webnovel

Kebenaran yang Jelik

"Dah mati..?"

Mizuki menyahut, dengan soalan.

"Apa... maksud awak?"

"Saya baru sahaja bercakap dengan dia tadi!"

Dia meninggikan suara, separa tak percaya, separa tak berpuas hati.

"Bertenang, aku akan terangkan"

"Benda yang mengawal badan gadis tu bukanlah Kirei chan. Tapi Saka yang menggunakan dia"

"Tak mungkin! Suara dan cara dia bercakap memang sebijik macam Kirei! Lagipun bukankah awak yang cakap hantu takkan bertukar menjadi manusia?!"

Gadis itu membantah, sukar menerima berita Daisuke itu.

"Maksud aku manusia takkan menjadi hantu selepas mereka mati. Tapi hantu masih boleh menyerupai manusia, walaupun dalam keadaan tu mereka masih tetap hantu."

Setelah memastikan Mizuki lebih tenang dia menyambung.

"Badan tu masih badan Kirei, cuma dalamnya sahaja yang rumit sikit"

"Maksudnya saka tu yang tolong dia terus hidup sekarang?"

"Tolong... huh"

Daisuke ketawa sinis.

"Dalam keadaan tu pertolongan apa sangat yang dia dapat"

"Maksud awak?"

"Kau ingat tak Kirei yang kau nampak semalam? Sekarang ni pun badan dia masih sedang mereput. Kirei yang semua orang nampak tu hanyalah ilusi, di belakangnya tu mayat hidup sahaja yang tinggal"

Mizuki terdiam, teringat wajah menggerunkan yang disaksikannya semalam.

"Kita..."

Mizuki teragak-agak,

"Kita mesti hentikan saka tu..."

"Macam tulah!"

Daisuke memberi galakan. Namun, melihat Mizuki masih terkesan dengan kes ini dia cuba menceriakan suasana.

"Jangan risau, kau dah buat yang terbaik kutip maklumat. Untuk fasa seterusnya ni giliran aku pula kerja lebih"

Air muka gadis itu kembali cerah, semangatnya pulih sedikit.

"Tu pun, lawak jugak kau sembang tadi, terhibur aku dengar. Aku cuma bagi kau panduan sikit je tapi tak sangka kau ambil bulat-bulat"

Dia mula ketawa.

"Di-diamlah! Lupakan semua tu sekarang!! Lupakaaaaaaaann!!!"

Merah padam muka gadis itu sambil tangannya kencang menyerang Daisuke.

Dan loceng sekolah pun bergema.

Petang itu, mereka berdua mengambil tren yang sama dinaiki Kirei. Daisuke berdiri betul-betul di hadapan sasaran mereka sementara Mizuki hanya sempat masuk ke gerabak di sebelahnya, memerhati dari jauh tapi cukup untuk mendengar hujung perbualan mereka di balik orang ramai di antara dia dan pasangan tersebut.

'Apahal dengan lakonan tadi tu? Berpura-pura macam terlewat lepas tu jatuhkan barang di hadapan perempuan tu. Dah macam drama sinetron pulak'

Mizuki berfikir sendiri.

"Umm, terima kasih tolong saya tadi"

Tergugup-gugup Daisuke berkata, seperti dia sedang berusaha memulakan perbualan. Namun rupa pemuda itu kini sedikit berbeza dari biasa, lebih tinggi, lebih bulat matanya. Memakai topeng "si gergasi pemalu" untuk memikat Kirei.

"Ah takpe! Takde masalah!"

Kirei pun membalas, agak malu-malu juga. Dari gaya Daisuke mula-mula masuk lagi dia sedar apa yang dicuba jejaka tersebut. Namun, muka yang dipakai pemuda itu beserta dengan personaliti barunya membuatkan Kirei pun tersipu malu.

'ada ke budak lelaki setampan ni sebelum ini? Aku tak pernah perasan pun'

Minatnya mula terusik. Hatinya berbisik.

'tak tak tak! Cik Kirei! Hati engkau milik Hizashi kun, tak bolehlah macam ni! Engkau tak kenal pun sapa mamat ni'

Melihat peluang tersebut, Daisuke mengorak langkah

"Baju seragam tu, awak pun pelajar Sekolah Tinggi Hokubu ke?"

