webnovel

Akhirnya Kamu Merindui Saya? (2)

Éditeur: EndlessFantasy Translation

Jun Wu Xie terkebil-kebil beberapa kali namun langsung tidak berkata apa-apa. Dia cuma terus merapatkan dirinya di dalam pelukan Jun Wu Yao, mencari-cari keselesaan pada haruman yang dikenalinya ini. Kelakuan Jun Wu Xie ibarat haiwan kecil yang telah disakiti.

Senyuman Jun Wu Yao kaku seketika. Tindakan tiba-tiba Jun Wu Xie yang merapatkan diri padanya ini membuatkan dia tidak pasti apa yang perlu dilakukan. Tangan kecil itu mencengkam baju Jun Wu Yao dengan kuat. Tubuh badan Jun Wu Xie yang lembut itu disandarkan pada dada Jun Wu Yao yang bidang. Kedua-duanya bersatu dalam pelukan tersebut.

Mereka begitu rapat sehinggakan Jun Wu Yao dapat mendengar bunyi nafas dari dada Jun Wu Xie yang sedang turun naik.

Setelah lama terpaku, Jun Wu Yao menarik Jun Wu Xie lebih rapat padanya. Senyuman di wajahnya semakin lebar dan dia meletakkan dagunya pada rambut Jun Wu Xie. Jun Wu Yao berbisik lembut, seolah-olah sedang memujuk anak kecil.

"Kamu dibuli? Jangan risau, Abang ada di sini sekarang. Kalau Abang ada di sini, tak ada siapa yang mampu membuli kamu."

Sebelah tangannya memegang pinggang Jun Wu Xie dan merapatkan gadis itu dalam pelukannya manakala sebelah lagi sedang mengusap-usap rambut Jun Wu Xie. Suara yang dalam dan lembut itu menenangkan serta memujuk gadis itu. Sesiapa sahaja boleh mabuk cinta mendengarkan suara tersebut.

Kepala Jun Wu Xie yang disandarkan pada Jun Wu Yao itu menggeleng untuk menafikan, tetapi dia masih tidak berkata apa-apa.

Dia bukannya telah menghadapi ketidakadilan dan tak ada sesiapa yang telah membulinya. Jun Wu Xie cuma rindukan rumahnya...

Dia rindukan rumahnya, tetapi dia tidak boleh kembali.

Jun Wu Yao tidak tahu apa lagi yang boleh dilakukan selain memeluk Jun Wu Xie dengan lebih erat. Dia tidak tahu kenapa buah hatinya ini begitu memerlukannya kali ini, tetapi dia sangat menikmati perasaan ini.

Dia tidak kisah kalau Jun Wu Xie lebih bergantung harap padanya.

Agak lama juga mereka berdua kekal berpelukan di bawah sinaran cahaya matahari yang masuk melalui celah-celah dedaunan itu. Seolah-olah hanya mereka sahaja yang berada di situ.

Orang lain di kawasan tersebut menahan nafas tanpa sedar, bimbang akan mencemarkan serta mengganggu keadaan yang tenang dan harmoni ini.

Mata Qiao Chu terbeliak besar merenung Jun Wu Yao yang sedang memeluk erat Jun Wu Xie. Dia keihatan tidak percaya.

Qiao Chu menudingkan jarinya yang sedang menggigil-gigil ke arah dua susuk tubuh tersebut. Wajahnya yang amat terperanjat itu berpaling memandang Hua Yao yang kelihatan terkejut serta ingin tahu.

[Tak guna! Siapa tu!? Berani dia peluk Jun Xie macam tu! Dia ni dah puas hidup ke?]

[Kenapa Jun Xie biarkan dirinya dipeluk macam tu? Saya pun nak peluk dia juga! Tapi saya tak berani cuba! ARRRRGH!]

Hua Yao tidak menjawab kerana dia masih belum pulih daripada perasaan terkejut ini. Apa yang berlaku di hadapan mata mereka ini sukar diterima.

Hanya ekspresi wajah Rong Ruo yang kelihatan sedikit aneh.

Jun Wu Xie terus berada dalam pelukan Jun Wu Yao, menikmati kehadiran yang menenangkan perasaan tidak sedap hati serta keraguan yang tersembunyi di sebalik penampilannya yang dingin dan tidak mesra itu.

Mungkin dia mampu menamatkan perjalanannya sendirian, tetapi dia amat menghargai kasih sayang kekeluargaan yang dia dapati setelah bergelut dalam kepayahan.

Jun Wu Yao membuka tangannya sedikit, menarik dirinya daripada susuk tubuh kecil yang masih mendakap dadanya. Dia menjarakkan diri daripada Jun Wu Xie. Wajah Jun Wu Xie yang kekurangan oksigen akibat pelukan itu, kelihatan sedikit kemerahan. Ini membuatkan Jun Wu Xie kelihatan malu-malu. Melihatkan keadaan ini, hati Jun Wu Yao ibarat telah dicakar, menjadi pedih dengan perasaan rindu.

"Jujurlah. Kamu rindukan Abang?" kata Jun Wu Yao dengan suara yang sengaja direndahkan. Tangannya diletakkan pada pinggang Jun Wu Xie, tidak membenarkan gadis itu berjauhan darinya.

Hidung Jun Wu Xie sedikit kemerah-merahan. Dia mengangkat satu jari ke hidungnya lalu mengangguk kecil.

Dia rindukan rumah.

Jun Wu Yao merasakan seperti telah disuap madu dan hatinya berasa hangat. Dia terus menarik Jun Wu Xie kembali dalam dakapannya.

Namun begitu...

Ye Sha yang bersembunyi di sebalik bayang selama ini, memerhatikan segala-galanya dalam diam. Wajahnya serius dan tegas. Tak ada sesiapa yang tahu apa yang difikirkannya. Tetapi tiba-tiba tanpa sengaja, dia berkata pada dirinya sendiri, "Bilalah Tuan akan belajar? Tak nampakkah yang reaksi Cik Muda ini ialah disebabkan dia rindukan rumahnya? Langsung bukan seperti yang Tuan fikirkan! Tuan! Sedarlah!"

Sebaik selesai berkata-kata, Ye Sha menjadi kaku. Dia cepat-cepat menekup mulutnya dengan tangan. Matanya kelihatan bingung.