"Saya sedang makan, jangan kacau saya!"
Tanpa sedar, suasana di meja itu menjadi sunyi dan kekok.
Suhu yang tadinya hangat saja terus menurun beberapa digit, menjadikan keadaan menjadi sedikit sejuk.
Tanpa sedar, Laura dan Anjel sudah pun memeluk tubuh mereka dengan bulu roma mereka meremang. Sejuknya!
Lina mengeluarkan muncungnya. Tanpa rela, dia melepaskan juga tangan Kenzie namun badannya masih tidak berpindah dan masih dekat dengan Kenzie.
Lina memandang ke pinggan Kenzie dan melihat ada potongan ayam goreng yang kemudiannya dimasak sos. Dengan wajah gembira, Lina terus merebut sudu Kenzie dan mengambil ayam itu.
Yang lain terkejut dengan tindakan berani Lina itu.
Steven yang sedang mengunyah nasinya tersedak kerana sikap Lina sampai Laura harus memberikan dia air.
"Hmm, sedapnya ayam ni Kenzie! Malah lebih sedap kalau berbagi dengan kau. Don't you think so?" Lina memandang Kenzie dengan senyuman lebar. Di tepi bibir kirinya ada sisa sos membuatkan bibir Lina comot.
Bagi lelaki lain, imej Lina ini kelihatan comel dan menarik perhatian. Tentunya, lelaki biasa akan mengambil tisu dan menolong mengelap bibir Lina dari kesan comot.
Tapi Kenzie bukan lelaki biasa. Bagi seorang lelaki yang berdisiplin tinggi dan mementingkan kebersihan, imej Lina ini hanya membuatkan Kenzie menjadi marah dan geli.
Melihat bagaimana Lina merebut sudunya dan memakan makanannya tanpa kebenaran, membuatkan Kenzie hilang selera makan.
Kenzie terus mengangkat begnya dan berdiri. "Saya tunggu kau di tempat biasa. Jangan lambat!" Kenzie bercakap dengan Steven sebelum dia berlalu pergi tanpa memandang ke belakang lagi.
Wajah dingin Kenzie yang dua kali lebih dingin dari yang biasa membuatkan badan Ashley bergegar secara automatik. Huh, sungguh menakutkan!
Terus saja Ashley teringat akan kejadian enam tahun lalu, di mana Kenzie juga menggunakan wajah dingin itu untuk memandang Ashley.
Ashley memegang dadanya. Nasib baik... Nasib baik reaksi tadi bukan lagi untuk saya...
"Apa ni, Lina? Kau tidak nampak kami sedang makan? Kenapa kau kacau kami makan? Kau kan sudah habis kelas, kenapa kau masih berlegar-legar di sini..." Berlegar-legar macam hantu. Itulah ayat yang ingin Steven katakan kepada Lina namun dia tidak berani untuk menghabiskan ayatnya.
Lina terus menjeling Steven dengan tajam. "Saya pun nak makan dengan korang. Kenapa kau nak marah pula?"
"Sebab kau ganggu Kenzie makan! And what is your purpose to eat Kenzie's food? Dia kan tidak suka orang lain sentuh makanan atau minuman dia. Sedangkan kalau saya sentuh pun, dia tidak akan sentuh lagi. Kau tengok, sekarang Kenzie sudah pergi," Steven terus membebel, melampiaskan amarahnya kepada Lina.
Lina terus berpeluk tubuh sambil memusingkan kepalanya ke arah lain. "Saya cuma nak makan tengah hari dengan Kenzie. Kenapa kau nak marah-marah pula?"
Dua saat kemudian, Lina memusingkan kembali kepalanya ke arah Steven. "Tunggu..." Lina memandang ke arah Ashley dan kawan-kawannya. "Kenapa saya tidak boleh makan dengan Kenzie sedangkan empat orang perempuan ni boleh makan dengan kau?"
Lina terus memandang Ashley yang duduk di sebelah Kenzie tadi. "Kau sengaja nak ambil hari Kenzie, kan? Cakap, apa yang kau buat dengan Kenzie sampai dia benarkan korang duduk semeja dengan dia? Yang saya tahu, dia tidak suka ada perempuan yang duduk semeja dengan dia... Kecuali saya!"
Ashley terasa hendak menepuk dahinya sendiri kerana kesal dan geram. Bukan kami yang datang makan di meja yang sama dengan Kenzie. Dia sendiri yang datang ke sini... Dan keyakinan diri kau tu terlalu tinggi lah... Kenapa kau yakin sangat yang Kenzie nak makan semeja dengan kau?
Bukan Ashley saja merasa begitu, malah yang lain juga. Semua orang memandang ke arah Lina seperti mereka sedang memandang orang yang bodoh.
Ashley mengeluh kecil. Dia segera mengambil bekas makanan dia dan Kenzie sebelum beredar dari sana. Ashley tahu tiada guna dia berdebat dengan Lina. Lebih baik pergi daripada buang air liur bertekak dengan Lina.
Melihat Ashley pergi, Laura dan yang lain juga akan ikut Ashley.
Steven memandang Lina sebelum dia menggeleng. "Tsk, tsk, tsk... Kau ni overconfident betullah. Macamlah Kenzie tu suka sangat makan semeja dengan kau!"
Usai berkata begitu, Steven juga beredar bersama dengan bekas makanannya untuk dibuang.
