webnovel

Bulan Kunjungan Iblis (Bahagian II)

Translator: EndlessFantasy Translation Éditeur: EndlessFantasy Translation

"Tak banyak, Tuanku," jawab si pemburu. "Semasa Bulan Kunjungan Iblis, hanya ada dua atau tiga ekor haiwan kacukan raksasa. Jika tidak, Kubu Longsong tidak akan mampu melawan mereka."

"Awak memang sangat teliti," kata Roland. Dia mengarahkan si pemburu itu bangun lalu bertanya, "Siapa nama awak? Awak tidak nampak seperti rakyat Kerajaan Graycastle."

"Saya berdarah campur dengan Suku Mojin, dan orang-orang pekan ini memanggil saya Kapak Besi."

Mojin, atau kaum Pasir Besi dikatakan sebagai keturunan Gergasi Pasir Besi yang tinggal di bahagian barat daya tanah yang gersang itu pada zaman dahulu. Roland cuba mengingat kembali sebarang memori yang berkaitan dengan Suku Mojin, dan mendapati Kapak Besi tidak menggunakan nama yang diberikan oleh sukunya, tetapi dia menggunakan nama gelaran yang diberikan penduduk Pekan Sempadan. Seolah-olah dia tidak mahu dikaitkan langsung dengan kaum Pasir Besi. Tapi apa pula sebabnya? Si pemburu itu berasal dari sempadan barat daya negara itu yang kering-kontang jadi Roland mengandaikan tentu dia ada kisah sedih tersendiri.

Tetapi buat masa ini, kisah-kisah itu tidak penting; semua orang dialu-alukan untuk menetap di Pekan Sempadan tanpa mengira latar belakang mereka.

Roland menepuk tangannya. "Itu bukan sebabnya Beta panggil awak semua ke sini. Carter, hadiahkan mereka sepuluh keping perak diraja setiap seorang dan mereka sudah boleh pulang."

"Terima kasih untuk ganjaran itu, Tuanku," kata mereka bertiga serentak.

Selepas itu, Carter membawa mereka keluar dari balai penghadapan. Apabila Carter kembali, dia bertanya, "Tuanku, kenapa Tuanku tanya mereka soalan-soalan begitu? Tuanku mahu tinggal di sini sewaktu Bulan Kunjungan Iblis?"

Roland tidak menjawab soalan Ketua Kesateria itu tetapi sebaliknya dia bertanya kembali, "Apa pendapat awak?"

"Tidak sama sekali, Tuanku!" kesateria itu membantah lantang. "Si pemburu itu sendiri kata khinzir liar raksasa sukar untuk dibunuh. Panahan busur silang sejauh 50 meter takkan berkesan ke atasnya; jadi kita perlu menunggu sehingga ia datang hampir 40 atau 30 meter dari kita, barulah kita boleh menembak. Hanya anggota tentera kita yang terhandal sahaja yang mampu lakukannya. Lagipun ada begitu banyak haiwan raksasa dan kita tidak ada tembok pelindung. Kita hanya mampu berganding tenaga dengan peronda kampung untuk menghentikan mereka. Kita tentu akan kehilangan banyak nyawa dan kekalahan kita sudah terjamin."

"Tapi awak sudah tengok sendiri kuasa seorang ahli sihir, kenapa awak tak boleh berfikir dengan lebih positif?" Roland mengeluh.

"Ahli sihir…memang jahat, tetapi Anna… Cik Anna tidak kelihatan jahat. Sebagai Ketua Kesateria Tuanku, Patik hanya mempercayai kebenaran berdasarkan fakta."

"Jika Beta binakan sebuah tembok untuk pekan ini, bolehkah awak melindungi Pekan Sempadan?"

"Apa?" Carter menyangka dia tersalah dengar kata-kata Roland.

"Jika Beta binakan sebuah tembok antara Gunung Cerun Utara dan Sungai Air Merah, bolehkah awak melindungi Pekan Sempadan?" Roland mengulang setiap patah kata-katanya dengan tegas. "Walaupun ia mungkin tidak sehebat tembok yang mengelilingi Graycastle tetapi dibina untuk menghalang kedatangan iblis saja, Beta rasa ia sudah memadai."