"Eh? Uh ye..." Berhati-hati Kirei menjawab. Kemudian dia terdetik

'..pun..?'

"Ah maaf, adik perempuan saya pun belajar di situ. Saya pergi ambil dia tadi tapi rupanya dia balik dengan kawan hahaha"

Jelas Daisuke.

'Uwaahh, semula jadi je dia menipu'

Mizuki mendengar cerita rekaan pemuda itu dari jauh.

Setelah itu, pasangan itu mula rancak berbual bersama.

Dia perasan Kirei mengerling ke hentian seterusnya dan turut bersedia untuk turun.

"Kami tinggal di pekan sebelah ni je tapi dia pilih untuk pergi ke Sekolah Tinggi Hokubu"

"Oh begitu..."

Balas Kirei pendek.

'dia dari pekan yang sama dengan aku... adakah dia naik tren yang sama dengan aku sebelum ni?'

Dari sudut pandangan Mizuki, mereka berdua kelihatan mesra berbual sampai tak perasan pun kerut dahi yang mengatapi matanya.

Sehinggalah dia perasan sesuatu merangkak keluar dari tangannya bagaikan kaki serangga. Namun dia kenal perasaan ini, di dalam genggamannya muncul nota terbuat dari ZB, nota dari Daisuke.

"Aku akan bagi lokasi mana yang kau perlu pergi. Lepas turun nanti tunggu aku di situ"

Satu arahan.

Turun sahaja dari tren itu, pandangan mata Kirei bertemu sekilas dengan seorang lelaki pertengahan umur. Pakcik itu kelihatan sangat takut melihat dia, seolah-olah ternampak hantu, sedangkan remaja perempuan itu tidak memberikan sebarang perhatian pun kepadanya. Walaupun begitu, pertembungan itu disaksikan Daisuke. Dia memerhati dari jauh sambil memegang skrol yang terbuka. Satu keluhan keluar dari mulutnya sambil dia menggulung semula skrol tersebut.

Di hadapan stesyen, Daisuke melambai kearah Kirei, mengajaknya pulang mengikut jalan yang sama. Ketegangan di wajahnya tadi kini berganti ekspresi mesra seperti yang digunakannya di dalam tren tadi. Ibaratnya kejadian tadi tidak pernah berlaku pun baginya.

Sementara itu Mizuki mengikut sahaja arahan nota Daisuke tadi dan bergerak ke lokasi yang disuruhnya. Sekali sekala dia meraba koceknya, memeriksa jam di telefon dan memandang ke atas, hari semakin gelap.

Setelah lama sikit berjalan langkahnya mula perlahan, mungkin kerana makin hampir. Mulutnya terkumat-kamit

"Ish, geram pulak aku tengok Daisuke dok menggatal dengan perempuan tu. Dia memang sengaja buat ke? Ambil kesempatan untuk kes ni? Boleh percaya ke kes ni?"

Berkerut dahinya berkelahi seorang diri.

"Kenapalah aku yang rasa nak marah sangat ni? Ugghh ni punca semua dari mamat tu!!!"

Agak kuat suaranya sehingga menarik perhatian beberapa orang awam yang lalu lalang di jalan yang sama. Ada yang terhibur melihat kerenah anak dara itu merungut sendiri.

"Kenapa aku pun ikut je arahan dia ni? Adakah aku-.."

Ayatnya terhenti, tentunya dia mempunyai sebab mengejar kes ini namun itu semua tercampak ke luar kotak memorinya buat masa sekarang. Tak ingat apa yang mendorong tindakannya, dia bertambah sakit hati.

"Arghh! Ini semua salah MAMAT TU!!!"

sedang dia meluahkan perasaannya kepada angin malam, tiba-tiba dia merasakan sengatan lemah di tangan kanannya. Ianya datang dari nota tadi. Dia dah menghampiri lokasi yang dimaksudkan Daisuke. Tempat itu hanya di balik simpang yang seterusnya.

"Ini... Kyokan...?"

Dia kembali fokus. Hilang amarahnya yang tak menentu tadi dan dia mula menumpu kepada tugasannya. Angin yang tak baik bertiup dari arah yang ditujunya. Namun apa yang bakal dilihatnya bukanlah sesuatu yang dia mampu sediakan dirinya. Matanya terbuka luas, kaget, tubuhnya kaku tanpa gerakan.

