webnovel

Ratu Kampus Jalang

Editor: EndlessFantasy Translation

Sebaik sahaja mesyuarat Li Sicheng selesai, telefonnya berbunyi menandakan ada pesanan ringkas diterima. Dia mengeluarkan telefonnya dan melihat pesanan itu datang daripada "Atuk baby sayang." Melihat nama itu, dia terus berasa malu. Pasti datuk telah mengambil telefonnya sewaktu dia tidak sedar dan menukar namanya di dalam telefon itu. Li Sicheng menukarnya kembali kepada "Atuk" dan membuka pesanan itu.

Sebaik melihat kandungan cerita baru itu, mata Li Sicheng perlahan-lahan berubah dingin. Dia terus menggunakan telefon di atas mejanya untuk menghubungi Cheng You, yang bergegas datang ke situ. Li Sicheng menghulurkan telefon bimbitnya kepada Cheng You dan berkata, "Uruskan."

Cheng You mengambil telefon di tangan Li Sicheng, melihat pesanan itu, dan terus berkata sinis, "Mereka ini memang gila." Dia keluar dari bilik Li Sicheng itu tetapi datang kembali dalam masa kurang dari 10 minit. Dia berkata dengan wajah berkerut, "Encik Li, ada sedikit masalah."

Li Sicheng mendongak dari sebalik dokumen-dokumen yang bertimbun di hadapannya dan memandang Cheng You.

Cheng You kelihatan serba salah dan berkata, "Ada sesuatu yang baru dalam Internet." Cheng You menghulurkan telefon kepada Li Sicheng, dan pada skrin itu terpapar satu tajuk, "Ratu Kampus Jalang, Punyai Ramai Teman Lelaki Pada Masa Yang Sama."

Suhu di sekeliling Li Sicheng seolah-olah menurun dengan tiba-tiba.

Cheng You berasa gementar apabila dapat merasakan kemarahan lelaki itu.

Li Sicheng terus membaca artikel itu dan melihat ia disertakan dengan gambar Su Qianci bersama Lu Yihan. Gambar itu telah dimanipulasi supaya kelihatan seperti mereka sedang bercium. Bagaimana gambar itu boleh ada di situ? Li Sicheng masih ingat dia sendiri telah memadamnya daripada telefon Tang Mengqing. Wajahnya berkerut dan dia terus membelek artikel itu. Kemudian dia turut menjumpai gambar Su Qianci keluar daripada kereta Renault berwarna merah kepunyaan Lu Yihan, dan gambar Su Qianci tersenyum sambil memaut lengan datuk. Malah ada banyak lagi gambar disertakan, iaitu gambar Su Qianci sedang bercakap dengan Sheng Ximing, Su Qianci terbaring di katil hospital sambil ketawa bersama Lu Yihan, Su Qianci berbual dengan Lu Yihan di kafe, Su Qianci minum bersama Fu Lengbing di majlis pertemuan semula sekolah, dan gambar Su Qianci makan malam bersama seseorang…

Tiada teks pada artikel itu selain daripada tajuknya. Walau bagaimanapun, dengan gambar-gambar dan tajuk itu, tiada perkataan lagi diperlukan. Semua orang pasti dapat memahaminya. Namun apa yang lebih dibimbang Li Sicheng ialah bagi mendapatkan gambar-gambar itu, pasti seseorang telah mengintip Su Qianci sepanjang masa. Mata Li Sicheng mengecil. Siapa yang telah mengekori isterinya?

Li Sicheng bangun dari kerusinya, mengambil kot dan berjalan keluar. "Cari dari mana gambar-gambar itu datang secepat mungkin." Orang yang telah menyebarkan cerita itu pasti sudah lama merancang hal ini.

Cheng You segera menjawab, "Baik Encik Li!"

Oleh kerana ada cerita baru yang keluar, beberapa artikel lama dalam laman web kampus telah kembali menjadi tumpuan. Semua orang bercerita tentang ratu kampus, dan Su Qianci menjadi terkenal di Universitinya. Kelas Su Qianci akan bermula pada waktu tengah hari, dan dia tiba di kelasnya lima minit sebelum pembelajaran bermula. Walaupun menyedari dia menjadi tumpuan ketika berjalan ke kelas, Su Qianci sudah terbiasa dengannya dan tidak mengendahkan apa yang berlaku.

Walau bagaimanapun, sebelum kelas bermula, Presiden Universiti datang ke kelasnya dan memanggil Su Qianci. "Keluar sekejap."

Melihat hal itu, seseorang berteriak, "Ratu kampus jalang akan dibuang universiti!"

"Mustahil mereka akan biarkan dia terus jadi pelajar di sini selepas berita itu keluar."