webnovel

Ubat Tiada Tandingan (2)

Éditeur: EndlessFantasy Translation

Jun Wu Xie memandang kedua-dua lelaki ini dengan penuh tanda tanya. "Bukankah Datuk dan Pak Cik makan ubat ini setiap hari?"

"..." Mata pasangan bapa dan anak itu terbeliak kerana terkejut.

Jun Wu Xie menyediakan makanan harian mereka menggunakan herba dan dia juga menghantarkan pelbagai jenis ubat untuk memperbaiki keadaan badan mereka. Badan mereka tidak lagi lemah seperti dulu. Namun kesan positif yang mereka alami ini terlalu pelbagai. Mereka tidak sedar berlakunya peningkatan pada tahap kesihatan dan keadaan badan mereka yang membolehkan pencapaian latihan mereka meningkat berlipat kali ganda.

Memandangkan semua orang tahu yang perkembangan urat darah dan arteri berhenti selepas seseorang menjadi dewasa, mereka tidak terfikir yang makanan dan ubat-ubatan yang mereka ambil itulah yang menyebabkan peningkatan sebegini mendadak.

Ini...sukar dipercayai.

"Wu Xie, apa yang kami makan selama ini… Benarkah?" Jun Qing terkedu. Tetapi setelah memikirkan kata-kata Jun Wu Xie, barulah dia perasan urat darah dan arterinya sudah bertambah kuat.

Benar kata Jun Wu Xie!

"Tentera Rui Lin terlalu besar, jadi saya hanya mampu berikan mereka pil." Jun Wu Xie mahu memberikan mereka makanan dengan khasiat herba. Ini akan mengelakkan kesan yang terlalu teruk pada tubuh mereka. Tetapi seratus ribu orang… Mereka tidak akan mampu melakukannya walaupun mereka menjual Istana Lin.

"...…. " Jun Xian merasakan jantungnya berdebar-debar.

"Pil ini benar-benar memberikan kesan seperti yang kamu katakan?" tanya Jun Qing. Matanya membara penuh semangat. Tidak banyak perkara yang memberikan kesan begini pada bapa dan anak ini.

Jun Wu Xie mengangguk.

Mereka berdua bertukar pandangan penuh kerisauan.

"Wu Xie, Tok Guru kamu yang ajar?" tanya Jun Xian dengan tegas.

"Ya."

"Tok Guru kamu memang berpengetahuan luas dalam bidang perubatan. Ilmu yang kamu belajar dari dia sangat hebat dan Keluarga Jun amat terhutang budi. Tapi kalau berita ini tersebar, ribut akan melanda. Mungkin Istana Lin boleh bertahan di Kerajaan Qi, tetapi jika berita ini tersebar ke negara lain, mereka tidak akan berdiam diri." Jun Xian tidak pernah setegas ini. Kemahiran dan pengetahuan Jun Wu Xie merupakan kurniaan dan juga sumpahan.

Kumpulan Qing Yun mendapat reputasi yang baik di seluruh dunia bukan dengan kekuatan, tetapi dengan ilmu perubatan. Mereka mempunyai tabib-tabib terbaik. Kuasa yang paling kuat sekalipun perlu tunduk pada Kumpulan Qing Yun disebabkan kehandalan mereka dalam bidang perubatan.

Apa yang Jun Wu Xie telah hasilkan, jauh melebihi kebolehan Kumpulan Qing Yun. Contohnya, ubat menguatkan urat darah dan arteri di kalangan orang dewasa. Ubat jenis ini tidak pernah didengari sebelum ini.

Selama ini, umum mengetahui yang tempoh masa untuk menguatkan urat dan arteri ialah terhad. Semua orang menguatkan bahagian-bahagian ini sebelum menjadi dewasa. Selepas itu mereka tidak ada pilihan selain berlatih dengan perlahan-lahan dan dengan tekun.

Kalaulah diketahui adanya pil yang membolehkan orang dewasa menguatkan urat darah dan arteri, berita ini pasti amat menggemparkan!

Jika hal ini tersebar, kekecohan akan berlaku. Istana Lin mungkin kuat di dalam Kerajaan Qi. Tetapi jika perkara ini menarik perhatian negara dan kuasa lain, mereka juga mungkin tak mampu melindungi Jun Wu Xie.