Api kecil itu terus marak dan mula menjulang tinggi. Dalam masa beberapa ketika sahaja rumah usang itu terus dijilat api.
Mu Qian Fan merenung dengan mata terbeliak dan perasaan tidak percaya. Dia terkejut melihatkan satu-satunya tempat perlindungannya ini perlahan-lahan dimusnahkan dalam api yang marak.
"Tuan Muda Jun! Apa yang Tuan Muda dah buat ni?" Mu Qian Fan menoleh ke arah Jun Wu Xie dengan perasaan gelisah. Suaranya kedengaran resah namun tiada perasaan marah di sebaliknya.
Jun Wu Xie telah menyelamatkan nyawanya, jadi dia sudah pun menganggap yang nyawanya ini milik Jun Wu Xie. Dia sanggup berkorban nyawa demi Jun Wu Xie. Sebab itulah dia tidak marah apabila Jun Wu Xie membakar rumahnya. Dia cuma bingung kenapa Jun Wu Xie bertindak begitu.
Bagaimana rumah usang kecil ini menyinggung perasaan Tuan Muda Jun?
Bukan Mu Qian Fan sahaja yang bingung. Qiao Chu dan yang lain juga terkejut melihatkan rumah itu tiba-tiba terbakar.
Kenapa si Jun Wu Xie ini selepas hanya berkata sepatah sahaja terus membakar rumah orang?
Tetapi tidak ada di antara mereka yang berani memarahi Jun Wu Xie. Mereka semua hanya mampu memandang Mu Qian Fan. Hati mereka berkabung dalam diam, meratapi nasib malangnya. Tiada siapa yang tahu bagaimana rumah Mu Qian Fan ini telah membuatkan Cik Muda Keluarga Jun begitu marah sehinggakan dia membakarnya.
Tanpa berkata apa-apa, Jun Wu Xie merenung api yang menjilat rumah kecil itu sehingga hangus. Hanya selepas berpuas hati melihat kediaman itu telah musnah sepenuhnya barulah Jun Wu Xie berpusing.
Mu Qian Fan masih bersedih mengenangkan kehilangan satu-satunya kediaman miliknya apabila tiba-tiba dia terlihat bayang-bayang satu objek yang dilemparkan ke tangannya. Dia menghulurkan tangan untuk mengambil objek itu dan melihat lebih dekat. Mu Qian Fan mendapati objek itu adalah beg yang penuh berisi duit. Satu lambang berwarna perak turut terikat pada beg tersebut. Lambang itu diukir menjadi bentuk burung kirin lagneda yang sedang melayang di atas awan!
Mu Qian Fan mengangkat kepalanya dalam keadaan bingung. Dia merenung Jun Wu Xie dengan hairan.
"Selepas ini, pergi ke Bandar Diraja Kerajaan Qi dan hadirkan diri kamu ke Istana Lin," kata Jun Wu Xie dengan ringkas tanpa menunjukkan sebarang riak muka.
"Kerajaan Qi… Istana Lin?" Mu Qian Fan berasa terkejut. Walaupun dia hanya tinggal di Bandar Chan Lin seumur hidupnya, disebabkan dia dan rakan-rakannya bekerja sebagai pengembara, mereka berpeluang bertemu dengan orang-orang dari pelbagai negara dan kuasa besar.
Tentulah mereka pernah mendengar tentang Istana Lin di Kerajaan Qi. Walaupun Kerajaan Qi itu kecil sahaja, tiada siapa yang berani memandang rendah pada Istana Lin. Sebabnya ialah Tuan Istana Lin, iaitu Jun Xian, mengetuai pasukan penyerang yang paling ganas di dunia, Tentera Rui Lin!
Nama Tentera Rui Lin sudah bergema ke seluruh dunia. Walaupun Mu Qian Fan pernah mendengar tentang mereka, dia sering berasa kesal kerana tidak bertuah untuk bertemu dengan mereka.
[Tapi Tuan Muda Jun suruh saya melaporkan diri ke Istana Lin…]
[Apa maksudnya ni?]
Qiao Chu yang berdiri di satu sisi akhirnya faham apa yang sedang berlaku. Dia terus tersenyum lebar dan menepuk-nepuk bahu lalu berkata, "Bertuah betul kamu kali ni! Kamu suka tak dengan Tentera Rui Lin?"
Mu Qian Fan yang masih lagi tergamam hanya mampu mengangguk kosong setelah mendengar kata-kata Qiao Chu.
[Pasukan penyerang yang paling ganas dan terkenal. Lelaki mana yang tidak memuja mereka?]
"Dengar cakap Adik Xie kami ni. Selepas kita selesaikan tugasan di sini, kamu bawa saja beg duit dan lambang itu ke Bandar Diraja Kerajaan Qi. Cari Istana Lin. Saya jamin kamu tak akan menyesal," kata Qiao Chu sambil ketawa. Malah dia juga sempat mengenyitkan mata pada Jun Wu Xie.
Pada mulanya dia tertanya-tanya apa masalahnya dengan gadis kecil mereka ini. Sekarang nampaknya sudah jelas yang dia juga merasai apa yang mereka semua rasakan. Jun Wu Xie juga tidak sanggup melihat orang yang jujur dan baik seperti Mu Qian Fan ini terbatas hidupnya di dalam rumah yang begitu kecil dan usang serta berada dalam keadaan menyedihkan. Dia memutuskan untuk membakar sahaja rumah itu untuk memaksa Mu Qian Fan tidak memiliki pilihan lain selain bertindak mengikut aturan Jun Wu Xie.
Tapi...
Budak ni tak bolehkah berlembut sedikit dalam bertindak? Memanglah dia berniat baik, tapi cara yang dipilihnya ini seolah-olah dia adalah penyangak terkenal!