webnovel

Persediaan untuk Memberi Tamparan (3)

Translator: EndlessFantasy Translation Éditeur: EndlessFantasy Translation

Wajah Jun Wu Xie kelihatan dingin sewaktu dia berjalan keluar sambil diperhatikan renungan-renungan penuh kebencian itu. Dia tidak menyangka akan bertembung dengan seseorang yang dikenalinya, sebaik dia melangkah keluar dari fakulti Pemulihan Roh.

"Jun Xie! Kebetulan sungguh! Saya tak fikir akan bertemu dengan kamu di sini." Ning Xin telah lama menunggu dengan sabar di hadapan pintu pagar fakulti Pemulih Roh itu. Sebaik terlihat Jun Xie, dia terus tersenyum dan mendekati budak muda itu. Senyuman itu sungguh manis seperti tiupan bayu musim bunga. Begitu lembut sehingga tidak ada siapa yang akan berasa terancam dengan persahabatan mesra yang ditunjukkan. Berbanding dengan renungan dingin yang tajam daripada orang lain, kelakuan Ning Xin ini sememangnya begitu menonjol dan kelihatan istimewa.

Langkah Jun Wu Xie terhenti. Dia memandang Ning Xin yang tersenyum lebar sehingga hampir ke telinga.

Wajah Ning Xin mungkin pegun dengan senyuman mesra itu, tetapi hatinya dingin dan penuh dengan cemuhan.

Sebaik Jun Xie melangkah masuk ke fakulti Pemulih Roh, Yin Yan terus bergegas memberitahu khabar ini pada Ning Xin. Kemudian Ning Xin cepat-cepat menuju ke fakulti tersebut dan menunggu di tepi pintu pagar.

Selepas lama berada di Akademi Zephyr, Jun Xie tidak muncul di fakulti Pemulih Roh kecuali pada hari pertama dia diterima masuk. Tetapi apabila mendengar khabar yang Jun Xie tiba-tiba telah pergi ke fakulti itu hari ini, dalam diam Ning Xin berasa amat gembira.

[Jenayah membunuh rakan pelajar tidak boleh dianggap remeh. Guru Besar telah didesak dari pelbagai arah untuk menghalau Jun Xie keluar dari Akademi Zephyr. Budak muda itu berpura-pura tenang selama ini tetapi pasti dia sebenarnya sudah mula panik.]

Setelah mengakibatkan kekecohan besar seperti itu, adik-beradik Fan juga tidak akan mampu untuk melindungi Jun Xie sepenuhya.

Apabila dia menyedari yang Jun Xie telah pergi ke fakulti Pemulih Roh pada awal-awal pagi, Ning Xin berasa amat puas hati.

Ning Xin langsung tidak terkesan setelah melihat ekspresi dingin di wajah Jun Xie. Dia terus berkata sambil tersenyum, "Jun Xie saya sudah banyak dengar tentang apa yang sedang diperkatakan di seluruh akademi… Hal ini... sudah menjadi agak besar. Saya ada terlihat Abang Fan Jin beberapa kali pergi ke pejabat Pak Cik Guru Besar untuk merayu bagi pihak kamu, tapi…"

Ning Xin menunjukkan riak wajah tidak berdaya lalu mengeluh.

"Saya tak fikir bertemu dengan Pak Cik Gu akan membantu kamu. Pak Cik Gu tidak ambil peduli dengan hal-hal sebegini. Lebih teruk lagi, Li Zi Mu itu anak murid kesayangan Pak Cik Gu. Kematiannya yang berlaku secara tiba-tiba itu telah membuatkan Pak Cik Gu amat berang. Dia telah menyuruh orang menyiasat hal ini sebaik-baiknya. Sebab itulah semua khabar angin itu mula muncul. Saya rasa Pak Cik Gu pasti masih marah tentang hal ini."

Walaupun Ning Xin cuma tahu yang Jun Xie telah pergi berjumpa dengan Gu Li Sheng, dia beranggapan hanya maklumat itu yang perlu diketahuinya.

Dia tahu yang Gu Li Sheng mempunyai perwatakan yang lembut, tetapi dia juga bersikap pelindung terhadap para pelajar fakulti Pemulihan Roh. Sebelum ini Yin Yan ada memberitahunya yang Gu Li Sheng amat mengambil berat tentang Li Zi Mu. Kini setelah kematian Li Zi Mu yang dikatakan berkaitan dengan Jun Xie, tak mungkin Gu Li Sheng masih lagi akan bersikap sopan terhadap Jun Xie. Itu sangat sukar dipercayai.

Ning Xin berasa yakin yang Gu Li Sheng tidak akan bersikap baik terhadap Jun Xie. Hatinya terus berasa lebih tenang.

Walau bagaimanapun, raut wajah Jun Wu Xie masih lagi dingin dan matanya tidak menunjukkan sebarang perasaan. Dia hanya memandang Ning Xin yang suka berlagak ini.

Kucing hitam kecil yang sedang berada di bahu Jun Wu Xie mula mendengus benci.

[Budak perempuan bernama Ning Xin ni memang bodohkah? Dia ni terlalu dungu sampaikan dia sampaikan dia tak sedar nasib buruk yang akan menimpanya tak lama lagi.]

[Masih lagi membebel tentang Gu Li Sheng dan Li Zi Mu yang kononnya pelajar kesayangan serta penyiasatan yang katanya diarahkan oleh Gu Li Sheng kerana dia berasa marah.]

[Mengarut betul!]

[Saya sudah bersama Cik selama ini dan telah menyaksikan segala-galanya.]

[Gu Li Sheng langsung tidak kelihatan sedih atau hiba. Sejak mula hingga akhir, sekali pun dia tak ada menyebut nama Li Zi Mu!]

[Semua kekecohan ini pasti kerja budak perempuan dungu ini!]

[Dia yang tak ada otak ni mahu menentang Cik?]

["Meownarik" betul lawak ini]

"Meow~"

[Cik, tak payahlah kita membazir air liur dengan si bodoh ni. Takut-takut nanti kebodohan tu berjangkit pula.]