webnovel

"Awak dah rasa lebih lega?"

Anna menepuk-nepuk belakang Nana. Dia juga berasa mahu muntah tetapi masih dapat menahan dirinya.

Seorang lelaki cedera telah dibawa kepada mereka dan semasa dia masih sedarkan diri lagi, dia merintih "Selamatkan saya, selamatkan saya…" Derita dan kesakitan terpancar dalam matanya dan sangat memilukan hati. Sebaik melihat usus terjuntai dari perut lelaki itu, Nana terus muntah.

Namun begitu, dia membulatkan tekad untuk tetap merawat lelaki itu. Selepas Brian sedaya-upaya menyumbat usus lelaki itu kembali ke dalam perutnya, Nana menghulurkan tangan dan memulihkan kecederaannya sambil memejamkan mata.

"Em…" Anak gadis itu nampak gelisah. Dia bertanya perlahan kepada Anna di sebelahnya, "Hari ini pertama kali saya dengar bunyi semboyan itu. Adakah Putera Roland sedang hadapi masalah?"

"Saya pun tak tahu," Anna menggelengkan kepalanya. Dia begitu teringin mahu menjenguk keadaan di tembok kota. Tetapi dia juga risau dia hanya akan menyusahkan Roland. Dia mula rasa sedikit cemburu dengan kebolehan Nightingale – kalau dia boleh menjadi halimunan, dia boleh dia curi-curi keluar.

Pada saat itu juga, satu dentuman kedengaran dari tembok kota. Semua orang dalam hospital itu dapat merasakan tanah bergegar.

Brian bingkas bangun dan mula mundar-mandir dalam bilik itu.

"Bertenang, anak muda," kata Baron Pine sambil mengelap pedangnya. "Jika kita sudah tidak sabar sebelum pertarungan bermula, ia hanya akan memburukkan keadaan. Lagipun sekarang situasinya belum teruk lagi."

"Minta maaf, Tuan Yang Terutama," jawab Brian. "Tapi saya tidak boleh bertenang. Saya tidak mahu duduk berpeluk tubuh di sini sedangkan orang lain bertaruh nyawa di tembok kota. Mempertahankan tembok kota ialah tugas saya."

"Ya, mungkin," Baron Pine sekadar mengangkat bahu. "Tetapi mempertahankan tembok kota bukan tugas awak seorang. Saya dengar Yang Amat Mulia Putera Roland bakal mengurniakan gelaran kesateria kepada awak. Jadi awak patut tahu tugas utama seorang kesateria ialah taat setia. Jika Baginda mengarahkan awak melindungi Anna, maka tugas awak ialah mematuhi titah Baginda itu."

"Betul cakap tuan." Selepas teragak-agak seketika, Brian kembali duduk.

Tetapi tidak lama selepas itu, bunyi semboyan kedua pula kedengaran – ia lebih mencemaskan berbanding semboyan pertama tadi dan sekarang semua orang mula ketakutan.

Pine mengerutkan dahi.

"Anna!" Tiba-tiba Nana menjerit terkejut.

Pine berpusing dan melihat ahli sihir itu sedang berjalan menuju ke pintu. Brian lantas bangun dan berdiri di hadapannya.

"Bukankah awak kata mahu mempertahankan tembok kota? Sekaranglah masanya," kata Anna dengan tenang. "Asalkan awak bersama saya, awak tidak mengingkari titah Yang Amat Mulia."

Brian panik dan keliru. Dia mengalihkan pandangan ke arah Tigui Pine.

'Bijak betul', fikir Baron Pine dalam hati. 'Kata-kata dia masuk akal. Putera Roland tidak kata Anna patut duduk di hospital sahaja. Nana kata Anna boleh mengawal api. Jika mereka menghadapi masalah, mungkin kebolehan dia boleh membantu mereka.'

Pine membuat keputusan lalu mengangguk. "Jaga dia."

"Sudah tentu, tuan," jawab Brian dengan semangat berkobar-kobar.

Selepas mereka berdua keluar, Nana bertanya, "Ayah, ayah mahu ke tembok kota juga?"

"Tidak, sayang. Ayah sudah ada tanggungjawab di sini." Baron itu tersenyum. "Tidak kira sama ada syaitan ataupun makhluk iblis, ayah tidak akan benarkan apa-apa cederakan kamu."

Tembok kota terletak tidak jauh dari hospital. Anna dan Brian berlari ke arah timur di atas jalan turapan batu ubin di sepanjang tembok itu. Apabila tiba di menara pemerhatian utama, mereka menyedari rupanya situasi sudah bertambah buruk.

Satu rekahan besar membelah tembok kota itu. Pengawal Roland bertahan di hadapan rekahan itu dengan perisai tetapi ada antara mereka sudah tersungkur. Dalam puluhan makhluk iblis yang menyerang, ada seekor kelihatan seperti khinzir liar dan sangat ganas. Pengawal di barisan hadapan yang ditanduk khinzir liar itu hampir terbang melayang bersama dengan perisai mereka.

"Hei! Sini sangat bahaya! Pergi sekarang!" Seseorang melaungkan amaran apabila melihat Anna dengan baju anehnya.

