webnovel

Ditundukkan (4)

Translator: EndlessFantasy Translation Éditeur: EndlessFantasy Translation

Sebelum kata-kata terakhirnya itu sampai ke telinga tiga pemuda berkenaan, dia tiba-tiba hilang dari tempat dia berdiri.

Jun Wu Xie terkejut apabila satu kedinginan menerpa masuk ke dalam dadanya. Seketika kemudian, satu bayang-bayang hitam mengheretnya ke belakang.

Semuanya berlaku terlalu pantas. Hua Yao dan Qiao Chu yang tadinya berdiri di sisi Jun Wu Xie tidak tahu apa yang berlaku. Sedar-sedar saja mereka melihat lelaki yang hilang tadi tiba-tiba sudah berdiri di tempat Jun Wu Xie sambil menggenggam secebis kain yang terkoyak.

Di satu sudut yang lain pula, seorang lelaki tampan yang kelihatan dingin dan berpakaian hitam muncul entah dari mana dan merenung tajam ke arah pihak musuh. Jun Wu Xie berdiri dengan diam di belakang lelaki tersebut. Sebahagian daripada bajunya tercarik, berkibaran ditiup angin.

"Hmm, boleh tahan juga." Lelaki tersenyum itu menilai lelaki berpakaian hitam yang telah muncul secara tiba-tiba. Senyumannya semakin melebar dan matanya bersinar dengan niat membunuh.

Jun Wu Xie merenung lelaki berpakaian hitam tersebut sambil berfikir. Semuanya berlaku dalam sekelip mata. Dia langsung tidak merasakan sesiapa menghampirinya tetapi dua orang lelaki ini telah muncul secara tiba-tiba!

Dia memandang bahagian hadapan bajunya yang dikoyakkan oleh lelaki tersenyum itu. Kalau tak kerana lelaki berpakaian hitam itu tiba-tiba masuk campur, bukan saja baju Jun Wu Xie yang koyak. Jantungnya juga mungkin sudah dicabut keluar!

Jun Wu Xie mula berpeluh. Sejak kelahiran semulanya, buat pertama kalinya dia merasakan cengkaman kematian begitu dekat dengannya!

Lelaki yang asyik tersenyum itu berniat mahu membunuhnya sebaik memulakan serangan pertama!

"Saya mohon agar Cik tinggalkan tempat ini segera." Ye Sha membelakangkan Jun Wu Xie. Wajahnya yang tegas itu kelihatan serius dan matanya merenung lelaki berjubah putih yang sedang tersenyum itu dengan penuh waspada.

Kalau dia tak tarik Cik tadi, mungkin mereka sudah kehilangan dia sekarang.

"Siapa kamu?" Memandangkan Ye Sha membelakangkan Jun Wu Xie, dia tidak dapat melihat wajah Ye Sha. Dia dapat merasakan lelaki berpakaian hitam ini tidak berniat jahat terhadapnya, malah melindunginya daripada bahaya.

Ye Sha tidak berpaling tetapi menjawab dengan tenang, "Saya bertindak di bawah arahan Tuan Wu Yao untuk melindungi Cik daripada bahaya. Nama saya terlalu hina untuk Cik dengari. Dengan rendah dirinya saya mohon Cik pergi dari sini secepat mungkin. Kedua-dua lelaki ini bukan tandingan Cik."

Jun Wu Xie kaku seketika. Sudah lama dia tidak mendengar nama Jun Wu Yao. Mendengar nama ini secara tiba-tiba telah membuatkan hatinya perit.

Abang saya hantar orang untuk melindungi saya.

Ye Sha teragak-agak seketika sebelum berkata pada Hua Yao dan Qiao Chu, "Saya perlu susahkan kamu berdua untuk iringi Cik pergi dari sini. Biar saya uruskan mereka berdua."

Hua Yao dan Qiao Chu tidak menyedari ada yang tak kena apabila Jun Xie dipanggil "Cik". Namun kata-kata Ye Sha itu membuatkan hati mereka merasakan ada sesuatu yang buruk bakal berlaku.

"Baiklah." Mereka berdua terus bersetuju.

Ye Sha mengangguk dengan serius.

Lelaki berjubah putih itu memandang Ye Sha dengan perasaan tak puas hati.

"Tak mungkin kau fikir kau seorang saja boleh menghentikan kami berdua, bukan?" Lagipun, yang terkuat di Alam Bawahan hanyalah pengguna roh tahap ungu.

"Kau akan tahu juga nanti." Ye Sha ketawa dingin sebelum tiba-tiba menjerit, "PERGI!"

Hua Yao dan Qiao Chu serta-merta bertindak. Mereka mengangkat Jun Wu Xie dan berlari turun dari gunung itu. Tak kira siapa sekalipun dua orang lelaki itu, mereka bukanlah orang yang pemuda-pemuda ini boleh hadapi. Lelaki berpakaian hitam yang melindungi Jun Xie itu jelas lebih kuat daripada mereka berdua. Dalam pertempuran di antara pakar handalan, mereka berdua hanya akan menjadi gangguan sekiranya masih berada di situ.

"Melarikan diri? Tak semudah itu!" Lelaki berjubah putih itu mengecilkan matanya dengan pandangan berbahaya. Dia baru sahaja mahu mengejar mereka apabila Ye Sha menghalang laluannya!