Lina memandang Steven dan yang lain beredar dengan hati yang marah. Merah matanya kerana menahan marah.
Lina menghentak meja dengan penumbuknya. "Tak guna!"
***
***
KENZIE berdiri di tepi tempat parkir kereta. Dia sedang menunggu Steven untuk siap makan dan setelah itu mereka boleh pulang.
Kenzie tidak mempunyai kelas petang ini dan memandangkan tiada apa yang dia boleh lakukan di kolej lagi, dia mahu pulang.
Telefonnya bergetar tanda ada mesej masuk. Kenzie menyeluk poket seluarnya dan mengeluarkan telefon dengan kulit luar berwarna hitam.
Sedang Kenzie memeriksa mesej telefonnya dan terkadang menekan sesuatu, dari ekor matanya, Kenzie melihat ada bayang yang mendekatinya.
Kenzie tidak menoleh kerana dia berfikir jika bayang itu ialah Steven yang sudah siap makan.
"Kenzie!"
Kenzie terus menoleh ke arah perempuan yang memanggil namanya. Matanya menjadi besar sedikit melihat Ashley sudah berdiri di dekatnya namun reaksi itu tidak lama sebelum wajah dinginnya kembali terpasang.
Kenzie hanya memandang Ashley tanpa bercakap apa-apa. Dia menunggu Ashley untuk melanjutkan perkataannya.
Ashley yang faham dan tahu kalau Kenzie sedang menunggu dia menyambung ayatnya itu, tanpa merasa ragu mengangkat bakul plastik berwarna hitam di tangan kanannya.
Kening Kenzie terangkat saat melihat bakul plastik itu sebelum anak matanya bergerak untuk memandang wajah Ashley lagi.
Wajah Ashley bertukar menjadi sedikit panas. "Saya nampak kau tidak habiskan makanan kau tadi. Jadi saya belikan kau beberapa bungkus roti dan... Jus oren."
Jus oren... Oh, ya. Hari ni hari Selasa, jus oren ialah minuman yang selalu kami beli pada hari Selasa. Tak sangka Ashley masih ingat walaupun sudah enam tahun berlalu.
Kenzie mengambil bakul plastik itu tanpa banyak cakap. Dia memandang ke arah Ashley lagi, berharap menunggu Ashley untuk bercakap lebih lanjut.
Ashley menggaru belakang lehernya yang tidak gatal. "Saya... Saya pergi dulu. Hati-hati dalam perjalanan pulang."
Ashley terus berpusing ke belakang dan mengambil langkah besar untuk berlalu.
Jantungnya sudah lama berdebar kencang, sebelum dia datang ke sini lagi dan setelah melihat Kenzie mengambil makanan yang dia beli tanpa menolaknya, Ashley menjadi semakin malu tapi pada masa yang sama gembira.
"Ashley."
Ashley berhenti. Jantungnya seolah-olah berhenti berdegup untuk beberapa saat ketika mendengar namanya disebut oleh lelaki berwajah dingin di belakangnya.
Ashley menoleh perlahan ke belakang. Tidak terlalu pusing, hanya cukup untuk membuatkan kepala Ashley menghadap wajah Kenzie lagi.
"Thank you."
Saat perkataan itu keluar, Ashley tahu seluruh badannya bergegar kerana terlalu gembira. Malah dia dapat merasa aliran darahnya menjadi lebih kencang dari kaki ke kepala, menjadikan pipinya menjadi panas dan lebih merah.
Ashley hanya mengangguk saja, kerana suaranya tidak mampu keluar meskipun Ashley sudah membuka mulut. Setelah itu, Ashley terus berjalan pantas pergi dari tempat itu. Dia tidak sanggup tinggal lama di sana sebab takut nanti dia akan pengsan.
Bagi Ashley, dia mungkin berjalan dengan sedikit kepantasan. Namun bagi Kenzie yang sedang merenung kelibat Ashley, melihat seolah-olah Ashley berlari tanpa memijak tanah. Lesap dalam masa lima saat saja.
Kenzie terus tersenyum kecil. Dia mengangkat bakul plastik hitam di tangannya ke paras wajahnya.
Steven sudah siap makan tengah hari dan dalam perjalanan ke tempat Kenzie. Ketika dia datang, inilah suasana yang dia nampak.
Steven menghampiri Kenzie. "Siapa yang bagi kau makanan? Peminat rahsia kau lagi?"
Kenzie menurunkan plastik itu lagi. Wajahnya dinginnya sudah kembali saat dia mendengar suara Steven tadi. Gila, mana dia mahu biarkan Steven nampak yang dia tersenyum tadi. Dan kenapa dia tersenyum pula?
"Kau lambat."
Steven tertawa kecil. "Sorry, sorry. Saya ke tandas tadi. Saya cuci tangan. Marilah kita masuk ke kereta."
Steven mendekati kereta Mercedes merah dan membuka kunci. Dia memandang Kenzie yang sedang membuka pintu kenderaan.
"Kalau kau tidak suka makanan yang peminat rahsia kau tu bagi... Kau boleh bagi saya, saya akan tolong makan—"
"Mari jalan." Dengan wajah dingin, Kenzie memotong ayat Steven dan segera masuk ke kereta dengan gaya selamba.
Steven mencebik kecil dengan sikap Kenzie tapi dia tidak bercakap lagi. Steven menutup pintu kereta dan terus menghidupkan enjin.