webnovel

Tetamu Tak Diundang

Editor: EndlessFantasy Translation

Apabila turun ke tingkat bawah, Yu Lili melihat pemandu Tuan Li sudah pun menunggunya. Selepas dihantar pulang, Yu Lili mengeluarkan kunci lalu membuka pintu rumahnya. Sewa di situ agak murah kerana ia perumahan yang sudah lama. Yu Lili telah tinggal di situ selama dua tahun kerana kemudahan dan keselamatan tempat itu terjaga dengan baik. Pintu rumah itu adalah pintu yang tebal dengan sekuriti keselamatan. Sebaik membuka pintu, kelihatan sebuah ruang tamu yang kecil. Rumah ini hanya mempunyai satu bilik dan hanya sebuah sofa kecil. Malah TV juga tidak ada. Tidak jauh dari sofa itu, kelihatan sebuah meja komputer kecil bersama sebuah laptop di atasnya dan sebuah meja makan yang kecil. Perabot-perabut itu membuatkan ruang sempit dan hanya satu laluan kecil kelihatan. Dapur bersambung dengan tandas dan keluasannya hanya kurang daripada 30 kaki persegi. Walaupun kecil, rumah itu dihias dengan cantik dan sangat bersih.

Yu Lili menggeliat lalu mengeluarkan ubat dari beg tangannya dan meletakkannya di atas meja. Kemudian dia bangun dan berjalan ke arah biliknya. Sebaik sahaja membuka pintu bilik itu, Yu Lili terkaku seketika. Di dalam bilik itu terdapat sebuah katil untuk seorang dan sebuah almari. Pada satu bahagian dinding kelihatan beberapa gambar ditampal. Namun semua ini sudah biasa dilihatnya dan bukan perkara yang membuatkannya terkaku. Perkara yang mengejutkan Yu Lili ialah tetamu tak diundang yang berada di hadapan matanya sekarang.

Di atas katilnya yang sepatutnya telah dikemaskan, seorang lelaki sedang berbaring. Lelaki tinggi itu kelihatan seperti telah tertidur, tetapi membuka mata sebaik menyedari kehadiran Yu Lili. Matanya kelihatan sedikit sembab. Dia memandang Yu Lili dengan emosi yang bercelaru.

Riak wajah Yu Lili berubah ketika dia menoleh tanpa sedar ke arah gambar-gambar yang ditampal di dinding itu. Dinding bilik itu… dipenuhi dengan gambar-gambarnya bersama Ou Ming. Malah kelihatan juga beberapa gambar Ou Ming berseorangan. Semua gambar itu diletakkan di dalam bingkai gambar dan memenuhi dinding yang bertentangan dengan katil itu.

Jantung Yu Lili berdegup kencang. Dia berasa seakan kanak-kanak yang lari dari rumah dan berjaya ditangkap kembali oleh orang dewasa. Malu, bersalah, tetapi pada masa yang sama gembira.

Lelaki itu meletakkan selimut ke tepi dan bangun dari katil sambil merenung Yu Lili. Suasana agak janggal buat seketika.

Yu Lili masih berdiri di pintu dengan mata yang tertumpu kepada Ou Ming. Setelah beberapa minit berlalu, akhirnya dia membuka mulut dan bertanya, "Kenapa kamu ada di sini?"

Ou Ming tidak menjawab sebaliknya mengeluarkan rokok lalu menyalakannya dan memandang Yu Lili dengan senyuman kecil.

Walau bagaimanapun, senyuman itu kelihatan berbaur ejekan, memandang rendah dan juga seakan satu emosi yang tidak mampu digambarkan. Hati Yu Lili berasa luluh melihat senyuman sinis itu.

Apa yang kamu ketawakan? Apa yang kelakar sangat?

Yu Lili mahu bertanya, tetapi kemudian melihat Ou Ming mengeluarkan satu buku nota dari bawah selimut.

Sebaik sahaja melihat kulit buku itu, Yu Lili terkejut dan tanpa sedar memandang gambar-gambar di dinding itu. Buku nota itu sepatutnya berada di atas meja. Tetapi apabila Yu Lili melihat ke arah meja, buku yang selalu digunakannya untuk melukis itu… telah tiada!

Wajahnya terus berubah pucat apabila Ou Ming menunjukkan buku itu kepadanya.

Melihat reaksi Yu Lili, Ou Ming ketawa sinis lalu berdiri dan menghembus asap rokoknya. Kemudian dia melemparkan buku itu ke arah dinding yang dipenuhi gambar.