webnovel

Semasa relau untuk pembuatan simen dibina, Roland sudah mengarahkan pembinaan beberapa makmal untuk projek susulan lain. Kebanyakan makmal itu dibina di sekitar kawasan Lombong Cerun Utara agar ia mudah dikawal ketat – pembinaan makmal itu pula siap dengan pantas kerana ia hanya berdindingkan bata jemur dan beratapkan kayu. Pembinaannya juga tidak akan mengganggu projek pembangunan tembok kota.

Kalium nitrat yang dibeli dari Bandar Raya Willow dihantar ke gudang berhampiran untuk disimpan. Ia akan dikisar, ditimbang, dan dihantar ke makmal tersebut apabila ingin digunakan. Begitu juga dengan arang dan serbuk belerang. Pengangkutan dan pengadunan ketiga-tiga bahan itu akan dibuat oleh tiga kumpulan pekerja berbeza. Roland mahu menyingkirkan risiko projek rahsia ini terbocor.

Roland mengambil 20 paun serbuk bedil yang sudah dicampur dan menuangkannya perlahan ke atas sekeping kulit kambing yang telah dipotong.

Serbuk bedil ini sudah siap direndam, dipadatkan, dikeringkan, dikisar, dan disaringkan. Butirannya hampir sama besar dan sangat mudah terbakar. Untuk mengelakkan kebakaran sekiranya ia bertemu percikan api, keseluruhan proses pembuatannya tidak menggunakan sebarang alat besi. Sebaliknya mereka menggunakan alatan tembikar atau kayu.

Selepas menuangkan serbuk bedil itu, Roland melipat kepingan kulit kambing itu tiga kali dan mengikatnya dengan tali.

"Ini saja patik perlu buat?," tanya Carter dengan rasa tidak percaya. Tak mungkin bungkusan sekecil ini boleh menjadi senjata? Walaupun ia campuran serbuk salji yang diubah suai, ia tidak akan memberi sebarang kesan kecuali bunyi letupan sahaja. Mungkin ia akan membuat petani biasa terpegun tetapi askar terlatih tidak akan rasa hairan dengannya. 'Tapi…, fikir ketua kesateria itu lagi, 'selama ini semua perbuatan baginda memang tidak masuk akal tapi akhirnya terbukti berkesan.'

Jika makhluk iblis tidak jauh beza daripada haiwan liar biasa, mungkin serbuk bedil ini akan berkesan? Mungkin bunyi letupannya akan membuat mereka terkejut lalu melarikan diri. Jadi angkatan tentera mereka tidak perlu susah-payah bertempur.

Roland menghulurkan bungkusan serbuk bedil itu kepada Carter dan mengambil satu lagi punjut serbuk bedil dikisar halus. "Sudah tiba masanya, ayuh kita ke luar tembok kota. Kapak Besi sepatutnya sudah buat semua persediaan."

Dengan jarak kira-kira dua batu dari tembok kota ke arah barat, tanah terbiar antara Hutan Kabut dan Banjaran Puncak Langit sememangnya kawasan yang amat sesuai untuk ujian bedil ini.

Kapak Besi dan pemburu lain sudah lama menunggu di sana. Selain Kapak Besi, mereka semua ialah orang tempatan yang paling handal memanah. Apabila mereka mendapat tahu Putera Roland ada misi untuk mereka, mereka terus mengikut Kapak Besi ke sini.

Sekarang semua orang sudah tahu pemerintah baru Pekan Sempadan sangat bermurah hati dan senang memberi ganjaran.

Sesuai dengan arahan Roland, mereka mencacakkan empat tiang kayu panjang di empat sudut, mengikat tali pada hujungnya, dan menutup seluruh kawasan itu dengan kain membulat sejauh setengah batu. Roland menugaskan kesateria menjaga tembok kota, bimbang jika ada orang merayau-rayau berhampiran bulatan itu.

Roland memeriksa kawasan ujian bedil itu dan mengangguk. "Awak sudah bawa semua bahan uji kaji?"

"Ya, Tuanku, semuanya ada di sini," Kapak Besi mendekati Putera Roland dengan sebuah sangkar. Carter melihat ada ayam dan arnab di dalam sangkar itu.

"Bagus. Letakkan seekor pada jarak 5 langkah, 10 langkah, 15 langkah, dan 30 langkah dari tengah bulatan ini dan ikatkan seekor pada setiap tiang kayu."

Carter menggelengkan kepala sedikit dan berkata, "Tuanku, pada pendapat Patik haiwan-haiwan ini tak akan menunjukkan sebarang kesan ketara. Sifat haiwan ini memang penakut. Kalau ada bunyi sedikit pun, mereka tentu akan lari. Kita tak boleh samakan mereka dengan makhluk iblis itu nanti dan cuba mengejutkan mereka."

"Mahu mengejutkan makhluk iblis?" Roland merenung muka Carter sebentar sebelum dia tiba-tiba faham. "Beta bukan mahu kejutkan mereka, walaupun letupan serbuk ini boleh tahan juga kuatnya."

Roland membawa ketua kesateria itu ke tengah bulatan, meletakkan bungkusan serbuk bedil itu atas tanah dan mengoyakkan satu bucunya agar serbuk itu tertumpah sedikit. Kemudian Roland mengeluarkan punjut serbuk bedil kisar tadi dan menuangkannya dari bucu koyak itu dalam satu garisan sambil berjalan mengundur.

Hari itu tiada angin langsung, jadi ia sempurna untuk ujian primitif ini.