"Tuanku, adakah Tuanku faham apa yang Tuanku baru katakan tadi?" Kesateria itu tidak tahu sama ada mahu marah atau ketawa. "Jika Tuanku suka bergurau sekalipun, ini bukan masanya. Kalau Tuanku masih menganggap perkara ini main-main, Patik mohon ampun jika Patik kurang beradab dengan Tuanku."

"Tapi kita masih ada tiga bulan, bukan? Beta sudah membaca semua rekod Pekan Sempadan dan salji pertama biasanya akan turun menjelang itu."

"Kalau kita ada masa tiga tahun sekalipun, ia masih tidak cukup! Pembinaan tembok memerlukan ramai pekerja. Untuk membuat asasnya, tanah perlu dimampatkan dan pada kedalaman setiap satu atau dua kaki, kita mesti pasang tetulang. Jika tidak, ia akan ada risiko untuk runtuh. Itu baru untuk dinding tanah liat biasa." Carter menggelengkan kepalanya. "Tembok bata dan batuan pula lebih sukar untuk dibina dan memerlukan ratusan tukang batu yang perlu memotong batu atau membakar tanah liat menjadi bata. Selepas itu mereka perlu menindih satu demi satu bongkah. Tuanku, semua tembok dibina dengan cara ini. Kisah bandar yang dibina dalam masa semalaman sahaja hanya cerita dongeng semata-mata."

Roland merasakan sudah cukup apa yang didengarnya. "Baiklah. Awak tidak perlu marah sebegitu. Jika kita tidak sempat membina tembok yang cukup kuat sebelum musim sejuk, Beta akan berpindah bersama awak ke Kubu Longsong. Beta sendiri pun tidak mahu mati di sini."

Kesateria itu melutut lalu bersumpah, "Patik akan melindungi Tuanku!"

Pada petang itu, Roland termenung panjang sambil menghirup ale di taman istana yang indah itu. Bila dia memandang Anna yang sedang asyik menikmati kek berkrim, anginnya serta-merta menjadi lebih baik.

Dia sudah merancang untuk menggabungkan angkatan askar handalannya bersama pasukan peronda Pekan Sempadan bagi menghentikan kemaraan gerombolan haiwan raksasa itu. Dia juga akan memperluaskan tanah pertanian dengan memperbesarkan lingkungan kawasan rondaan pengawal. Jika dia mahu mendirikan sebuah tembok yang memisahkan Gunung Cerun Utara dengan Sungai Air Merah dalam masa tiga bulan, dia terpaksa menggunakan teknologi moden dari zaman asalnya.

Idea ini bukan datang sekelip mata pada Roland. Dia sudah memeriksa pinggiran Pekan Sempadan (tanpa menjejakkan kakinya ke sana). Dalam mindanya, dia ada gambaran yang sangat jelas – Gunung Cerun Utara dan Sungai Air Merah hanya terpisah sejauh 600 meter paling rapat; jadi ia merupakan kawasan cerutan semula jadi. Oleh kerana kawasan itu sering dilombong, ia juga padat dengan batu kerikil sisa kegiatan perlombongan.

Sisa perlombongan ini berwarna kelabu asap dan mempunyai kandungan kalsium karbonat yang tinggi dan boleh digunakan sebagai batu kapur jika dihancurkan. Batu kapur ini merupakan penyelesaian masalah Roland. Ia boleh dikatakan mirip simen. Jadi pembinaan dengan bahan yang boleh mengeras selepas dicampur air, dengan bahan mentah yang mudah didapati dan senang untuk disediakan bakal mengubah sejarah ketamadunan manusia. Ia akan tercatat sebagai salah satu pencapaian manusia yang terunggul, selain alat membajak ladang.

Roland cuba mengganggarkan tempoh masa yang dia perlukan. Walaupun dia menggunakan teknologi moden dengan simen, dia masih tidak yakin dia mampu melakukannya. Jumlah simen yang mereka perlukan terlalu banyak dan dia rasa mereka takkan boleh menghancurkan serbuk batu kapur yang mencukupi dalam masa tiga bulan. Maknanya kualiti konkrit itu nanti akan jadi rendah dan mereka akan terpaksa memperteguhkannya dengan keluli. Jadi kebarangkalian untuk membina tembok konkrit yang kuat nampakya agak tipis.