Anna berpura-pura tidak mendengar amaran itu. Dia terus menuju ke rekahan besar tadi. Sebaik khinzir liar itu berjaya menangkis semua pengawal, ia berpusing dan berlari ke arah Anna. Brian meluru ke sebelah Anna, menunduk dan mengibas pedangnya dari sisi ke sisi – tetapi haiwan yang sedang menggila itu tidak mengelak, walaupun semasa pedang itu berjaya membelah salah satu kaki hadapannya. Pedang itu tercampak ke sebelah dan berat haiwan itu membuatkan kaki yang terbelah tadi terputus dua.

Ia jatuh dengan bunyi teriakan nyaring dan menggelupur seperti ikan yang baru keluar dari air. Tiada siapa berani mendekatinya. Anna berjalan menghampiri haiwan itu dan menekap tangannya ke tanah. Tidak lama kemudian api mula muncul dari bawah haiwan itu dan membakarnya hingga hangus menjadi abu.

Roland turut menyedari api yang muncul tiba-tiba itu. Apabila menyedari api itu dihasilkan Anna, jantungnya terasa seperti mahu tercabut.

Ini bukan rancangannya!

Dia merancang untuk memperkenalkan Nana dahulu dan menyemai hubungan baik antara Nana dengan angkatan tentera awamnya. Selepas mereka menerima kehadiran ahli sihir yang baik hati itu, perlahan-lahan dia mahu memperkenalkan Anna pula.

Tetapi sekarang semuanya sudah terlambat. Dia terus memberi arahan kepada Nightingale. "Usah pedulikan beta lagi. Lindungi dia dahulu!"

'Anna tidak boleh diapa-apakan sama sekali. Dia tonggak utama dalam rancangan pengindustrian saya. Jika dia cedera, semuanya akan musnah,' fikir Roland dengan risau.

"Baik, Tuanku," jawab Nightingale. "Tuanku jaga diri."

Anna masih berjalan ke arah rekahan tembok kota itu. Pengawal Roland memberi jalan kepadanya kerana mereka sudah banyak kali melihat gadis berpakaian aneh ini di istana. Dia berhenti betul-betul di hadapan barisan perisai mereka dan mendepangkan tangan. Api menjalar keluar dari jari-jemarinya seperti pucuk pokok dan menyeliputi permukaan tembok kota merekah itu.

Semua orang yang melihat ini terlopong dengan rasa tidak percaya. Mereka hanya mampu melihat api menjalar itu bercantum hingga menjadi dinding api yang menutup rekahan tembok kota itu. Tetapi tidak mungkin mereka berkhayal kerana bahang api itu membuat mereka terpaksa menjauhkan diri. Salji di sekeliling mereka mula mencair dan kabus putih tebal mula terbentuk.

Makhluk iblis itu nampaknya turut merasakan bahang dinding api ini. Mereka terus melarikan diri tetapi masih ada seekor dua berdegil dan meluru ke dalam dinding api itu lantas terus dibakar hangus.

"Semua orang naik ke atas tembok kota!" Roland merebut peluang ini dan melaung, "Skuad Lembing! Kembali ke kedudukan! Skuad Pemburu, tembak!"

Selepas melaungkan arahan itu, dia mengambil senapang batu daripada Carter dan meluru naik ke tembok sambil menembak makhluk iblis yang sudah terperangkap.

Tindakan putera itu membangkitkan semangat semua orang. Pada zaman ini, golongan diraja dan bangsawan jarang bertarung di samping askar. Jadi apabila Putera Roland memilih untuk bertarung bersama angkatan tentera awam yang dipilih dalam kalangan orang kebanyakan, ia begitu luar biasa.

Semua orang lantas melaung "Pertahankan Pekan Sempadan! Bertarung dengan Yang Amat Mulia!" dan menyusun kembali barisan pertahanan tadi seolah-olah tembok itu tidak pernah rosak.

Pertarungan itu berlanjutan hingga waktu senja. Akhirnya tiada lagi makhluk iblis yang masih hidup di hadapan tembok kota.

Dinding api itu beransur-ansur malap lalu padam sepenuhnya. Anna menyeka peluh di dahinya dan mula berjalan keluar dari rekahan itu.

Kemudian Roland menyaksikan sesuatu yang mengejutkan.

Semua pengawal di situ meletakkan tangan di dada dan menundukkan kepala tanda hormat kepada Anna. Malah angkatan tentera awam turut meniru tindakan para pengawal diraja dan memerhatikan Anna tanpa sebarang kata. Tiada siapa menjerit "Syaitan!" atau "Ahli sihir!". Suasana di medan tempur itu bertukar hening.

Kuasa yang tidak diketahui tentu akan mencetuskan ketakutan. Tetapi apabila empunya kuasa itu sendiri berdiri dan bertarung di samping orang ramai, rasa kepercayaan dan penghargaan tentu akan menggantikan ketakutan.

Roland cuba menahan keterujaannya dan mendekati Anna. Dia menyedari muka Anna pucat lesi dan dia terketar-ketar. Dia kelihatan seperti akan jatuh pengsan.

"Anna, awak tak apa-apa?" Roland memegang bahu gadis itu dengan wajah gusar tetapi Anna hanya mampu menguntumkan satu senyuman lemah sebelum pitam dan sempat disambut Roland.