webnovel

Datang ke Bandar Chan Lin Sekali Lagi (4)

Editor: EndlessFantasy Translation

Setelah menyaksikan kelakuan samseng Jun Wu Xie ini, Qiao Chu hampir jatuh terduduk.

Tak kiralah sama ada dia menyelamatkan atau membantu seseorang, Jun Wu Xie pasti akan menggunakan cara yang melampau. Kalau orang yang menerima bantuannya itu ialah seorang yang lurus, pasti mereka akan tersalah faham dengan niatnya dan sebaliknya akan membencinya.

"Tuan… Tuan Muda Jun… apa… apa maksud… semua ni? Tangan Mu Qian Fan yang sedang memegang beg berisi duit itu jelas kelihatan menggeletar. Fikirannya buntu.

"Nama keluarga saya ialah Jun," kata Jun Wu Xie dengan ringkas sambil merenung Mu Qian Fan.

Setelah memahaminya, minda Mu Qian Fan pada ketika itu hampir meletup!

Semua orang tahu yang kepimpinan Tentera Rui Lin berada dalam genggaman Keluarga Jun dari Istana Lin!

[Nama keluarga Tuan Muda ini ialah Jun dan dia suruh saya melaporkan diri di Istana Lin…]

[Bukankah itu maksudnya…]

"Tuan Muda Jun benar-benar maksudkannya?" Seluruh tubuh badan Mu Qian Fan menggeletar disebabkan kegembiraan yang menyelubungi hatinya.

Jun Wu Xie mengangguk.

"Tentera Rui Lin hanya menerima orang yang setia."

Nilai persahabatan Mu Qian Fan yang setia dan teguh itu telah membuktikan pada Jun Wu Xie yang lelaki ini memiliki ciri-ciri yang diperlukan untuk menyertai Tentera Rui Lin. Hakikat yang dia berjaya kembali daripada Cenuram Penghujung Syurga juga membuktikan kemahirannya agak hebat. Lagipun Jun Wu Xie tidak mahu melihat orang yang dia telah berusaha keras untuk selamatkan, terus tinggal di tempat yang buruk dan usang ini. 

Kalau Mu Qian Fan ini berterusan menjadi pesakitnya, Jun Wu Xie tidak akan benarkan dia hidup dalam keadaan yang begitu teruk.

Mu Qian Fan tiba-tiba melutut dan meniarapkan dirinya di hadapan Jun Wu Xie. Kemudian dia mengetukkan kepalanya ke atas tanah sebanyak tiga kali dengan kuat sebagai tanda berterima kasih.

"Saya, Mu Qian Fan, akan berada di bawah perintah Tuan Muda Jun sepanjang hidup. Saya begitu bertuah kerana dapat meraih kepercayaan Tuan Muda Jun. Saya akan membayar budi ini dengan segala-gala yang saya ada!"

Jun Wu Xie bukan sahaja sudah menyelamatkan nyawanya, tetapi turut memberikan dia masa depan yang gemilang.

Para pengembara berusaha keras sepanjang hidup mereka demi mendapatkan wang. Ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Mereka juga sering bergadai nyawa. Rakan-rakan rapat Mu Qian Fan semuanya sudah mati. Kalau dia mahu kembali melakukan pekerjaan lamanya, dia perlu bergerak sendirian. Ini akan mendedahkan Mu Qian Fan terhadap situasi berbahaya dan dia terpaksa menempuhinya seorang diri!

Seumur hidupnya, Mu Qian Fan tidak pernah terfikir yang satu hari nanti dia dapat menyertai Tentera Rui Lin!

Kalau dia menjadi askar biasa sekalipun atau melakukan tugas-tugas rencam di dalam pasukan tentera itu, situasi ini masih boleh dianggap sebagai kurniaan yang suka dipercayai!

"Bangun," kata Jun Wu Xie dengan dingin.

Mu Qian Fan berdiri. Air matanya bergenang.

"Keadaan badan kamu sekarang ni tak cukup bagus untuk kamu sertai Tentera Rui Lin. Ikut saya," kata Jun Wu Xie sambil meneliti keadaan Mu Qian Fan. Kecederaan pada badan Mu Qian Fan mungkin boleh diredakan setelah menyapu ubat yang dia berikan sebelum ini. Tetapi Jun Wu Xie tahu yang ubat itu sahaja tidak cukup untuk menyembuhkan Mu Qian Fan sepenuhnya.

Mu Qian Fan cepat-cepat tersedar. Apa sahaja yang Jun Wu Xie arahkan, dia akan laksanakan dengan patuh.

Selepas mengikut Jun Wu Xie ke rumah tumpangannya, Mu Qian Fan diberikan eliksir-eliksir yang Jun Wu Xie telah buat untuknya. Eliksir-eliksir ini dibuat khas untuk menjadi penawar kepada racun di dalam badan Mu Qian Fan. Tempoh masa dua minggu lagi diperlukan sebelum racun di dalam badan Mu Qian Fan dapat disingkirkan sepenuhnya.

Selepas berulang kali berterima kasih pada Jun Wu Xie, Mu Qian Fan terus menelan eliksir tersebut.

Qiao Chu dan yang lain duduk di sekeliling bilik itu. Mereka memerhatikan Mu Qian Fan yang tidak berhenti-henti menangis tanda berterima kasih pada Jun Wi Xie. Mata mereka jelas kelihatan terhibur.

"Agak-agaknyalah… dari mana Adik Xie kita ni mendapat tabiat suka merayau-rayau mengumpulkan pelbagai jenis orang untuk disumbat ke dalam Istana Lin?" Qiao Chu bertanya nakal pada Hua Yao sambil menyilangkan kakinya secara tidak sopan di atas kerusi.

Hal yang sama juga berlaku pada Yin Yan. Dia sepatutnya akan dibunuh, tetapi Jun Wu Xie dengan beraninya menyuruh Long Qi membawa Yin Yan balik ke Istana Lin. Kali ini, giliran Mu Qian Fan pula untuk dicampak ke Istana Lin. Mu Chen dan para pengikut Puncak Menjejak Awan juga dipergunakan untuk berkhidmat dengan Istana Lin. Qiao Chu terfikir yang Jun Wu Xie ini benar-benar berusaha keras untuk meningkatkan kekuatan dan gedung kemahiran Istana Lin.

Selagi seseorang itu ada gunanya, tak kiralah apa pun latar belakang mereka, Jun Wu Xie tidak akan teragak-agak untuk menolak mereka masuk ke dalam genggaman Istana Lin!