webnovel

Sejak Bila Jadi Pasangan?

Editor: EndlessFantasy Translation

Apabila melihat pasukan lawannya sudah menang kali kelima, Luo Zhan membentak marah dan hampir melempar telefon bimbitnya. "Jahanam betul cuti musim sejuk ni! Semua ahli kumpulan aku budak-budak sekolah. Kau semua dah jatuhkan status aku!"

Dia melempar telefon bimbit yang digunakannya untuk bermain dan mengambil telefonnya yang sedang berdering dan menjerit, "Helo!"

Li Sicheng mengecilkan matanya dan bertanya dalam nada yang menggerunkan, "Kau di mana?"

Luo Zhan terus terdiam sebelum menjawab, "Rumah."

"Aku ada di restoran bubur berhampiran rumah kau. Mari sini." Ia lebih kepada arahan berbanding ajakan. Sangat menggambarkan Li Sicheng.

"Makan lewat malam?"

"Ya."

"Okey aku datang sekarang." Luo Zhan meletakkan telefonnya lalu segera memakai jaket dan keluar.

Sebaik memutuskan talian, Li Sicheng melihat Su Qianci juga sedang menelefon seseorang. "Helo, Yihan?"

Lu Yihan? Li Sicheng berasa sedikit kecewa. Dia mencebikkan bibirnya dan merenung isterinya itu,

Su Qianci terkebil-kebil dan menyambung, "Kamu di mana?"

Lu Yihan sedang berjoging ketika Su Qianci menelefonnya. Dia menjawab dengan tercungap-cungap, "Saya sedang joging. Semua okey?" 

"Saya di restoran bubur berhampiran rumah kamu. Datanglah sini kalau boleh. Saya nak beritahu sesuatu."

"Okey." Lu Yihan melihat sekelilingnya. "Bagi saya 10 minit."

"Baik. Jumpa kamu di Bilik 88."

"Okey, jumpa nanti."

Lu Yihan memutuskan talian dan kembali berlari dengan lebih laju. Tiba di restoran bubur yang dikatakan Su Qianci, dia berhenti dan mengambil nafas sebelum berjalan masuk. Di hadapan pintu itu, dia tiba-tiba dilanggar dari belakang dan hampir terjatuh. Lu Yihan berpaling dan melihat seorang lelaki yang memakai baju sejuk dengan kepalanya ditutup dengan hud. Rambut lelaki itu kelihatan kusut di sebalik hud yang dipakainya. Lelaki itu meminta maaf kepadanya, "Maaf, maaf."

Lu Yihan memandangnya sekilas dan merasakan seperti pernah melihat lelaki itu. Riak wajahnya menjadi pelik. "Kau?"

Luo Zhan juga menyedari di hadapannya ialah Lu Yihan. Lu Yihan memakai baju sukan Navy dan kasut edisi terbaru Navy Jordan. Lelaki itu kelihatan… agak tampan!

"Kebetulan pula!" Luo Zhan segera melambaikan tangannya. "Kenapa kamu datang ke sini lewat malam begini?"

Kebetulan?

Jika orang lain yang mengatakannya, Lu Yihan pasti sudah mengiyakan sahaja. Tetapi lelaki ini… Lu Yihan mempunyai firasat buruk tentangnya sejak pertama kali bertemu. Lu Yihan berpaling ke hadapan dan memutuskan untuk tidak mengendahkannya. Dia bertanya kepada pelayan di situ, "Di mana Bilik 88?"

"Ikut sini ya." Pelayan itu membawa Lu Yihan ke dalam. Walau bagaimanapun, Luo Zhan turut mengikuti mereka.

Lu Yihan berasa terganggu lalu berhenti berjalan dan bertanya dengan agak berang, "Kenapa kau ikut aku?"

"Aku pun nak ke Bilik 88 juga. Kenapa tak cakap kau sebenarnya yang ikut aku? Merepek!" Luo Zhan ketawa sinis dan melintasi Lu Yihan lalu membuka pintu bilik itu. "Saudaraku, ada apa kau panggil aku lewat malam begini?"

Li Sicheng sedang mengupas kulit udang untuk Su Qianci dengan perlahan dan elegan. Sebaik melihat Luo Zhan dan Lu Yihan tiba bersama-sama, dia ketawa kecil dan mengusik, "Sejak bila kamu berdua jadi pasangan?"

Su Qianci hampir memuntahkan kembali udang yang sedang dimakannya. Riak wajahnya kelihatan terkejut ketika dia menutup mulutnya dengan sapu tangan.