webnovel

Bersedia untuk Membalas (4)

Editor: EndlessFantasy Translation

"Nampaknya dia tak mampu makan sendiri. Gongcheng Lei, tolong suap dia," kata Ning Rui. Matanya dipenuhi kekejaman.

Gongcheng Lei terus mengangkat mangkuk dan menggunakan sudu untuk mencedok sup yang masih panas. Dia terus menolakkan sudu itu masuk ke dalam mulut Fan Jin secara berulang-kali.

Namun begitu, Fan Jin langsung tidak memberikan reaksi. Dia hanya duduk sambil merenung kosong. Gongcheng Lei pula terus menyumbatkan sejumlah besar nasi dan lauk-lauk lain ke dalam mulut Fan Jin. Mulut Fan Jin ternganga dan dia langsung tidak bergerak. Makanan yang disuap secara paksa itu memenuhi mulutnya sehingga melimpah ke luar. Kebanyakan makanan itu jatuh ke baju Fan Jin dan semakin mengotorinya.

Sup dan air menyerap ke bajunya. Fan Jin kini kelihatan lebih teruk daripada pengemis di jalanan. Dia hanya boneka yang boleh dikawal oleh sesiapa pun.

Tindakan Gongcheng Lei yang kasar dan ganas itu langsung tidak ada tanda-tanda berbelas kasihan. Mulut Fan Jin sudah dipenuhi makanan, tetapi Gongcheng Lei terus menolakkan sudu porselin itu untuk menyumbatkan lebih banyak makanan. Luka di bibir Fan Jin merekah dan darah mula mengalir, bercampur-baur dengan makanan yang jatuh dari mulutnya.

Jun Wu Xie tidak berkelip melihat keadaan Fan Jin yang sedang diseksa itu. Dia tidak goyah, seolah-olah mahu memahatkan segala yang sedang berlaku itu ke dalam hatinya.

Dia akan mengingati hinaan yang mereka berikan hari ini.

Ning Rui ketawa, Gu Ying juga sama ketawa. Nampaknya mereka seronok dan terhibur mempermainkan Fan Jin yang langsung tidak berdaya itu.

Jun Wu Xie memerhatikan semuanya tanpa berkata apa-apa. Dia sedar yang bukannya Fan Jin tidak merasai kesakitan ataupun tidak mahu membalas. Rahang Fan Jin sebenarnya telah dipatahkan dengan sengaja dan dia tidak mampu menutup mulutnya…

Satu kedinginan yang menggerunkan mula membara di mata Fan Jin. Dia cepat-cepat menyembunyikannya dan kekal diam seperti biasa dan terus memerhatikan apa yang berlaku.

Dia melihat sahaja seorang anak muda bermaruah, pemuda yang dahulunya ramah dan mesra, dipermainkan dan diseksa seperti binatang yang hina oleh musuh yang telah membunuh ayahnya dengan kejam. Jun Wu Xie diam memerhatikan segalanya, langsung tidak memberikan sebarang reaksi.

Gu Ying memerhatikan Jun Wu Xie dalam diam tetapi tidak dapat mengesan sebarang perubahan yang dinanti-nantikan pada wajah Jun Wu Xie yang kekal tenang itu. Senyuman Gu Ying lenyap dan bibirnya menipis. Perasaan tidak sabar mula muncul di matanya.

Ning Rui sangat gembira melihatkan Fan Jin diseksa seperti anjing. Kebencian meluap-luap yang mencengkam hatinya menjadi reda. Gelak ketawanya ketika memerhatikan situasi yang tidak berperikemanusiaan ini amat membingitkan.

Fan Jin tiba-tiba muntah akibat seksaan yang menyekat tekaknya. Dia jatuh ke tanah dengan kuat lalu memuntahkan segala-galanya. Semua makanan yang disumbat ke dalam mulutnya dikeluarkan. Tubuhnya yang keletihan itu mula menggigil dengan kuat. Keadaannya amat menyedihkan.

"Kenapa ni? Kamu makan sikit saja pun dah kenyang? Kamu tak tahukah betapa susahnya nak sediakan semua makanan ni? Tuan Muda kita yang sombong ni memang tak tahu menghargai kesusahan orang biasa. Macam mana kamu boleh membazir begini?" Senyuman sinis muncul di mulut Ning Rui dan dia memandang Gongcheng Lei dengan penuh makna. Gongcheng Lei terus melangkah ke hadapan dan mencangkung di sisi Fan Jin. Dia kemudiannya menggenggam rambut Fan Jin dan menolak muka ke pemuda itu ke tanah, seolah-olah mahu menyuruh Fan Jin memakan muntahnya sendiri.

"Kamu dah habis makan?" Jun Wu Xie tiba-tiba bertanya pad Gu Ying yang duduk di sebelahnya.

Gu Ying terkejut dan kegembiraan muncul semula di matanya.

[Akhirnya dia dah tak tahan?]

"Saya belum kenyang lagi. Kenapa? Senior dah kenyang? Apa kata Senior beri masa sikit pada saya?" kata Gu Ying.

Tetapi Jun Wu Xie terus berdiri.

"Bau busuk. Kalau kamu sukakan bau ni, teruskan sajalah." Setelah berkata begitu, Jun Wu Xie berkerut dan berlalu pergi sambil menutup hidungnya.

Gu Ying tergamam seketika. Dia tidak sangka Jun Wu Xie akan berkata begitu.

Malah Ning Rui juga terpinga-pinga. Dia masih ingat lagi yang Jun Xie dan Fan Jin agak rapat. Jadi kenapa setelah melihat Fan Jin dilayang begitu teruk pun dia tetap tidak berperasaan!? Bukan itu sahaja, dia juga menunjukkan perasaan jijik dan berlalu pergi sambil mengibaskan lengan bajunya dengan penuh benci!

[Dia tak mahu cakap apa-apa untuk cuba menyelamatkan Fan Jin?]