webnovel

Adik-Beradik Fan (2)

Editor: EndlessFantasy Translation

Jun Wu Xie memandang Fan Zhuo yang sedang duduk di hadapannya dan serta-merta menyedari identiti pemuda di sebelah Fan Jin ini.

Guru Besar Akademi Zephyr mempunyai dua orang anak lelaki. Salah seorang ialah Fan Jin yang merupakan anak angkat dan seorang lagi ialah pemuda yang sedang tersenyum padanya ini, Fan Zhuo.

Fan Zhuo ialah anak kandung Guru Besar, tetapi dia dilahirkan dengan keadaan badan yang lemah berbanding orang lain. Dia berusia enam belas tahun dan jarang keluar. Disebabkan keadaan badan Fan Zhuo, ayahnya tidak henti-henti berusaha dan menghabiskan banyak duit untuk mendapatkan sejumlah besar ubat dan eliksir penguat badan bagi memastikan Fan Zhuo dapat terus hidup.

Tak ramai orang yang tahu bagaimana rupa Fan Zhuo dan hanya tahu yang dia mempunyai keadaan badan yang lemah.

Secara diam-diam, Jun Wu Xie memerhatikan keadaan Fan Zhuo.

Di sebalik pakaiannya yang longgar, badannya yang kurus kering itu hampir tinggal tulang sehingga membuatkan sesiapa juga berasa risau. Wajahnya pucat lesi dan urat-urat darahnya timbul. Seksaan yang dialami akibat badannya yang lemah itu tak mungkin dapat difahami oleh manusia normal yang lain. Namun begitu, walaupun sedang menanggung kesakitan, hati Fan Zhuo tetap tabah. Senyumannya yang ikhlas itu jarang dapat dilihat pada wajah seseorang yang sedang sakit tenat dan boleh mati pada bila-bila masa saja.

Jun Wu Xie mempunyai tanggapan yang baik terhadap kedua-dua adik-beradik Fan ini. Fan Jin sudah mempertahankan dia berkali-kali. Mungkin ini juga yang menyebabkan Jun Wu Xie mudah untuk menyukai Fan Zhuo. Memandangkan perangai mereka semuanya hampir sama, pastilah mereka boleh membina hubungan yang rapat.

"Haha, Fan Zhuo. Tepat betul kata-kata kamu kali ni. Sebenarnya, Abang bawa Jun Xie ke mari untuk menikmati makanan kamu yang lazat ni secara percuma. Makanan di dewan makan akademi tu tak menyelerakan. Abang tahu kamu banyak makanan yang sedap, jadi cepatlah suruh Ah Jiong masak sesuatu. Bolehlah kami merasa satu atau dua hidangan," kata Fan Jin sambil ketawa. Ketika itu barulah Jun Wu Xie terfikir, pasti inilah tempat makan yang Fan Jin sebut tadi. Selama ini dia memang berniat untuk mempergunakan adiknya.

Fan Zhuo turut ketawa dan nampaknya sudah terbiasa "dipergunakan" oleh abangnya. Dia menggoyangkan satu loceng dan tak lama kemudian Ah Jing bergegas masuk ke dalam bilik itu, sambil memegang penyapu.

"Tuan Muda perlukan apa-apa?"

"Bawakan makanan untuk kami."

"Baiklah."

Ah Jing terus keluar untuk menyediakan hidangan.

Fan Jin ketawa puas hati dan berpaling memandang Jun Wu Xie lalu berkata, "Badan Fan Zhuo ini lemah dan biasanya dia tak berselera. Makanan biasa pasti lebih membuatkan dia tak lalu makan. Jadi ayah kami mengaturkan pelbagai makanan yang bagus disediakan dan dihantar ke sini. Dengar sini, Jun Xie. Kalau lain kali kamu nak makan sedap-sedap, cari saja Fan Zhuo ni. Kamu tak akan kecewa."

Fan Zhuo nampaknya tak kisah, sebaliknya tersenyum pada Jun Wu Xie lalu berkata, "Jangan dengar abang saya tu cakap yang bukan-bukan. Makanan di sini biasa-biasa saja. Cuma badan saya ni tak mampu terima makanan biasa, jadi ayah saya membuat aturan khas untuk saya. Lain kali kalau kamu tak lalu makan di dewan makan, datang saja ke sini. Makan berteman ni seronok juga."

Perbualan kedua-dua orang adik-beradik ini mungkin spontan dan tidak dirancang, namun mereka benar-benar ikhlas dengan apa yang mereka katakan.

Setelah bergaul dengan dua orang pemuda yang mesra ini, Jun Wu Xie merasakan ada satu cahaya kecil yang hangat, dinyalakan di dalam hatinya yang dingin.

"Terima kasih," balas Jun Wu Xie.

Fan Zhuo masih tersenyum. Matanya tertumpu pada kucing hitam kecil yang sedang berdiri di bahu Jun Wu Xie. Dengan mata yang penuh tanda tanya, dia mula berkata, "Kucing ini…."

"Itu roh berkontrak Jun Xie," kata Fan Jin.

"Boleh saya tengok lebih dekat?" Mata Fan Zhuo tidak beralih dan dia terus memandang kucing hitam tersebut dengan penuh keinginan.

Fan Jin berpaling memandang Fan Zhuo, kemudian kembali memandang Jun Wu Xie sebelum teragak-agak berkata, "Roh berkontrak bukan seperti binatang biasa. Rasanya tak berbahaya."

Jun Wu Xie memandang Fan Jin kerana tak faham apa yang dia maksudkan. Tetapi Fan Jin hanya tersenyum.

Kucing hitam kecil itu dapat merasakan yang tuannya mempunyai tanggapan yang baik terhadap kedua-dua adik beradik ini dan mereka juga melayan Jun Wu Xie dengan baik. Akhirnya kucing hitam kecil itu mengalah dan melompat turun dari bahu Jun Wu Xie lalu mendarat di atas meja. Kemudian kucing hitam kecil itu berjalan perlahan-lahan, menuju Fan Zhuo.