webnovel

Petanda Tidak Baik

Translator: EndlessFantasy Translation Éditeur: EndlessFantasy Translation

Dia sudah pernah mendengar bunyi semboyan itu berkali-kali sebelum ini. Selalunya itu bermakna ada gerombolan makhluk iblis datang untuk menyerang sempadan. Tetapi kini angkatan tentera awam Roland sudah lebih daripada mampu untuk menangani masalah itu.

Jadi Roland langsung tidak cemas. Dia hanya mengumumkan agar latihan hari ini ditunda, menyuruh Wendy dan Lightning balik ke istana untuk berehat, dan meminta Anna mengiringi Nana ke hospital untuk menerima pesakit. Manakala dia pula akan pergi ke tembok kota bersama Nightingale.

Tanpa disangka-sangka, Lightning membantah. "Sebagai seorang penjelajah, patik sudah lama menetap di Rantau Barat tetapi patik tidak pernah melihat serangan gerombolan makhluk iblis secara besar-besaran. Ini sangat memalukan dan tidak boleh diterima. Patik memohon agar dibenarkan untuk ikut bersama!"

Roland menolak permintaan Lighting mentah-mentah tanpa berfikir dua kali dan menambah arahan agar Wendy menjaga Lightning dan melarang dia keluar istana semasa makhluk iblis sedang berkeliaran.

Roland mengalihkan pandangan kepada Nightingale. Dia mengangguk sekali, mencapai tangan Roland, membawa dia masuk ke dalam Kabus dan terus keluar di tembok kota. Apabila Roland mendapat tahu Nightingale boleh membawa sebarang benda bersama dia ke dalam Kabus, dia sudah ketagih dengan cara perjalanan itu. Mereka boleh memintas mana-mana sekatan jalanan, tidak perlu menghiraukan bukit-bukau dan lembah, dapat melangkau beberapa meter dengan satu langkah sahaja, dan membuatkan Roland berasa seolah-olah dunia ini kepunyaannya.

Sekelip mata, mereka tiba di tembok kota dan Roland menemui tempat kosong untuk keluar dari Kabus itu dan bergegas ke barisan pertahanan. Hutan belantara nun jauh di sana diselaputi salji putih. Dia tidak melihat seekor pun makhluk iblis di mana-mana. Adakah ia satu kesilapan? Bukan Roland sahaja, askar tentera awam yang menyusulnya juga seperti tertanya-tanya.

Putera itu mendapatkan Kapak Besi dan menyedari dia sedang merenung jauh dengan riak wajah serius sambil tangannya masih menggenggam semboyan dengan sangat kuat.

"Awak bunyikan semboyan?"

"Ya, Tuanku. Lihat…" Suaranya kedengaran lebih mendatar daripada biasa. "Ia datang."

'Ia apa?' Roland cuba melihat di kejauhan tetapi dia hanya boleh nampak satu tompok hitam samar-samar. Ia sangat sukar untuk dilihat walaupun dengan latar belakang putih salji. Menurut peraturan mereka, semboyan hanya akan dibunyikan apabila pasukan peronda memerlukan bantuan untuk menangkis serangan. Tetapi Kapak Besi seorang pemburu berpengalaman jadi dia tentu ada sebab kukuh untuk ini.

"Itu seekor makhluk iblis kacukan." Kapak Besi menelan air liur. "Patik pernah bersemuka dengannya enam tahun lalu."

'Betulkah?' Roland mengerut dahi. Secara teori, makhluk iblis akan terus menyerang Kubu Longsong sehingga mereka mati, lantaran mereka tidak ada akal dan tidak pandai mengundur diri. Kubu Longsong tidak pernah ditawan, tetapi bukan sahaja ia tidak mati, malah terus hidup selama enam tahun? Roland dapat merasakan ini petanda tidak bagus.

Namun begitu ia berada begitu jauh sehingga Roland dapat melihat satu tompok hitam sahaja. Tetapi Kapak Besi sampai boleh tahu jenisnya pula. Penglihatannya sangat tajam! Atau mungkin Kapak Besi tersalah tengok. Semua itu bermain dalam fikiran Roland.

Makhluk iblis itu tidak membuat Roland menunggu terlalu lama. Ia mula bergerak ke arah tembok kota. Tidak lama kemudian semua orang boleh melihat bentuk luarannya yang sangat unik dan menakutkan.

Badannya tidak besar seperti makhluk iblis sebelum ini, tetapi ia menyerupai seekor harimau gergasi. Namun begitu ia mempunyai sayap besar yang terlipat di belakang, menyelubungi seluruh tubuhnya. Kepalanya seperti kepala harimau tetapi ia ada dua pasang mata – jika sepasang mata itu bukan hiasan semata-mata, ia pasti boleh mengesan sebarang pergerakan dari belakang tanpa perlu memusingkan kepala.

Carter dan pemburu lain sudah mengisi peluru dan bersedia untuk bertarung.

Makhluk iblis kacukan berupa singa itu tidak menyerang dengan melulu. Ia berhenti di jarak luar daripada julat sasaran busur silang dan memandang sekeliling.

Dalam jarak ini, ia boleh ditembak dengan senapang batu tetapi jika makhluk itu bergerak secara tiba-tiba, peratusan untuk ia mengenai sasaran adalah hampir sifar.

Selepas seketika, ia tiba-tiba melompat ke sebelah kiri dan melebarkan sayapnya lalu terbang ke udara. Seperti yang pernah diceritakan Kapak Besi, ia boleh terbang meluncur jarak dekat. Selepas ia terbang melintasi sekatan jalan, ia mendarat dan terus lari ke arah barat tembok kota yang tidak dilindung oleh sesiapa.

