webnovel

Binatang Roh Gred Penjaga (2)

Translator: EndlessFantasy Translation Éditeur: EndlessFantasy Translation

Sejak zaman dahulu lagi, tiada siapa di Alam Bawahan yang pernah mendengar tentang orang yang berjaya memburu Binatang Roh Gred Penjaga.

Malah pemilik roh tahap ungu, yang dianggap berada di puncak kekuatan, hanya mampu lari jika bertembung dengan binatang roh ini!

Perlu dinyatakan bahawa hakikatnya, sudah lama pemilik roh tahap ungu tidak muncul di kalangan orang-orang alam ini! Malah di dalam Tentera Rui Lin sekalipun, tiada siapa yang berada di tahap itu!

Selepas mendengar raungan yang mampu membinasakan itu, bukan sahaja Fan Jin kelihatan cemas, malah Qiao Chu dan yang lain juga lebih kurang sama. Mungkin mereka tidak tahu tentang Tentera Rui Lin, tetapi setelah mendengar cerita tentang tindakan-tindakan mereka yang bersifat berani dan tidak mementingkan diri, askar-askar itu layak mendapat penghormatan ahli-ahli kumpulan ini.

"Macam mana pula mereka boleh bertembung dengan Binatang Roh Gred Penjaga? Semua Binatang Roh Gred Penjaga di sini tak akan memulakan serangan melainkan mereka diganggu atau diserang dahulu. Selepas itu barulah binatang-binatang ini akan membalas!" kata Rong Ruo yang turut kelihatan pucat.

Selepas Rong Ruo menyebut kata-kata itu, semua ahli kumpulannya membuat kesimpulan yang sama.

Askar-askar Tentera Rui Lin semuanya berpengalaman bertempur dan sudah menepuh banyak cabaran dan dugaan. Tidak mungkin mereka bersikap gopoh atau jahil dalam situasi sebegini. Mereka tidak akan menimbulkan kemarahan Binatang Roh Gred Penjaga yang mereka pasti tidak boleh kalahkan. Satu-satunya kumpulan yang akan mengganggu Binatang Roh Gred Penjaga ini ialah orang-orang di dalam kumpulan Ning Xin yang beniat jahat terhadap askar-askar Tentera Rui Lin!

"Habislah! Kali ini memang tak akan selamat…." Qiao Chu menggaru-garu kepalanya dengan kuat. Hatinya remuk memikirkan wira-wira itu akan terbunuh disebabkan rancangan yang begitu jahat.

Tiba-tiba, sebaik Qiao Chu menghabiskan kata-katanya, satu kelibat hitam meluru melepasi mereka!

Jun Xie duduk di atas binatang hitam itu, bergerak laju seperti anak panah yang dilepaskan dari busurnya. Ye Sha pula turut bergegas pergi dari kumpulan itu untuk mengikut Jun Xie!

"Jun Xie! Kamu buat apa tu?" Qiao Chu dan rakan-rakannya tiba-tiba menyedari apa yang sedang berlaku sewaktu mereka terlihat Jun Xie meluru ke arah punca bunyi raungan tersebut. Hati mereka semuanya tersentak akibat terkejut!

Jun Xie ini sudah hilang akalkah? Berdasarkan tindakannya ini, adakah dia berniat mahu pergi menyelamatkan orang-orang dari Tentera Rui Lin?

Jenaka jenis apa pula ni?

Setelah berdampingan dengan Jun Xie selama ini, Qiao Chu dan rakan-rakannya sangat arif dengan personaliti Jun Xie. Dia seorang yang tenang dan tegas membuat keputusan serta tidak suka masuk campur urusan orang lain. Apa yang membuatkan dia mempertaruhkan segala-galanya demi orang-orang yang tidak pernah mereka temui?

Dia pasti tahu jika dia bergegas pergi membantu mereka, dia bukan sekadar berdepan dengan Binatang Roh biasa! Dia akan bertembung dengan Binatang Roh Gred Penjaga!

Binatang Roh secara semula jadinya tidak terkesan dengan racun. Jun Xie amat mahir dalam penggunaan racun, tetapi ini tidak akan berkesan terhadap Binatang Roh Gred Penjaga. Keputusannya ini pasti akan membunuhnya!

"Tak guna! Jun XIe ni dah gila ke?" kata Qiao Chu sambil mengetap giginya. Dia tidak ada masa untuk berfikir lebih lanjut, lalu dia terus menyeru Rolly.

Beruang Yin Yang yang besar itu muncul secara tiba-tiba. Beruang tersebut merendahkan badannya, keempat-empat kakinya menjejak tanah.

Susuk tubuh Qiao Chu yang tinggi itu cepat-cepat melompat ke belakang Rolly. Hua Yao, Fei Yan dan Rong Ruo mengikut jejak langkahnya dan turut naik ke belakang Rolly.

"Rolly! Ikut mereka! Cepat!" Mereka tidak akan membiarkan Jun Xie berdepan dengan maut sendirian!

Setelah menerima arahan Qiao Chu, Rolly terus memecut. Tanpa disangka. badannya yang besar itu mampu bergerak pantas. Langkah kaki Rolly yang panjang terus memendekkan jarak mereka dengan Jun Xie. Kelajuannya seperti puting beliung!

Fan Jin terpegun kaku di tempatnya. Matanya terbeliak dan dia tidak mampu berkata apa-apa sewaktu memerhatikan Qiao Chu dan rakan-rakannya memecut mengejar Jun Xie. Fikiran Fan Jin benar-benar kosong.

Macam mana pula askar-askar Tentera Rui Lin itu tiba-tiba boleh bertembung dengan Binatang Roh Gred Penjaga? Semua orang tahu bagaimana hal itu boleh terjadi, tetapi tidak seorang pun berkata apa-apa tentangnya.

Fan Jin juga bukanlah seorang yang dungu. Dia memikirkan hal ini seketika dan dia juga dapat meneka apa sebenarnya yang telah berlaku.

Tetapi tidak mudah untuk dia menerima hakikat ini.

Selepas berperang dengan emosinya beberapa ketika lagi, Fan Jin akhirnya mengetap giginya dengan penuh tekad. Dia berlari menuju ke arah yang sama seperti Qiao dan rakan-rakannya!