webnovel

Berpasangan dalam Mencari Seksaan (5)

Editor: EndlessFantasy Translation

"Budak sombong tak guna! Kalau bukan kerana dia ada pakar-pakar roh ungu di belakangnya, dia tu bukan siapa-siapalah pada saya!"

Kemarahan Ning Xin hampir meledak. Jika dia tidak lihat sendiri yang Jun Xie mendapat sokongan pakar-pakar roh tahap ungu tersebut, dia tidak akan merendahkan diri untuk membodek Jun Xie yang boleh dianggap picisan sahaja itu. Apa yang lebih membuatkan dia berang ialah Jun Xie bukan sahaja tidak menunjukkan sikap rendah diri dan berterima kasih, malah tidak membalas sikap murah hati Ning Xin itu. Bukan sekali, tetapi dua kali Jun Xie menolak Ning Xin. Ini membuatkan Ning Xin yang sangat sombong itu, jelas kelihatan menggigil kerana marah.

Yin Yan terkejut melihat situasi ini dan cepat-cepat cuba memujuk. "Senior Ning, tak perlulah ambil peduli dengan si budak dungu yang tak sedar diri tu. Dia memang pelik. Perangainya sangat aneh sehinggakan orang lain di sekelilingnya berasa sangat tak selesa. Memandangkan dia tak tahu mana yang baik untuk dirinya sendiri, tak perlulah Senior Ning mencarinya lagi."

Sejujurnya, Yin Yan gerun dengan Jun Xie. Setiap kali teringatkan kejadian di Hutan Roh Pertempuran itu, dia akan menggigil ketakutan.

Kalau Ning Xin tidak memintanya berbuat begitu, dia lagsung tak mahu lagi berhubungan dengan Jun Xie.

Kini setelah Jun Xie berulang kali memalukan Ning Xin, Yin Yan menyambar peluang untuk menghapuskan niat Ning Xin untuk berbaik-baik dengan Jun Xie. Dia mahu menjauhkan diri daripada Jun Xie yang dingin dan kasar itu.

Ning Xin mengetap giginya. "Kamu fikir saya suka buat begitu? Semuanya untuk ayah saya. Kalau saya biarkan Jun Xie begitu sahaja, semakin kuatlah sokongannya pada Fan Jin. Sekarang ni, fitnah terhadap saya dalam akademi ini semakin meningkat! Kalau dibiarkan berterusan, Fan Jin tidak perlu berusaha langsung. Semua orang akan bencikan saya dan lupakan keburukannya dahulu. Reputasinya sekali lagi akan bertambah baik dan dia akan menjadi Senior Fan yang amat dihormati dan disayangi! Semua usaha kita selama ini akan jadi sia-sia!"

Kebencian di dalam hatinya membuatkan dia berharap dapat menghancurkan tulang-tulang Jun Xie dan menabur abu-abunya. Tetapi Ning Xin tidak ada pilihan selain menelan sahaja penghinaan yang dilemparkan padanya.

Kalau tak kerana pakar-pakar roh tahap ungu itu, dia tidak akan ambil peduli dengan si sampah Jun Xie itu.

Yin Yan menelan air liurnya. Sewaktu nama Fan Jin disebut, kebencian yang telah dilupakan akibat perasaan takunya, kini tiba-tiba kembali memuncak.

Ning Xin menarik nafas dalam-dalam, cuba menyembunyikan kejahatan yang muncul pada wajahnya.

"Kalau dia memilih untuk menolak perdamaian yang saya tawarkan, dia perlu bersedia menghadapai kemarahan saya. Memandangkan Jun Xie tak tahu apa yang baik untuk dirinya, saya akan membuatkan dia sedar yang lebih baik kalau dia berkawan dengan saya! Pada ketika itu, dia akhirnya akan tahu pilihan terbaik perlu dibuat dalam hal memilih kawan."

Memenangi hati Jun Xie merupakan satu misi yang perlu dia selesaikan. Tak kiralah betapa Ning Xin membenci Jun Xie sekalipun, dia tidak ada pilihan selain bertahan sahaja. Selepas dia menjalin hubungan dengan pakar-pakar roh tahap ungu itu melalui Jun Xie, dia tidak percaya dia tidak boleh mendapatkan sokongan mereka dengan identitinya yang terhormat dan mindanya yang pintar.

Kalau Jun Xie, dengan personaliti yang kurang mesra itu, mampu mendapatkan sokongan kumpulan pakar tahap ungu itu, tentulah Ning Xin boleh buat lebih baik lagi!

"Senior Ning, apa rancangan kamu?" tanya Yin Yan dengan berhati-hati.

Ning Xin ketawa dingin. "Baru-baru ini, disebabkan oleh Lu Wei Jie dan ahli kumpulannya, Akademi Zephyr dilanda satu lagi ribut yang membuatkan orang lain lupa dengan kesalahan Jun Xie sebelum ini. Kalau tak salah saya, Li Zi Mu kehilangan nyawanya di dalam Hutan Roh Pertempuran sewaktu Perburuan Roh kali ini. Pelajar senior yang telah menemani Li Zi Mu pula mengatakan sebelum Li Zi Mu mati, dia telah berpaling tadah menyertai kumpulan Fan Jin. Beritahu saya, Fan Jin itu mampu melindungi Jun Xie dan para pelajar dari kampus cawangan itu dengan sangat baik, bukan? Jadi kenapa Li Zi Mu seorang sahaja yang kehilangan nyawanya? Saya rasa Jun Xie sudah bertindak membalas dendam sehingga mengakibatkan tragedi ini berlaku… Kamu tak fikir begitu? Hahaha….."

Ning Xin berkongsi rancangan jahatnya sambil menutup mulutnya dengan tangan. Dia ketawa kejam sambil mengecilkan mata yang bersinar dengan konspirasi jahat.

"Sewaktu dia dibebani serta dihimpit segunung cacian dan hinaan itu, saya akan menghulurkan tangan untuk menyelamatkan dia daripada masalah ini. Bukankah nanti dia akan selama-lamanya terhutang budi dengan saya?"

Jun Xie, memandangkan kamu terang-terangan menolak saya, jangan salahkan saya pula kalau saya bersikap kasar selepas ini!