webnovel

Peraturan Tersembunyi

Editor: EndlessFantasy Translation

Ou Ming yang baru sahaja mahu menyambung kerjanya terhenti dan memandang Xu Cheng. Xu Cheng berasa gementar dan terkaku di tempatnya. Ketika ini suasana menjadi janggal.

Ou Ming memandangnya seketika sebelum berkata perlahan, "Shen Manting."

Xu Cheng segera mengangguk dan berkata, "Baik, Encik Ou."

"Teman wanita saya… saya akan lindungi dia sendiri, kamu tak perlu perhatikan dia," kata Ou Ming bersahaja sambil kembali menyambung kerjanya.

Xu Cheng bertambah gementar tetapi berdiri tegak dan mengangguk. "Baik, Encik Ou. Kalau begitu saya minta diri dulu."

"Baik." Ou Ming menjawab tanpa mengangkat kepalanya.

Xu Cheng berasa lega lalu memusingkan tubuhnya untuk keluar. Tetapi ketika dia tiba di pintu, kedengaran suara Ou Ming dari belakang. "Tunggu sekejap!"

Tubuh Xu Cheng terkaku dan tidak berani bergerak.

"Cari jawatan di dalam jabatan Komik Eurasian untuk Yu Lili. Jawatan pembantu penyunting mungkin sesuai."

Xu Cheng mengangguk sambil memandang Ou Ming dan berkata, "Baik, Encik Ou."

"Okey, selamat tinggal."

Xu Cheng tidak berani berada di situ walau hanya sesaat sahaja lagi lalu terus keluar. Selepas menutup pintu, dia melepaskan nafas lega. Menyedari pandangan pekerja di pejabat setiausaha, dia berpura-pura tenang dan berjalan keluar. Belum sempat memasuki lif, telefonnya tiba-tiba berdering. Ia panggilan daripada Ou Ming. Xu Cheng berasa panik sesaat dan terus menjawab panggilan itu. "Encik Ou."

"Emm…" Kedengaran suara Ou Ming. "Jangan lakukannya dengan terlalu jelas. Kamu mesti buatkan Yu Lili fikir dia dapat jawatan itu dengan usahanya sandiri. Jangan bazir banyak masa dengan perkara semudah ini." Selepas itu Ou Ming terus menamatkan panggilan. 

Xu Cheng terkaku di tempatnya. Hanya selepas lif tiba, barulah dia melepaskan keluahan berat. Dia memasuki lif itu lalu membuat panggilan ke pejabat komik Eurasian.

*****

Ketika itu juga, Yu Lili sedang melayari internet ketika satu mesej tiba-tiba muncul di skrin telefonnya.

[Jawatan kosong di Komik Eurasian!]

Jawatan kosong? Yu Lili menekan pautan yang diberikan dan membaca iklan itu. Komik Euresian buka jawatan kosong!

Jawatan yang ditawarkan ialah pembantu penyunting dan kerja utamanya ialah untuk mencari kartunis dari mana-mana sahaja, sama seperti seorang ejen. Yu Lili melihat gaji yang ditawarkan agak tinggi dan berasa amat tertarik.

Tetapi saya tiada laptop… Di pangsapuri sebesar ini, pasti ada bilik kerja, bukan?

Yu Lili menarik nafas panjang dan keluar dari bilik tidur. Selepas berjalan sekeliling, dia mendapati pangsapuri itu agak besar. Terdapat lima bilik tetamu yang kosong. Malah terdapat gimnasium serta sebuah tempat penyimpanan alkohol. Yu Lili mengambil masa lebih 10 minit hanya untuk mencari bilik kerja.

Kelihatan pelbagai jenis sijil penghargaan dan koleksi di bilik kerja itu. Koleksi model kereta sport edisi terhad, barang-barang antik, kaligrafi dan juga lukisan yang kelihatan sudah berusia beratus tahun.Terdapat rak di kedua-dua belah dinding bilik keja itu, manakala berhadapan dengan pintu terdapat sebuah kabinet pameran dengan rak buku di kiri dan kanannya. Setiap rak itu dipenuhi dengan buku klasik dan moden China dan juga negara-negara asing. Beberapa dokumen juga dapat dilihat.

Ini adalah pertama kali Yu Lili melihat pemandangan yang mengagumkan ini.

Ou Ming masih sukakan buku? Saya tak perasan…

Yu Lili mengambil sebuah buku yang dipenuhi tulisan Jerman dan melihat sedikit nota.

Ia tulisan Ou Ming.