Selepas garisan itu mengunjur sepanjang 100 meter, Roland meluruskan kembali badannya.

"Baik, sekarang kita boleh nyalakannya." Roland memeriksa ukuran itu berkali-kali untuk memastikan dia tidak salah. Kemudian dia bercakap pada Carter, "Bawa semua pemburu itu ke sini."

Roland tidak dapat menahan rasa teruja. Dia sudah membuat ujian sama pada skala kecil jadi dia sudah tahu kesudahan uji kaji ini. Tetapi hari ini bakal mencatat sejarah dalam Zaman Pertengahan. Serbuk bedil ini akan menjadi ciptaan perang terunggul dan Roland akan dinobatkan sebagai pelopor persenjataan.

Selepas semua orang berkumpul, Roland menyalakan garisan serbuk bedil itu.

Roland mengarahkan semua orang meniarap. Carter melihat percikan api itu menjauhi mereka dengan rasa tidak senang hati.

Mereka berada begitu jauh dari bungkusan serbuk bedil itu. Sudahlah ia tidak diletakkan dalam tong gangsa pun, jadi bagaimana ia boleh menghasilkan letupan kuat? Mungkin bunyi juga tidak akan ada. Mengapa Baginda Putera Roland menyuruh mereka meniarap? Tetapi dia tiada pilihan selain menurut sahaja titah puteranya itu.

Tanah itu sejuk kerana sekarang musim dingin. Perut Carter seperti mahu membeku walaupun dia memakai baju perisai. Carter mula rasa gelisah. Dia menguit-nguit sedikit. Apa kata dia cuba bergolek ke sisi? Tetapi sebaik sahaja dia mahu mengangkat perutnya, satu letupan kuat memecahkan kesunyian hari itu.

Sebenarnya mereka masih dikira dekat dengan pusat bulatan itu jadi bunyi letupan dan gegarannya tiba serentak. Telinga Carter berdesing kuat dan pekak sementara. Tanah di bawah badannya bergoncang hebat. Dia mengangkat kepalanya dan melihat kepulan awan hitam naik ke langit dan batu kerikil serta lumpur turun menghujani mereka.

Kejutan yang diterima Carter tidak sama seperti Roland. Dulu Cheng Yan akan menutup telinga walaupun hanya mendengar mercun jadi kini dia sudah siap-siap melindungi pendengarannya. Letupan yang terjadi tidak sama seperti dalam filem, tidak ada bebola api yang marak. Apa yang ada hanya nyalaan api seperti panahan kilat dan lumpur tercampak ke udara setinggi 10 meter. Apabila keadaan tenang kembali, Roland berfikir, 'Bunyi ini lebih kuat daripada bunyi mercun.'

Kapak Besi dan pemburu lain hanya terlopong dengan apa yang terjadi. Hanya Kapak Besi tahu mereka mahu menguji senjata baru tetapi dia tidak sangka hasilnya boleh jadi sehebat ini.

Dia seolah-olah menyaksikan bala yang diturunkan Tuhan!

Roland bangun dan menepuk-nepuk bahagian hadapan bajunya. Dia membawa mereka ke pusat bulatan itu. Ada satu lubang sedalam setengah meter terbentuk di sana. Arnab yang digantung paling hampir dengan pusat bulatan itu sudah hilang sama sekali dan hanya tinggal sebatang kayu kecil terpacak dari tanah.

Roland memeriksa haiwan uji kaji lain. Ayam yang diletakkan pada jarak 10 langkah dan 15 langkah dari pusat letupan bergelimpangan mati atas tanah. Walaupun Roland tidak melihat sebarang kecederaan luaran, dia tahu mereka mati akibat gegaran letupan itu.

Satu-satunya haiwan yang terselamat ialah arnab kelabu yang diikat 30 langkah (atau 15 meter) dari pusat bulatan. Tetapi ada titisan darah mengalir dari telinganya dan ia tidak bergelut pun semasa orang lain mengangkatnya. Nampaknya letupan kuat tadi sudah membuat ia hilang semangat untuk hidup.

Carter menelan air liur. Desing di telinganya mula berkurangan. Baru dia faham kenapa Putera Roland berkata baginda bukannya mahu 'menakutkan' makhluk iblis. Jadi inilah kesan pengubahsuaian serbuk salji itu? Jika ahli alkimia boleh menghasilkan benda sebegini, maknanya mereka jauh lebih handal daripada tukang nujum istana.

Air muka Kapak Besi berubah sambil memandang Roland. "Tuanku, jika angkatan tentera awam kita boleh menggunakan senjata seperti ini, Pekan Sempadan tidak perlu takut dengan ancaman makhluk iblis lagi. Boleh kita keluarkan senjata ini secara meluas?"

Roland mengangkat bahu. "Beta rasa itu agak mustahil. Kita hanya sempat hasilkan 20 ke 30 bungkusan sahaja sebelum Bulan Kunjungan Iblis." Masalahnya sekarang, bekalan kalium nitrat. Proses penghasilan zaman ini masih kuno. Ia hanya dihasilkan dengan mengumpul hablur asid nitrik yang diasingkan daripada campuran kapur dan sisa haiwan serta manusia. Permintaan untuknya hanya datang daripada golongan ahli alkimia dan orang bangsawan kerana ia tiada kegunaan lain. Jadi hanya ada satu dua saja kilang yang menghasilkan kalium nitrat dan semuanya akan dihabiskan untuk membuat peledak ini.

Jadi kalau Roland mahu memaksimumkan penggunaan serbuk bedil ini, ia mesti digunakan sekali dengan senapang api dan panah busur silang.