Walaupun dia bukan dalam bentuk ZB, dia melihat Kirei sepertimana keadaan dilihatnya semalam. Namun kali ini makin teruk lagi penampilannya. Isi badan dan kulitnya luruh dari setiap gerak geri, tulangnya terdedah, seolah-seolah sedang mereput. Tubuh Kirei yang pucat tak bermaya bagaikan mayat hidup itu tergantung pada rangka manusianya. Sementara itu juga, bayangan rupa seorang wanita yang menyeramkan sedang diregang dan ditarik keluar, tersembul keluar dari belakang tubuh Kirei.

Makhluk yang menggerunkan itu diikat dengan benang-benang ZB dari sekeliling, semuanya itu dijejaki kembali ke Daisuke. Sedikit demi sedikit dia berusaha menarik keluar saka itu dari tubuh Kirei.

Namun apa yang lebih mencuri perhatian Mizuki adalah keadaan Kirei yang sangat menyayat hati. Sedang matanya bersinar dengan hasrat cinta, badan anak gadis itu kian mereput, mukanya juga sudah mirip wanita yang sangat tua. Kulitnya rapuh, pipinya cengkung, belakangnya sudah bongkok namun pada masa yang sama masih menadah tangan memandang ke atas. Memandang Daisuke.

"Kirei san..."

Bergenang air mata di kelopak mata Mizuki. Pemandangan yang meruntun perasaan, penderitaan yang sanggup ditempuhi anak gadis itu demi hidup palsu ini. Tidak terbayang apa yang boleh mendorong seseorang untuk rela hati menempuh dugaan sebegitu.

"Mizuki-kun! Tarik keluar benang tu! Sementara aku alih perhatian dia!"

Suara Daisuke bergema di dalam kepalanya.

Dengan linangan air mata Mizuki memecut ke arah mereka, tidak menghiraukan makhluk seram yang sedang dibendung Daisuke tergantung di atasnya dan menghala terus ke benang-benang ZB yang masih terpancar keluar dari belakang Kirei. Dengan Daisuke sedang terlalu sibuk dan berhati-hati melonggarkan ikatan antara Kirei dan saka itu, Mizuki sahajalah yang boleh membantu pisahkan mereka berdua sekarang.

Saka itu sedar akan kehadiran Mizuki dan mula bertindak menyerangnya, puluhan tangan-tangan kecil berhantu menjunam ke laluan Mizuki sambil dielak gadis tersebut. Namun satu tangan masih berjaya hinggap pada badannya, atau l begitulah rupanya namun serangan itu menembusi Mizuki tanpa menghentikan jasad manusianya itu. Mizuki sendiri pun terkejut, namun dia terus tumpu kepada misinya, menerkam ke arah beberapa talian halus yang melekat pada Kirei.

POOOOOOOOONNNNNN!!!

Tiba-tiba sebuah lori yang menerpa dari hadapannya mengejutkan Mizuki dengan bunyi hon yang kuat. Kenderaan yang lebar itu mengejar Mizuki di jalan yang sempit itu.

Cepat-cepat Mizuki melompat ke belakang dan bersembunyi di simpang yang terdekat, menunggu lori itu melepasinya. Mungkinkah dia terlalu asyik memikirkan untuk menyelamatkan Kirei dan terlepas pandang kehadiran lori tersebut. Namun dia dapati kenderaan yang mengejarnya tadi sudah tiada sejurus dia berhenti di persimpangan itu. Tak mungkin dia tak perasan langsung jika kenderaan tersebut melepasinya, melepasi ruang penglihatannya.

Dia kembali ke jalan tadi dan anehnya, kali ini sekawan anjing mengawasi jalan itu. Mereka terus menggeram apabila melihat Mizuki. Bunyi itu menggentarkan dia buat seketika, namun perlahan-perlahan dia memberanikan diri dan berganjak sedikit demi sedikit ke hadapan. Dia mula terhinjut sedikit apabila mereka mula menyalak kuat, namun dia mengekalkan langkahnya. Apabila anjing-anjing tersebut mula menerpa ke arahnya, dia bertungkus-lumus melawan nalurinya untuk melarikan diri, sebaliknya dia bersemuka dengan mereka, hanya memejamkan mata ketika diserbu binatang-binatang buas itu.