Mereka mesti memaksimumkan penggunaan bahan sedia ada untuk menjimatkan simen, jadi pilihan yang paling tepat ialah sebuah tembok batu lapangan.

Batu lapangan ialah sejenis batu yang tidak melalui proses penghancuran; ia merupakan sisa sampingan perlombongan semula jadi. Batu lapangan tidak pernah digunakan untuk membina bangunan kerana ia berbentuk tidak sekata. Sekiranya ia terpaksa digunakan, ia mesti dipahat dahulu oleh tukang batu menjadi batu bata. Tetapi mungkin mereka boleh membina tembok dengan batu lapangan yang diikat bersama dengan simen. Jadi batu lapangan boleh digunakan tidak kira apa pun bentuknya kerana setiap rongga antara batu itu boleh disumbat dengan simen. Jadi ia boleh menjimatkan simen dan menggunakan bahan tinggalan sahaja.

Jadi rancangan ini memang telah teratur rapi, tetapi lain pula cerita dengan pelaksanaannya. Roland bimbang dia terpaksa melakukan semua itu sendirian. Pembancuhan simen dan dinding batu lapangan kedua-duanya merupakan kaedah yang sangat baru. Tiada orang yang pernah melihat teknologi seperti itu kecuali dia, jadi tiada orang lain yang tahu membuatnya. Entah-entah Roland yang perlu membinanya seorang diri dalam masa tiga bulan akan datang.

"Tuanku, lihat," suara Anna muncul dari belakang Roland.

Roland memusingkan badannya ke belakang dan melihat satu kepulan api kecil sedang menyala di telapak tangan Anna. Tiada angin yang bertiup ketika itu, tetapi nyalaan itu menaik dan menurun seolah-olah sedang mengangguk kepada Anna. Anna menggerakkan jarinya dan kepulan api itu perlahan-lahan bergerak ke hujung jarinya. Akhirnya Anna melunjurkan jari telunjuknya dan api itu menari-nari di hujung kukunya.

"Awak sudah berjaya". Pemandangan itu begitu menakjubkan. Roland benar-benar kagum dengan apa yang dia saksikan sekarang. Ini bukan sekadar muslihat silap mata atau tindak balas kimia tetapi kuasa ajaib yang sebenar. Tetapi bukan itu yang membuat Roland terpegun – apa yang lebih memukau daripada tarian api itu raut wajah Anna.

Apabila Anna sedang menumpukan pandangannya pada hujung jarinya, matanya yang kuyu ibarat air tasik yang tenang memantulkan sinaran api yang terang itu, seolah-olah ada orang bunian yang menyalakan pelita batu nilam dari sebalik anak matanya. Luka-luka sewaktu dia diseksa dalam penjara tempoh hari sudah hilang dan walaupun dia jarang senyum, mukanya sudah tidak kelihatan lesu lagi. Setitik air peluh membutir di hujung hidungnya dan pipinya kini kelihatan merah dan segar. Sesiapa pun yang melihat dia tentu akan terasa keriangan dalam hati mereka.

"Ada apa, Tuanku?"

"Tak… tak ada apa-apa." Roland tersedar dia merenung Anna terlalu lama. Dia cepat-cepat mengalihkan pandangannya dan melepaskan satu batuk. "Baik, sekarang cuba cairkan besi itu."

Sudah berhari-hari Anna berlatih terus-menerus dan hanya berhenti untuk makan dan tidur. Roland tidak dapat mengelak daripada berasa sedikit malu melihat kesungguhan Anna – semasa dia sedang bersedia untuk peperiksaan memasuki universiti pun, dia tidak berusaha sekeras itu.

"Nampaknya tak lama lagi, dia tentu akan berjaya mengawal kuasanya," fikir Roland. "Bila dia sudah berjaya, barulah saya boleh mula melaksanakan idea untuk projek-projek baru saya."