webnovel

Tamparan Ketujuh (2)

Translator: EndlessFantasy Translation Éditeur: EndlessFantasy Translation

"Suruh Fan Jin bawa Qiao dungu dan yang lain ke sini esok. Kalau ada apa-apa yang kamu mahu tahu, tanya pada mereka," kata Jun Wu Xie sambil menuang secawan teh.

"Maksud kamu tentang Tentera Rui Lin?" tanya Fan Zhuo sambil menunjukkan perasaan ingin tahu. Sebelum ini dia ada bertanya pada Jun Xie tentang kaitannya dengan Tentera Rui Lin tapi budak kecil ini terlalu malas mahu memberikan penjelasan dan menolak daripada membincangkan topik ini.

Jun Wu Xie mengangguk.

Fan Zhuo memandang Jun Wu Xie dengan teliti sambil berfikir-fikir sebelum bertanya, "Tentera Rui Lin akan tiba esok, bukan?"

"Mmm." Jun Wu Xie mengangguk lagi.

Fan Zhuo tersenyum sedikit. Tentera Rui Lin akan tiba esok dan Jun Xie memberitahu Fan Zhuo yang dia perlu pergi dari situ buat seketika. Dua kejadian berbeza yang berlaku serentak ini membuatkan Fan Zhuo memikirkan ada kaitan di antara kedua-duanya.

Namun begitu, Jun Wu Xie tidak berniat mahu menjelaskan apa-apa pada Fan Zhuo. Setelah mengucapkan selamat tinggal pada Fan Zhuo dengan bersahaja, dia bergegas pergi dari situ.

Jarak di antara Kerajaan Qi dan Akademi Zephyr tidak terlalu jauh dan perjalanan tersebut perlu melalui jalan utama.

Long Qi sedang mengetuai pasukan askar Tentera Rui Lin dalam satu perarakan yang megah dan agung. Mereka melepasi jalan yang lebar itu. Askar-askar itu memakai perisai perak yang berkilauan dan duduk di atas kuda-kuda perang yang gagah. Aura hebat yang dipancarkan oleh lelaki-lelaki yang berpengalaman dalam bertempur ini membuatkan orang ramai yang bertembung dengan mereka cepat-cepat mengelak.

"Bos, Cik Muda benar-benar berada di Akademi Zephyr?" tanya seorang askar di sisi Long Qi dengan kerinduan yang mendalam terpancar pada matanya.

Long Qi memandang sekilas pada askar itu dengan pandangan yang serius.

"Kita tak layak masuk campur dalam urusan Cik Muda."

Askar itu berundur lalu terus mengangguk. Namun sedikit sinar harapan tetap kekal di matanya.

Setelah melepasi jalan utama, askar-askar Tentera Rui Lin itu perlu masuk ke laluan yang lebih kecil. Walaupun lebih sempit, laluan itu lebih panjang. Suasananya tenang, biarpun sedikit berangin. Laluan sempit ini membenarkan hanya tiga ekor kuda bergerak merentasinya kerana pokok-pokok yang tebal memenuhi bahagian kiri dan kanan kawasan itu. Memandangkan hari sudah senja, tidak ramai orang berada di laluan itu.

Tiba-tiba satu susuk tubuh muncul di laluan tersebut. Dari jauh, cahaya matahari yang sedang terbenam menyinari susuk tubuh itu dari belakang dan menyembunyikan wajahnya di sebalik bayang. Cahaya senja itu membentuk lingkaran keemasan di sekeliling susuk tubuh tersebut.

Long Qi berkerut dan memberikan isyarat dengan tangannya. Semua askar-askar itu terus berwaspada.

Namun apabila Long Qi dan orang-orangnya mendekati susuk tubuh itu, Long QI tiba-tiba bergegas turun dari kudanya dan terus melutut sebelah kaki!

"Cik Muda!"

…..

Satu hari telah berlalu di Akademi Zephyr. Kekecohan yang menggemparkan fakulti Pemulih Roh telah mula reda. Namun kesan sampingan gegaran itu masih belum terhenti sepenuhnya apabila satu lagi berita mengejutkan mula mencetuskan satu lagi ribut yang akan melanda seluruh akademi itu sekali lagi.

Di hadapan pintu pagar Akademi Zephyr terdapat beratus-ratus orang askar yang lengkap berperisai dan menunggang kuda perang yang gagah. Mereka menyekat seluruh pintu masuk itu. Lelaki-lelaki yang menunggang kuda perang berperisai itu tinggi dan gagah. Raut wajah mereka keras ibarat besi yang ditempa dan aura yang mereka bebaskan amat ganas. Tubuh mereka yang gagah dan sasa membuatkan para pelajar yang berkumpul di sebalik pintu pagar itu takut untuk mengambil walau satu langkah ke hadapan.

Dalam kalangan kumpulan askar yang menggerunkan ini terdapat satu susuk tubuh yang kelihatan berbeza.

Seorang gadis yang berpakaian putih sedang menunggang seekor kuda perang. Perwatakannya kelihatan lemah-lembut dan wajahnya jelita. Semua pelajar Akademi Zephyr yang berkumpul di situ semuanya terpegun.

Ramai anak-anak muda yang cantik di dalam Akademi Zephyr. Tetapi tidak ada seorang pun yang mampu menandingi gadis di hadapan mata mereka ini.

Gadis berpakaian putih ini kelihatan masih agak muda. Aura memukau di sekelilingnya membuatkan orang lain terpaku dengan kecantikannya, tetapi turut membuatkan mereka tidak sanggup mencemar kecantikan ini dengan pandangan mata mereka. Wajahnya dingin seperti ais dan matanya yang jernih itu bersinar-sinar dengan cahaya menggerunkan. Sewaktu melalui kawasan yang dipenuhi para pelajar itu, matanya langsung tidak memandang mereka walau sekilas.

Dingin,tidak mesra dan agak menggerunkan.

"Siapa orang-orang ini?" Seorang pemuda di sebalik pintu pagar itu berbisik perlahan.

"Itu Tentera Rui Lin! Pasukan serangan yang paling ganas!" balas seorang pemuda yang tajam penglihatan menuding pada panji-panji yang berkibaran ditiup angin.