Kekhuatiran Roland terbukti, alamat buruk itu menjadi kenyataan. Makhluk itu boleh memerhati dan menentukan kelemahan dan kekuatan lawan lalu memutuskan untuk menyerang di bahagian lemah jadi ini membuktikan ia berakal – satu-satunya kekurangan makhluk iblis lain. Kadang-kadang haiwan liar akan menyerang titik lemah mangsa mereka. Namun itu naluri seorang pemangsa yang diperturunkan sepanjang generasi. Apabila berhadapan lawan tidak dikenali, haiwan liar sepatutnya tidak tahu langsung menilai kekuatan lawan itu, apatah lagi membuat analisis sebegitu jitu.

Apakah maksud mempunyai akal? Manusia bergantung kepada kepintaran otak tinggi dan ketahanan diri kuat untuk menempati kedudukan tertinggi dalam rantaian makanan semula jadi yang kejam. Roland takut untuk berfikir lebih lanjut. Dia melambai tangan untuk menyuruh Ketua Kesateria Carter menghampirinya. Pemburu lain akan mengikut Kapak Besi untuk menyerang makhluk iblis itu.

Ia berlari ke sebuah kawasan kosong dan melompat tembok kota dengan begitu mudah. Ia menuju terus ke kawasan penempatan dan tidak pandang sebelah mata pun kepada Skuad Pemburu.

"Tak guna!" Roland menyumpah. "Tentera awam dari bahagian kedua tembok kota ikut beta! Tentera simpanan pergi ambil tempat untuk lindungi tembok kota!"

Sekarang Roland sudah tidak peduli jika angkatan tentera awamnya hanya terlatih berlawan lembing sahaja. Mereka tentu akan berpecah, lari, dan diserang makhluk iblis. Carter memimpin para pengawal untuk mengikut putera mereka. Setiap seorang daripada mereka handal bertarung dan boleh mengisi sebarang kekurangan. Di belakang sekali ada pasukan senapang batu yang diketuai Kapak Besi.

Apabila mereka memasuki Daerah Lama, pandangan mereka terhalang oleh rumah-rumah. Jalan-jalannya pula sempit dan ditutupi salji jadi pergerakan angkatan itu terbatas. Roland terpaksa memecahkan angkatan dan bergerak melalui lorong-lorong sempit dan berharap mereka dapat menemui makhluk iblis itu.

Sekarang baru Roland menyesal tidak membawa Lightning. Jika dia boleh mencari kedudukan makhluk itu dari udara, angkatan tenteranya tidak perlu mencari-cari tanpa arah tujuan di celah-celah lorong.

Mereka mencari selama lapan minit. Tiba-tiba jeritan seorang penduduk kampung kedengaran dari hujung sebuah lorong.

Seluruh pasukan itu terus mengubah hala tuju mereka ke arah bunyi itu. Mujurlah kebanyakan ahli angkatan tentera awam itu merupakan penduduk Daerah Lama. Mereka lincah membelok ke sana dan ke sini, malah berjalan melalui laman belakang rumah seseorang. Setibanya mereka di tempat mereka dengar jeritan tadi, Roland ternampak seseorang sudah digigit hingga terputus dua. Ususnya berselerak atas tanah dan dia memang sudah tidak bernyawa lagi.

"Oh, tidak. Ini Serampang Besi! Saya kenal dia!"

"Tak guna, mana ia lari?"

"Hati-hati! Belah kanan awak!" Ada suara lantang memberi amaran. Sebaik sahaja perkataan itu keluar dari mulut, satu bayang-bayang hitam menerpa dari sebelah kanan sebuah rumah kayu lalu membuatkannya berkecai menjadi serpihan. Ia menerkam dan menembusi dinding rumah kayu, menangkap seorang ahli tentera awam dengan cakar kakinya seraya mengigitnya.

Orang pertama bertindak ialah Kapak Besi. Dia mengangkat senapangnya dan baru menyasarkan mahu menembak tetapi ahli angkatan tentera awam yang lari bertempiran sedang menghalang pandangannya. Dia gagal melepaskan tembakan jadi dia bersusah-payah mengelak semua orang dan melangkah setapak demi setapak ke arah makhluk itu. Pemburu lain pantas menyedari situasi Kapak Besi. Mereka menggenggam kuat senapang batu mereka dan melompat naik ke atap rumah berdekatan.

Makhluk iblis kacukan itu seakan-akan tidak peduli dengan semua senapang batu yang sedang menembak ke arahnya. Ia melebarkan sayap, menahan tikaman lembing dari askar-askar di bawah, dan menyambar seorang ahli angkatan tentera awam yang berlumuran darah. Sebaik sahaja ia mahu terbang lari, satu tembakan dilepaskan.

Darah hitam bersembur dari tubuhnya.

Makhluk iblis kacukan itu mengaum marah selepas terkena tembakan itu. Ia melepaskan mangsanya, mengibas sayapnya dan terbang pantas ke arah pemburu yang sedang berdiri di atas atap rumah. Pada masa sama, Kapak Besi berjaya melepaskan diri daripada kerumunan orang ramai lalu menembak dengan senapang batunya ke arah makhluk iblis itu.

Tembakan itu datang betul-betul dari hadapan dan mustahil ia akan tersasar. Malah serbuk api daripada tembakan tadi terpercik ke hidung raksasa itu. Peluru itu tembus melalui mata sasaran dan terbenam di dalam otaknya.

Makhluk iblis kacukan itu kaku serta-merta lalu jatuh dari udara.