webnovel

Batu Hitam Misteri (2)

Penerjemah: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Tempat itu diselubungi misteri dan dikhabarkan penuh dengan Binatang Roh Gred Penjaga yang berkeliaran di dalamnya. Tempat sebegini membatalkan niat mereka yang mahu meneroka kawasan di sebalik Cenuram Penghujung Syurga.

Cenuram Penghujung Syurga itu tentulah menjadi impian ramai orang, tapi….

Ini tidak bermakna mereka akan membiarkan diri mereka ditipu dengan apa-apa yang dikaitkan dengan reputasi Cenuram Penghujung Syurga yang terkenal itu.

Para pengunjung rumah lelong tu kurang percaya dengan kata-kata jurulelong itu tadi.

Batu seperti ini, biarpun benar-benar datang dari Cenuram Penghujung Syurga, tidak ada gunanya kalau tidak boleh dipotong.

Orang yang biasa berkunjung ke Rumah Lelong Chan Lin tahu yang pemilik tempat ini bijak. Mereka tahu barangan yang dilelong di tempat ini biasanya akan menyebabkan para pembida membayar harga yang lebih mahal daripada harga pasaran. Tapi kali ini Rumah Lelong Chan Lin ini dengan bersahaja mengumumkan yang batu itu boleh dimiliki dengan harga dasar tanpa perlu dilelong. Cara lelongan ini tidak pernah berlaku dalam sejarah Rumah Lelong Chan Lin dan boleh dianggap sebagai satu keajaiban.

Hanya ada dua sebab mengapa rumah lelong ini akan bertindak sebegitu. Satu, batu ini hanya batu biasa yang tidak berharga. Mungkin rumah lelong itu hanya sewenang-wenangnya cuba mereka-reka cerita tak masuk akal di sebalik asal-usul batu ini supaya dapat dijual dengan cepat. Sebab kedua, mungkin benar seperti kata jurulelong itu. Batu ini luar biasa kerasnya dan orang biasa tidak akan dapat memecahkannya. Oleh itu mereka tidak dapat menentukan nilai sebenar batu itu.

Kalau orang-orang di Rumah Lelong Chan Lin itu tidak mampu memotong batu tersebut, sesiapa yang membelinya hanya boleh menggunakannya sebagai tempat letak kaki sahaja!

Tiada siapa yang begitu bodoh untuk berbuat begitu.

Suasana gempar di lelongan itu terus reda dan keadaan menjadi senyap sunyi. Tiada siapa yang menunjukkan minat terhadap batu yang dipamerkan di atas pentas itu. Mata mereka tidak lagi tertumpu ke pentas, jelas sedang memprotes. Mereka mahu rumah lelong itu cepat-cepat menurunkan batu itu dari pentas supaya mereka boleh terus bersaing mendapatkan barangan berharga seterusnya.

Selepas harga dasar batu itu diumumkan, suasana semakin sepi.

Tiga ratus ribu tahil.

Harga itu masuk akal juga bagi sesuatu yang berasal dari Cenuram Penghujung Syurga.

Tapi masalahnya, barang ini hanya seketul batu.

Harga itu cukup untuk mendapatkan batu roh gred tinggi. Tiada siapa yang bersedia untuk membayar sejumlah harga itu pada sesuatu yang tidak boleh digunakan.

Jurulelong itu berdiri di atas pentas sambil berpeluh-peluh. Inilah kali pertama Rumah Lelong Chan Lin menghadapi masalah ini. Kalau bukan kerana identiti unik pelanggan tersebut, pemilik rumah lelong ini pasti sudah secepat mungkin menurunkan batu ini dari pentas.

Di belakang pentas, di sebalik lelongan yang sedang berlangsung, dua orang lelaki pertengahan usia sedang meneliti situasi yang berlaku di hadapan mereka.

Salah seorang lelaki itu yang berpakaian mewah, mengeluh dan menepuk-nepuk bahu lelaki di sebelahnya sebelum berkata, "Saya dah lakukan yang terbaik untuk membantu kamu. Lihatlah sendiri. Tak ada sesiapa yang akan membeli batu itu." Lelaki berpakaian mewah itu ialah pemilik Rumah Lelong Chan Lin. Di sebelahnya pula ialah pemilik batu hitam legam tersebut.

Wajah lelaki pemilik batu itu dibalut sepenuhnya. Kesan darah meresap keluar dari pembalut luka yang tebal itu. Matanya terbeliak dan kelihatan kemerah-merahan. Dia menggenggam penumbuknya. Darah mengalir keluar dari pembalut luka di tangannya akibat genggaman yang terlalu kuat itu.

"Tunggu sekejap lagi….Sekejap saja lagi…." Suara lelaki itu agak serak, seolah-olah tekaknya perit. Bibirnya yang kering dan merekah itu kelihatan berwarna ungu sedikit. Matanya yang tidak lepas memandang lelongan di hadapan pentas itu dipenuhi keinginan. Di sebalik keinginan itu pula ialah ketakutan dan kekecewaan yang tidak berpenghujung.

"Saya mungkin tak boleh dapatkan tiga ratus ribu tahil yang kamu perlukan. Tetapi saya boleh berikan kamu seratus ribu tahil dahulu. Kalau barang ini benar-benar tidak boleh dijual, kamu boleh gunakan wang itu dulu. Kamu pasti tahu….yang saya ni bukan pemilik sebenar rumah lelong ini. Jadi inilah yang terbaik dapat saya lakukan untuk kamu." Dia sudah lama mengenali lelaki yang cedera parah ini, jadi lelaki berpakaian mewah itu cuba bersimpati dan memujuk rakannya.

Namun lelaki yang cedera parah itu menggelengkan kepala.

"Tak cukup….kurang dari tiga ratus ribu….tak cukup….tak cukup…."