webnovel

Bertemu Kembali (1)

Penerjemah: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Dalam masa minggu sahaja kediaman di dalam hutan buluh itu sudah diselubungi lapisan debu. Halaman yang dahulunya aman dan tenang itu kini sudah menunjukkan tanda-tanda terbiar.

Jun Wu Xie menolak pintu masuk ke halaman kecil itu sehingga terbuka lalu perlahan-lahan berjalan masuk ke tempat yang tidak asing baginya ini.

Tiba-tiba dia menghentikan langkah di tengah-tengah halaman tersebut. Matanya tertumpu pada pintu dapur yang terkunci rapat.

Mata Jun Wu Xie mengecil sedikit. Susuk tubuhnya berkerdip sekilas sebelum seketika kemudian pintu yang berkunci itu ditendang dengan kuat sehingga terbuka. Badannya yang tangkas dan lincah itu bergerak seperti puting beliung kecil di dalam dapur tersebut. Tangan Jun Wu Xie kemudiannya mencengkam satu susuk tubuh yang bersembunyi di bawah timbunan jerami lalu menariknya keluar!

"Ah! Ah! Ah!" Seorang pemuda yang comot dan kusut-masai diheret keluar dengan kasar oleh Jun Wu Xie.

Tangan pemuda itu tergapai-gapai dengan kuat di udara. Kedengaran raungan yang tidak jelas bunyi butirny keluar dari mulut pemuda itu.

"Ah Jing?" Jun Wu Xie merenung wajah di sebalik kekotoran itu dan mengenali pemuda tersebut. Perlahan-lahan dia melepaskan genggaman dan merenung Ah Jing yang hampir tidak dikenalinya.

Wajah Ah Jing kini dipenuhi kotoran dan debu. Beberapa jurai jerami terselit di rambutnya yang kusut-masai. Pakaiannya compang-camping, begitu berbeza dengan dirinya yang sebelum ini amat kemas dan bersih.

Sejak Ah Jing dihalau keluar dari hutan buluh itu oleh Fan Zhuo, Jun Wu Xie tidak lagi bersua muka dengannya. Dia hanya tahu Ah Jing telah kembali ke Akademi Zephyr dan menjadi menjadi salah seorang pelajar di situ.

Jadi macam mana dia boleh muncul di sini?

Selepas dapat bergerak kembali, Ah Jing menikus seperti haiwan yang ketakutan. Dia menggigil-gigil, merangkak serta mencakar-cakar dalam usaha untuk menyembunyikan diri di bawah timbunan jerami itu kembali. Hanya matanya sahaja yang kelihatan. Mata yang dipenuhi perasaan takut dan gerun sewaktu memandang Jun Wu Xie.

Mata Jun Wu Xie mengecil sambil dia berfikir. Reaksi Ah Jing agak aneh. Matanya yang kelihatan takut itu seolah-olah memberitahu Jun Wu Xie yang Ah Jing langsung tidak mengenalinya dan hanya menunjukkan ketakutan dan perasaan ingin melarikan diri. Jun Wu Xie cuba mendekati Ah Jing tetapi pemuda tersebut terus meraung dengan kuat.

"Ah! Ah!" Mulutnya yang ternganga luas itu menunjukkan lidahnya yang sudah terpotong separuh. Dalam keadaan gerun, Ah Jing menggapai-gapai jerami di sekelilingnya dan membalingnya ke arah Jun Wu Xie.

Ada orang telah memotong lidah Ah Jing!

Jun Wu Xie merenung Ah Jing yang berkelakuan seperti orang gila itu lalu dia berkerut. Matanya memerhatikan keadaan Ah Jing dan menyedari yang bukan sahaja lidah pemuda itu yang telah dipotong, tetapi jari kelengkeng di tangan kirinya telah dipatahkan. Kecederaan ini nampaknya baru berlaku kerana luka potongan itu sudah berkuping tetapi persekitaran yang kotor telah membuatkan luka itu terkena jangkitan. Nanah dan kotoran bercampur-baur di seluruh tangannya. Ada juga luka-luka besar dan ringan yang lain di bahagian lehernya. Luka-luka ini juga dipenuhi debu serta kotoran, namun tidaklah begitu ketara dengan hanya sekali pandang.

[Seksaan apa yang Ah Jing dah lalui?]

[Tingkah-lakunya kini menunjukkan dia sudah hilang akal!]

Mata Jun Wu Xie terus merenung Ah Jing. Untuk tidak membuatkan Ah Jing bertambah resah dan terus meraung, Jun Wu Xie melangkah ke belakang sedikit.

Walaupun dia tidak suka dengan perangai naif serta kedunguan Ah Jing, dia tidak dapat menafikan kesetiaan tidak berbelah bahagi Ah Jing terhadap Fan Zhuo.

"Kamu ni JunXie?" Satu suara yang begitu terhibur tiba-tiba kedengaran dari arah belakang!

Jun Wu Xie berpusing dengan pantas. Seorang pemuda berwajah tampan tetapi kejam muncul secara tiba-tiba, kira-kira tujuh langkah di belakangnya!

Wajah pemuda ini pernah dilihatnya!

"Jadi kamu ni Jun Xie? Kebetulan sungguh." Sebaik pemuda itu terlihat Jun Wu Xie, dia tidak dapat menahan senyumannya. Wajahnya yang sudah sedia tampan itu menjadi semakin menawan disebabkan senyuman tersebut.

Tapi Jun Wu Xie tidak begitu berminat untuk menghargai ketampanan wajah sesiapa sahaja.

Ini kerana pemuda yang berdiri di hadapannya ini adalah pemuda yang sama telah dilihatnya di Rumah Lelong Chan Lin sebelum ini. Pemuda yang telah menimbulkan kegemparan sewaktu dia membunuh ramai orang di situ!