webnovel

Shhh… Jangan Bergerak

Editor: EndlessFantasy Translation

Jam menunjukkan pukul enam petang sewaktu Su Qianci dibawa ke destinasinya. Sebaik sahaja dia keluar dari kereta, orang ramai mula memandangnya. Ini kali pertama Su Qianci menarik perhatian di tengah jalan. Walaupun moodnya sedang baik, Su Qianci berasa agak malu. Walau bagaimanapun, tidak kira betapa gementar dirinya, dia perlu tenang dan yakin. Su Qianci melemparkan senyuman dengan penuh bergaya tetapi juga mesra.

Sunny yang cemburu melihatnya terus membawa Su Qianci ke restoran di bawah laut. Ini kali pertama Su Qianci datang ke restoran seperti ini. Mereka berjalan menuruni tangga dan memasuki satu terowong bawah laut. Su Qianci terpesona dengan lautan biru yang berada di sekelilingnya. Pada dinding kaca tebal terowong yang dilalui mereka, dia dapat melihat ikan-ikan berenang dan membuat buih, sambil beberapa turut mendekati dinding kaca itu. Alunan piano yang romantik kedengaran dari arah restoran. Ia antara lagu ciptaan Song Yifan yang paling terkenal.

Sebaik masuk ke ruang restoran itu, Su Qianci melihat satu ruang yang luas dengan hanya satu meja di tengah-tengahnya. Gelora air laut menumpahkan cahaya beralun pada kulit Su Qianci dan membuatkan dia bertambah mempesona. Di atas meja itu, sebatang lilin berwarna pink telah dinyalakan. Tiada cahaya lain selain cahaya lilin itu dan cahaya matahari yang menembusi celah-celah lautan. Alunan piano itu kedengaran sungguh merdu seolah-olah dimainkan secara langsung oleh Song Yifan.

Sunny menolaknya perlahan dan berkata, "Puan Li, duduk di sini dulu. Nanti Encik Li datang."

Su Qianci mengangguk, dan kemudian menyedari Sunny telah pergi. Dia memandang sekelilingnya dan mendapati cahaya matahari sudah semakin hilang. Dia bangun dengan perasaan kurang senang, tetapi seseorang tiba-tiba menariknya dari belakang. Su Qianci yang terkejut terus bergelut untuk melepaskan diri.

Walau bagaimanapun, orang itu memeluknya dari belakang dengan erat ketika satu suara yang dalam kedengaran, "Shhhh… Jangan bergerak."

Su Qianci terus menjadi tenang kembali dan melepaskan nafas lega. "Kamu takutkan saya."

Li Sicheng ketawa kecil di belakangnya. Kemudian, lelaki itu mengambil tangan Su Qianci dan memakaikan sesuatu yang terasa sejuk pada pergelangan tangannya.

Su Qianci mahu tunduk untuk melihatnya, tetapi Li Sicheng menahan dagunya untuk menghalang. "Jangan bergerak."

Kemudian cuping telinganya. Li Sicheng agak tidak mahir, tetapi pergerakannya lemah lembut. Adakah lelaki itu sedang memakaikannya anting-anting? Su Qianci seakan tidak percaya. Kemudian, lehernya pula terasa disentuh sesuatu yang sejuk dan berat. Alunan piano terus dimainkan. Walau bagaimanapun, sebelum ia sempat tiba di bahagian utama lagu itu, ia tiba-tiba bertukar menjadi lagu "Selamat Hari Jadi".

Lampu mula dibuka satu persatu, dan muzik yang dialunkan bertambah ceria. Kemudian, bunyi trompet, violin, dan harmonika turut mengiringi alunan piano itu. Apabila tempat itu sudah semakin cerah, Su Qianci melihat di kejauhan dan di sudut restoran itu, dia dapat melihat seorang lelaki pertengahan usia sedang duduk di sebalik piano.

Li Sicheng melepaskan Su Qianci dan berjalan ke hadapannya. Sebaik melihat Su Qianci dari hadapan, dia kelihatan terpegun, tetapi segera mengawal reaksinya dan berbisik, "Selamat Hari Jadi, Sayang."