webnovel

Selepas beberapa ketika, lelaki berpakaian biru itu melepaskan tangan Jun Wu Xie. Wajahnya yang tampan itu kelihatan pucat. Dia sedikit berpeluh di bahagian keningnya.

Kakitangan Akademi Zephyr yang berada di sekeliling lelaki itu menyedari keletihannya dan mahu memapahnya.

Lelaki berpakaian biru itu melambai lembut, mengisyaratkan mereka untuk berundur.

Pemulihan roh berkontrak anak muda ini menggunakan lebih banyak tenaga berbanding yang dia jangkakan. Sudah lama dia tidak menghabiskan banyak tenaga seperti ini. Dia merasakan seperti dia bukannya merawat roh berkontrak yang tercedera, tetapi lebih kepada menghidupkan kembali roh berkontrak yang sudah hampir mati.

Lelaki itu ketawa pahit di dalam hatinya. Dia jarang bermurah hati begini, tapi saat dia memilih untuk berbuat baik, dia pula mengalami kesusahan. Dia boleh saja berhenti separuh jalan ketika dia mula-mula berasa tidak selesa tadi. Tapi entah kenapa, apabila dia memandang wajah anak muda ini dan terlihat mata yang menunjukkan sedikit perasaan kagum, lelaki itu tidak dapat membuatkan dirinya berhenti. Dia berusaha meneruskan juga proses pemulihan itu.

Akibatnya dia kini kehabisan tenaga dan berasa teramat letih.

"Saya rasa letih. Kamu semua boleh teruskan." Lelaki berjubah biru itu menolak pertolongan kakitangan lain. Dia memandang Jun Wu Xie sekali lagi sebelum berpusing lalu beredar.

Jun Wu Xie dapat merasakan roh yang semakin kuat di dalam tubuhnya. Dia memandang dengan perasaan bersyukur, merenung lelaki berpakaian biru itu yang sedang berlalu pergi lalu berkata, "Terima kasih."

Lelaki berpakaian biru itu berhenti melangkah dan berpaling. Dia memandang wajah Jun Wu Xie yang tidak menunjukkan sebarang perasaan itu lalu berkata sambil tersenyum, "Tak perlu berterima kasih. Kamu kini anak murid Akademi Zephyr. Sebagai Tuan Guru di sini, tentulah saya perlu membantu dalam proses pengambilan pelajar. Nama kamu Jun Xie, bukan? Kalau kamu berminat, setelah selesai mendaftar, datang ke fakulti Pemulih Roh untuk cari saya. Nama saya Gu Li Sheng."

Selepas itu Gu Li Sheng terus berjalan pergi tanpa henti. Dia terhuyung-hayang sedikit.

Gu Li Sheng? Fakulti Pemulih Roh? Jun Wu Xie masih lagi memikirkan kata-kata Gu Li Sheng tadi apabila kerumunan di hadapan pintu masuk Akademi Zephyr itu menjadi kecoh!

Kalau tadi pemuda-pemuda di pintu masuk Akademi Zephyr itu cuma cemburu sedikit dengan Jun Wu Xie, setelah mereka mendengar kata-kata Gu Li Sheng, perasaan cemburu mereka itu semakin membara!

Gu Li Sheng! Itu pengasas fakulti Pemulih Roh!

Dikatakan semua Pemulih Roh yang ada di seluruh dunia kini, semuanya belajar di bawah Gu Li Sheng!

Sebelum Gu Li Sheng, Pemulih Roh tidak wujud!

Hanya disebabkan ada dialah Akademi Zephyr mempunyai fakulti Pemulih Roh yang unik dan amat eksklusif!

Apa yang budak Jun Xie yang tak guna itu dah buat sampai mendapat pertemuan bertuah ini? Budak empat belas tahun yang berada di tahap jingga itu tidak layak mendapat perhatian Gu Li Sheng yang amat dihormati dan disanjung tinggi itu! Bukan itu saja, Gu Li Sheng sendiri menjemput budak Jun Xie tak guna itu untuk menyertai fakulti Pemulih Roh!

Setelah mendengar semua ini, pemuda-pemuda lain berasa tersinggung. Mereka semua merenung Jun Xie, berharap dapat menelannya hidup-hidup.

Setiap seorang daripada mereka amat berharap dapat dimasukkan ke fakulti Pemulih Roh. Budak tak guna itu pula dengan mudah saja diterima masuk.

Budak tak guna itu turut mendapat perhatian Gu Li Sheng dan itu membuatkan Jun Xie menonjol dengan gemilang sebelum dia menjejakkan kaki masuk ke Akademi Zephyr sekalipun!

Para pemuda yang marah dan sakit hati itu kini mengalihkan pandangan penuh cemburu dan iri hati itu kepada dua orang lelaki yang telah membawa Gu Li Sheng ke situ. Mereka semuanya sedang memohon masuk untuk menjadi pelajar Akademi Zephyr. Kenapa mereka ni pergi menjemput Gu Li Sheng hanya untuk datang berjumpa pemohon biasa yang sama seperti mereka?

Dua orang lelaki tidak bersalah itu terpaksa menerima renungan marah dan tidak puas hati tersebut sedangkan apa yang mereka lakukan hanyalah menjemput seorang Tuan Guru untuk datang memeriksa sewaktu mendapati Jun Xie berbakat tinggi tetapi mempunyai roh berkontrak yang amat lemah. Siapa tahu Tuan Guru yang mereka jumpa ialah Gu Li Sheng dan dia memilih untuk muncul di hadapan semua orang di sini? Tak ada siapa yang dapat menjangkakan Gu Li Sheng mendapati budak kecil itu menyenangkan hatinya dan terus menerima budak itu ke fakultinya….