webnovel

Bersyukur Kerana Masih Hidup

Éditeur: EndlessFantasy Translation

Su Qianci mengatakannya dengan separuh bergurau. Sebelum ini, dia sentiasa terpukau apabila melihat Li Sicheng. Tetapi sekarang, apabila melihat wajah dan badan yang sama itu, dia tidak dapat mengelak daripada membayangkan kejadian bercium lelaki itu dengan Tang Mengying, serta panggilan dari Australia itu. Apabila Li Sicheng mengkritiknya di meja makan itu, kebenciannya semakin bertambah.

Li Sicheng tidak menyedari dirinya telah membuatkan Su Qianci teramat geram. Dia mengerutkan kening lalu meletakkan sepotong daging barbeku ke dalam pinggan isterinya itu dan berkata, "Jangan berkelakuan seperti budak-budak."

Dia berkelakuan seperti budak-budak? Su Qianci merasakan dadanya sesak. Tetapi apabila memandang datuk yang masih tersenyum gembira, dia memutuskan untuk menukar perasaan marahnya kepada selera. Selepas selesai makan, datuk menggeliat sebentar sebelum berkata dia mahu pulang ke bilik dan tidur.

Manakala Su Qianci baru sahaja bangun daripada tidur dan sedang berasa amat segar. Setelah Kapten Li beredar, dia terus bangun dan berjalan keluar dari hotel. Hotel yang ditempah datuk itu berada di kedudukan yang strategik, iaitu betul-betul berhadapan pantai. Cahaya matahari memancar indah di sepanjang sebuah jeti di situ. Kelihatan pasangan-pasangan kekasih sedang bersiar-siar sambil mengungkapkan kata-kata romantik dalam pelbagai bahasa. Su Qianci memandang mereka sambil tersenyum. Ini sememangnya tempat sesuai untuk bercinta.

Dia membuka kasutnya lalu melangkah ke dalam air laut dengan berkaki ayam. Air yang dingin itu berterusan menyentuh kakinya. Dalam keriuhan beberapa lelaki dan perempuan saling berkejaran dan ketawa di pantai itu, Su Qianci merasakan jiwanya menjadi tenang. Ketika itu, segala perkara buruk hilang seketika daripada fikirannya.

Sudah lama dia tidak merasakan ketenangan seperti ini…

Dan dia berasa bersyukur kerana masih hidup.