webnovel

Saya Ibu Kamu

Editor: EndlessFantasy Translation

Sebaik keluar dari kereta, Qin Shuhua dan Li Xiao melihat ayah mereka sedang menunggu. Mereka bergegas ke arahnya dan Li Xiao berkata, "Ayah, di luar ini sangat panas. Kenapa tak tunggu di dalam?"

Lelaki tua itu berpura-pura tidak mendengar kata-kata anaknya. Sebaik melihat cicit-cicitnya datang, dia amat gembira sehingga wajahnya tersenyum lebar dan menghampiri mereka.

"Tok Ayah!" jerit Li Jianqian.

"Tok Ayah," sapa Li Mosen dengan sopan.

"Dukung!" Li Jianyue mendepakan tangannya ke arah Kapten Li.

Kapten Li mendukung Li Jianyue dengan penuh kasih-sayang dan tersenyum. "Seronok di sana?"

"Seronok sangat!" Li Jianyue memeluk leher Kapten Li dengan gembira dan berkata, "Mama jadi pengantin, sangat-sangat cantik!"

"Ya, pengantin! Tapi sayang Tok Ayah tak dapat tengok…"

"Ada video!" Li Jianqian mendekati Kapten Li bersama tablet di tangannya. "Atuk, mari saya tunjukkan video."

"Okey!" Kapten Li meletakkan Li Jianyue duduk di sofa dan menonton video yang dipasang oleh Li Jianqian. Suasana yang sangat indah itu jauh melangkaui bayangan seorang lelaki tua. Kapten Li teruja melihatnya. "Cantiknya! Ia memang secantik ini?"

"Ya! Kalau tengok depan mata lagi cantik!" Li Jianyue berkata dengan teruja sambil menonton video itu. "Ada banyak bunga api, di langit juga banyak bintang. Bintang-bintang yang kita tak dapat lihat di Kingstown. Sangat cantik!"

Kapten Li ketawa dan mengusap kepala cicit perempuannya itu. "Betulkah? Ersu gembira?"

"Ya!" jawab Li Jianyue sambil tersenyum girang. "Tok Ayah, tengok ni, ini Ersu. Ini Dasu. Abang Mosen ada di sini. Orang-orang dewasa di sana cakap kami comel dan cantik!"

Kapten Li membelai rambut Li Jianyue dan tersenyum. "Keluarga Li ada puteri kecil yang paling comel." Li Jianyue berasa bangga mendengar kata-kata itu. Dia mendengus dengan riak sambil memandang abangnya.

Li Jianqian tidak mengendahkan adiknya dan terus memegang tablet itu untuk Kapten Li menontonnya. Ketika video itu telah separuh dimainkan, Li Jianyue merasakan sesuatu yang tidak kena. Dia melihat sekeliling lalu bertanya, "Abang, mana Abang Mosen?"

Li Jianqian menjawab tanpa mengangkat wajahnya, "Mungkin di dalam bilik. Pergilah tengok."

"Okey!" Li Jianyue mengangguk lalu berlari ke dalam bilik mereka. Sebaik sahaja tiba, dia mendapati bilik itu kosong.

"Abang Mosen?" Li Jianyue masuk ke dalam dan memanggil. "Abang Mosen?"

Tiada jawapan. Li Jianyue keluar dari bilik itu. Dia langsung tidak tahu Li Mosen telah berjalan keluar dari rumah.

Ketika ini, Li Mosen berada di tepi tasik kecil berhadapan rumah lama keluarga Li itu. Seorang dewasa dan seorang kanak-kanak sedang memandang antara satu sama lain. Tang Mengying merenung kanak-kanak berkulit putih dan bermata biru di hadapannya, kemudian ketawa kecil dan bertanya, "Kamu tahu siapa saya?"

Li Mosen mengerutkan dahinya dan memandang wanita yang memakai topi dan kaca mata gelap itu.

Tang Mengying duduk bercangkung dan memandang Li Mosen. Dia berkata, "Saya ibu kamu."