Sudah tiba masanya dia kembali.
"Kalau begitu saya akan ikut kamu! Mu Chen kata dia perlu lama lagi di sini untuk menguruskan hal pengikut Rumah Luaran serta pakar upahan yang berada di sini. Dia akan pergi ke Kerajaan Qi dalam masa dua minggu lagi untuk mencari kamu. Kamu akan teman kamu balik dan sesudah kamu selesaikan urusan, kamu boleh bantu kami buat eliksir tu," kata Mu Chen dengan penuh teruja. Selepas lama berada dengan Jun Wu Xie, dia merasakan Jun Xie ini teman yang baik.
Jun Xie masih muda tetapi rancangan yang dia fikirkan amat mengejutkan Qiao Chu.
Malah sewaktu berhadapan dengan Kumpulan Qing Yun yang hebat, pihak musuh mereka ini telah jatuh ke gaung neraka akibat minda Jun Wu Xie yang tajam. Hidup Qiao Chu akan jadi lebih mengujakan kalau dia berada bersama-sama syaitan kecil seperti Jun Wu Xie ini!
Jun Wu Xie memandang Qiao Chu yang amat bersemangat ini dan mengangguk selepas berfikir seketika.
Kali ini, hasil pertolongan Hua Yao dan Qiao Chu, matlamatnya untuk menghapuskan Kumpulan Qing Yun telah berjalan lebih lancar lagi. Berbanding rancangan asalnya, Jun Wu Xie berjaya memendekkan masa sebanyak dua minggu.
Sama seperti kerjasama lain, mereka perlu menunaikan janji.
Di dalam minda Jun Wu Xie, dia sudah mengiktiraf Hua Yao dan Qiao Chu sebagai sekutu sementara di dalam kerjasama mereka. Tanpa dia ketahui, pertemuan secara kebetulan yang membawa kepada persekutuan pertama mereka ini akan membuatkan mereka saling berkait seumur hidup mereka.
Tiga anak muda itu meneruskan perjalanan turun dari gunung. Mereka membiarkan Mu Chen menguruskan hal-hal lain di situ.
Sewaktu mereka bertiga berjalan bersama-sama, Qiao Chu sangat teruja dan tak berhenti-henti bercakap. Hua Yao dan Jun Wu Xie pula diam sahaja.
Tiba-tiba, sewaktu tiga anak muda itu sampai di separuh perjalanan mereka, dua susuk tubuh muncul di kemuncak gunung Puncak Berawan.
Dua susuk tubuh itu terlihat puncak-puncak gunung yang dipenuhi mayat-mayat yang bergelimpangan itu lalu mata mereka bersinar, kelihatan teruja.
"Apa masalah Kumpulan Qing Yun ni? Baru setengah tahun saja keadaan mereka sudah jadi begitu menyedihkan?" Lelaki yang kelihatan menawan itu berkata sambil ketawa sewaktu melihat mayat-mayat berkenaan. Namun begitu, matanya bersinar dengan kedinginan yang kejam.
Seorang lagi lelaki itu berkerut. Pada ketika itu, gelang permata yang dipakai di pergelangan tangannya mengeluarkan cahaya kehijauan. Lelaki itu terkejut.
"Roh berkontrak jenis tumbuhan wujud di Alam Bawahan!"